Friday, March 11, 2011

Masih ada yang terlena!!!


Selepas Solat jumaat hari ini, saya disapa oleh seorang ahli jamaah:

“Bagus khutbah ustaz tadi. Boleh memberi kesedaran kepada pendengar. Tapi sayang! Saya lihat masih ramai ahli jemaah tertidur”

Saya hanya tersenyum sambil menjawa: “Mungkin mereka letih, lebih-lebih lagi kalau lepas makan”

Saya tak mengenali sahabat ini. Perwatakannya macam pegawai kerajaan macam saya. Apa yang pasti mereka bukan dari kalangan warga IPG KPI. Beliau dengan nada mesra menyambung perbualan kami dengan memberi cadangan.

“Bagus kalau lain kali Ustaz boleh masukkan fakta-fakta lengkap masalah sosial yang berlaku agar boleh menyentak ahli jemaah yang mengantuk atau bawa apa-apa cerita yang menarik boleh manarik pendengar agar tidak tertidur”.

Saya mengiyakan cadangannya. Sememangnya sudah menjadi lumrah kita umat Islam di Malaysia. Khutbah mesti di baca melalui teks yang sudah siap ditulis. Bukan hanya semata-mata kerana kawalan dari pihak pemerintah tetapi kerana para pengkhutbah itu sendiri yang tidak berkemampuan berkhutbah tanpa teks. Jika ada beberapa orang yang mencuba berkhutbah tanpa teks jarang yang kita dapati dapat berkhutbah dengan bernas dan padat. Malah ia kadang-kadang meleret-leret dan tidak tersusun langsung mengelisahkan para jemaah yang mendengarnya. Apabila khutbah dibaca berpandukan teks secara langsung ianya tidak menepati jiwa pendengar bahkan ianya hanya sekadar menjadi bahan pengulit tidur sahaja.

Sedangkan Rasulullah dahulu apabila baginda berkhutbah mukanya kadang-kadang berubah menjadi merah kerana bercerita tentang azab Allah dan ancamannya dan berwajah ceria dan gembira bila bercerita tentang nikmat dan janji-janji Allah kepada orang-orang beriman seterusnya dapat menyuburkan iman dan taqwa kepada pendengar.

Para pengkhutbah atau khatib perlu meningkatkan kemahiran diri dalam seni berpidato dan ceramah agar dapat menyampaikan ilmu yang sangat berharga kepada para jamaah yang hadir. Setiap muslim lelaki diwajibkan mendapat peringatan dan pengisian ilmu hanya sekali setiap minggu. Jika yang sekali ini pun hanya sekadar hadir tanpa mendapat apa-apa hasil ianya amat merugikan. Marilah kita sama-sama memulakan perubahan ini. Dari hanya kita mencela ahli jemaah yang tidur semasa mendengar khutbah kepada membaiki kemahiran para pengkhutbah agar dapat menjalankan amanah dengan lebih berkesan.

No comments: