Pengalaman saya terlibat dengan muallaf ini banyak menginsafkan saya tentang punca hidayah Allah untuk diberi kepada sesiapa yang dia pilih. Mungkin ada yang mengatakan bahawa seseorang itu tidak mampu berdakwah bercerita tentang Islam kepada bukan Islam jika tidak berilmu apatah lagi mencetuskan punca hidayah agar mereka menerima Islam. Saya banyak bertanya tentang punca hidayah ini kepada mereka yang telah terbuka hati memilih agama Islam sebagai cara hidup yang baru dengan meninggalkan agama yang lama walaupun mendapat pelbagai tentangan dari banyak pihak.
Jawapan seorang gadis Kadazan:
“Saya meminati Islam semenjak kecil lagi. Ketika saya belajar dalam darjah dua, saya mempunyai seorang kawan Islam yang rapat. Kami makan sama-sama di kantin. Setiap kali hendak makan dia akan baca doa. Saya tertarik dan bertanya apa yang dia baca sebelum makan sebab saya tak faham apa yang dibaca. Kawan saya memberitahu bahawa orang Islam diajar untuk berdoa kepada tuhan setiap kali sebelum makan akan diberkati rezeki dan kehidupan dan diminta jauh dari azab neraka. Semenjak hari itu hati kecil saya mengatakan inilah agama yang sebenar. Tetapi sejak akhir-akhir ini baru saya ada kekuatan dan semangat yang kuat untuk memeluk Islam setelah kawan-kawan sekelas saya di tingkatan enam memberi galakan dan dorongan. Alhamdulillah sekarang saya rasa tenang dengan agama Islam”.
Jawapan pekerja swasta (Cina):
“Walaupun saya memeluk Islam agak lewat pada usia saya 34 tahun setelah berkeluarga dan memiliki anak. Sebenarnya punca hidayah yang sebenarnya hati saya mula tertarik dengan agama Islam ketika saya masih di sekolah menengah lagi. Ketika berada di tingkatan 4 saya bersekolah di sekolah menengah aliran perdana dan bukannya sekolah Cina. Saya berkawan dengan kawan-kawan Islam tetapi tiada seorang pun yang pernah bercerita tentang Islam pada saya. Saya amat meminati bola sepak dan saya adalah antara pemain bola sekolah. Saya dilatih oleh seorang guru yang saya amat hormati perwatakannya. Apa yang menarik perhatian saya ialah ketika kami menjalankan latihan bola sepak pada waktu petang, guru itu akan memberhentikan latihan bila azan asar berkumandang. Guru itu mengarahkan semua pelajar Islam berhenti bermain dan sembahyang berjemaah di surau sekolah. Tinggallah saya seorang diri di padang menanti mereka semua selesai sembahyang untuk menyambung kembali latihan. Keadaan ini berlaku setiap kali kami melakukan latihan pada waktu petang dan jika ada perlawanan pun ditempat lain jika ia melibatkan waktu solat zohor atau asar guru tersebut tersebut akan mengarahkan kami semua berhenti sekejap untuk solat sebelum memulakan permainan. Hati saya berbisik apa yang hebat pada tuhan orang Islam sehinggakan mereka sanggup meninggalkan permainan yang amat menyeronokkan ini semata-mata hendak mengadap tuhan mereka. Semenjak hari itu saya mencari jawapan dengan membaca buku-buku tentang Islam sehingga hari ini baru saya ada kekuatan untuk melakukan perubahan dalam hidup saya”
Jawapan seorang pekerja Kilang (India):
“saya mimpi melihat orang sembahyang. Minggu ini hampir setiap malam saya mimpi tengok orang Islam sembahyang. Dulu semasa saya muda-muda dulu, masa belum kawin saya bekerja sebagai tukang tarik kereta. Saya ada seorang kawan melayu yang baik. Dia ini kalau kami jalan-jalan cari kereta dia selalu singgah kat surau atau masjid untuk sembahyang. Jadi saya selalu tunggu dia dalam kereta lah. Tapi ada satu hari tu saya keluar kereta saya mahu tengok bagaimana cara orang Islam sembahyang. Saya tengok mereka ramai-ramai dalam barisan mengadap kehadapan saja tiada apa-apa saya tengok. Mereka gerak sama-sama sampai habis. Tak sama dengan agama saya yang boleh pilih mana-mana patung yang ada kat kuil tu ikut kita suka dan sembahyang sendiri-sendiri saja. Sudah lama saya fikir kenapa tuhan agama kami banyak dan boleh pilih-pilih mana yang kami suka untuk minta apa-apa. Saya tanya kawan saya tu bagaimana tuhan orang Islam. Dia jawab tak tau dan semua orang tak tau rupa dia tetapi dia hebat boleh tengok semua orang, boleh dengar semua orang dan tahu semua apa yang manusia buat, tak boleh tipu. Nanti kalau mati nanti lepas kiamat, hidup balik ada balasan baik dan buruk. Ada syurga dan neraka. Dari hari itu, hati saya tidak senang lagi dengan agama saya. Tapi saya masih pergi kuil dan sembahyang macam biasa. Tapi sekarang sudah ada bini dan anak ramai minggu ini saya mimpi tengok orang Islam sembahyang. Bini saya pun ada mimpi jugak. Jadi kami sekeluarga pun buat keputusan masuk Islam. Mak saya pun ikut sekali. Sekarang hati saya senang walaupun ramai ahli keluarga saya marah tapi saya yakin saya akan selamat di akhirat nanti”
Apa yang kita dapat simpulkan disini ialah amalan yang dilakukan dengan ikhlas dan istiqamah mempunyai cahaya dan aura tersendiri yang boleh memancarkan hidayah kepada insan lain tanpa perlu mengeluarkan apa-apa perkataan. Bagaimana dengan amalan anda seharian?
No comments:
Post a Comment