Wednesday, June 23, 2010

PIALA DUNIA DAN NIKMAT ALLAH


Demam piala dunia yang sedang melanda seluruh dunia ketika ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi kehidupan ramai umat Islam. Ramai dikalangan kita meluangkan masa yang khas agar tidak ketinggalan mengikuti setiap perlawanan yang di siarkan. Tiga perlawanan sehari menuntut peminat bola sepak menghabiskan sekurang-kurangnya 5 hingga 6 jam sehari untuk menghayati semangat bola sepak piala dunia ini.

Jika kita renung dan fikirkan bagaimana keindahan perlawanan bola sepak piala dunia ini dapat kita nikmati. Mata di gunakan untuk melihat aksi dan gaya permainan. Telinga digunakan untuk mendengar sorakan, ulasan dan juga bunyi-bunyi yang menambahkan lagi keasyikan perlawanan. Kesihatan tubuh badan dan masa yang ada juga diperlukan. Itu belum dikira lagi nafas, nyawa, kehidupan yang semuanya disediakan oleh Allah kepada kita.

Ringkasnya ialah untuk menghayati keindahan dan keseronokan perlawan bola sepak piala dunia ini kita menggunakan 100 peratus kemudahan yang telah di sediakan oleh Allah Taala kepada kita. Tanpa kemudahan mata, telinga, nyawa, masa dan sebagainya mustahil kita dapat merasakan keseronokan semangat bola tersebut. Bahkan ramai yang sanggup meninggal nikmat tidur dan bersengkang mata demi semangat bola ini pada jam 2.30 pagi!

Tetapi jika kita renung kembali dalamkehidupan kita seharian. Kita jarang berfikir dan merenung tentang kemudahan yang telah di sediakan Allah ini kepada kita. Mata, telinga, nyawa, masa, minda dan sebangainya hanya di gunakan berdasarkan naluri hawa nafsu kita. Dalam sehari hanya berapa detik sahaja kemudahan ini digunakan berdasarkan kehendak tuan empunya yang menyediakannya? Berapa banyak masa yang kita gunakan untuk mengadap Allah? Adakah mata kita digunakan untuk melihat persekitaran dan merasai kebesaran Allah? Adakah telinga kita digunakan sepenuhnya untuk mendengar sesuatu yang boleh menyebabkan kita mengingati Allah?

Ah! Ini yang berlaku dalam kehidupan kita. Kita tidak menghargai kemudahan dan nikmat yang disediakan oleh Allah. Bahkan kita gunakan kemudahan ini bertentangan dengan kehendak Allah. Lupakah kita dengan peringatan Allah bahawa di akhirat nanti semua kemudahan ini akan semak dan dipersoalkan oleh Allah. Apa yang hendak kita beri jawapan kepada Allah nanti?.

Hargailah nikmat Allah! Gunakanlah sebaik-baiknya. Jika kita boleh gunakan kemudahan ini untuk melayan nafsu dan minat kita, kenapa kita tidak menggunakannya sebagainaman yang dikehendaki oleh tuannya. Ingatlah kemudahan ini tidak diberikan percuma.

1 comment:

Zamri said...

bukan x tengok semua, dan bukan tengok semua.. hhe