Tuesday, May 18, 2010

Kisah Poligami: Kongsi Kasih, Kongsi Bahagia, Kongsi kekayaan

Dua berita menarik hari ini dalam Utusan Malaysia dan Harian Metro yang boleh dijadikan pengajaran bagi mereka yang suka berbincang tentang poligami samaada dari aspek positif mahupun negatif.

Berita pertama berkenaan dengan seorang lelaki kaya di Muar yang mengambil kesempatan terhadap perempuan yang tersepit, tidak mempunyai wang untuk membayar denda kes khalwat sebagai bakal isteri kedua dan ketiga. Cerita penuhnya boleh dibaca di sini. Wanita yang sudah terpedaya dengan pujuk rayu kekasih hati sehingga sanggup berkhalwat demi memburu cinta dan kehidupan sehingga di tangkap khalwat. Malangnya si lelaki hanya membayar duit denda untuk dirinya sahaja dan tidak sanggup membayar denda untuk pasangannya sebanyak RM3000. Di sinilah hadirnya seorang lelaki baik hati membayar denda tersebut tetapi dengan syarat perempuan itu sanggup berkahwin dengannnya sebagai isteri kedua.

Isteri ketiga juga dikahwini dengan cara yang sama. Sekali pandang, mungkin kita melihat lelaki ini sengaja mencari peluang untuk kahwin secara mudah dan murah tidak memerlukan kos yang tinggi. Mencari perempuan yang tersepit untuk dibantu dan dijadikan isteri sebagai membalas budi. Tetapi walaupun perkahwinan dua perempuan ini bukan kerana cinta malah macam seolah kahwin paksa, mereka mengakui bahawa mereka bahagia bermadu walaupun menjadi isteri kedua dan ketiga. Ini kerana suaminya bertanggungjawab menyediakan segala keperluan zahir dan batin. Setiap isteri diberikan rumah, kereta dan segala perbelanjaan. Tidak perlu lagi bersusah payah untuk bekerja cukup sekadar menjadi suri rumah sepenuh masa. Ini lebih baik dari menjadi isteri tunggal tidak bermadu tetapi semua keperluan zahir dan batin diabaikan oleh suami.

Kisah kedua ialah tentang perkahwinan Salih Yaccob seorang selebriti popular tanah air yang tekenal kisahnya yang mempunyai tiga isteri. Ini adalah satu hakikat yang memberangsangkan bagaimana seorang selebriti hiburan berjaya dalam mengurus rumahtangga dengan tiga isteri yang sudah tentu banyak cabarannya. Golongan Ustaz dan ulamak yang mempunyai pelbagai ilmu dan teori kebahagiaan rumahtangga pun tidak mampu untuk berpoligami. Malah untuk menyatakan hasrat berpoligami kepada isteri pun tidak mampu. Hasrat itu hanya terbenam di lubuk hati. Sila baca kisah poligami Salih Yaccob di sini.

Kedua-dua kisah poligami ini adalah melibatkan suami yang kaya mempunyai harta yang banyak dianugerahkan oleh Allah kepada mereka. Kekayaan yang dimiliki telah digunakan sebaik-baiknya untuk diagihkan kepada isteri-isterinya secara seadilnya. Alhamdulillah dua lelaki ini menggunakan hartanya dengan cara yang paling baik iaitu mengagihkan secara terhormat kepada isteri-isterinya dengan kaedah poligami. Harta adalah anugerah Allah kepada manusia dan bukan hak milik mutlak manusia. Ia hendaklah diagihkan kepada insan-insan yang lain. Jika seorang hartawan ingin melakukan bakti dengan membahagi kekayaannya secara tetap kepada orang-orang tertentu secara tetap ia kelihatan janggal malah mustahil dan boleh mengundang prasangka negatif . Lebih-lebih lagi jika seorang lelaki kaya ingin membantu mana-mana perempuan secara tetap tanpa ikatan perkahwinan. Sudah tentu isterinya melenting.

Dengan berpoligami harta kekayaan boleh diagihkan secara terancang kepada insan-insan lain. Seorang hartawan kaya bukan hanya membantu menyara kehidupan isteri-isterinya malah keseluruhan keluarga isterinya itu juga akan menerima tempias. Cuba kita lihat apa yang berlaku harta seorang hartawan yang hanya mempunyai seorang isteri dan beberapa orang anak. Ia akan menghabiskan hartanya untuk rumah yang besar, malah beberapa buah rumah untuk keluarganya sahaja, Kereta mewah amat mahal, melancong keserata dunia, bermain golf yang belanjanya ratusan ribu ringgit sebulan? Hartanya di gunakan untuk kepuasan diri dan keluarganya sahaja. Bayangkan jika harta ini dikongsi secara poligami. Betapa ramai wanita yang akan terbela, dan berapa ramai insan-insan akan dapat merasai tempias kekayaan yang telah diaugerahkan Allah kepada si kaya.

Inilah antara hikmah poligami. Bukan sekadar berkongsi suami, berkongsi kasih, malah ianya adalah satu perkongsian kehidupan dan kekayaan rezeki Allah. Janganlah harta kekayaan itu hanya berlegar di kalangan orang kaya sahaja. Ianya perlu diagihkan secara terancang dan saksama. Poligami adalah antara caranya..




1 comment:

rahman said...

Masya Allah terima kasih. Rencana yang menarik