Rata-rata orang yang saya temui akan mengungkapkan perkara yang sama apabila saya bertanya tentang ayah, adakah beliau pernah berhutang dengan mereka atau sesiapa sahaja.
Saya bertanya hampir kepada semua: kedai-kedai yang ayah
selalu berurusan, rakan-rakan masjid, penduduk kampung, dan sesiapa yang
mengenali ayah dengan dekat.
“Ayah demo ni tak akan berhutang.”
“Kalau dia nak beli sesuatu, tapi tertinggal duit di
rumah, dia tak akan ambil barang dulu walaupun kami percaya dan benarkan bayar
kemudian.”
“Dia akan balik, ambil duit, dan datang semula.”
“Ayah demo kata… dia takut mati tak sempat bayar hutang.
Nanti terbawa ke akhirat… hutang jadi lebih besar.”
“Setahu ambo la… prinsip ayah demo pasal hutang ni memang
molek. Kalaulah semua orang macam ayah demo… senang hidup kita semua.”
Saya hanya mampu diam. Hati terasa sebak. Dalam diam, saya
mengenal semula siapa sebenarnya ayah saya di mata manusia dan mungkin lebih
tinggi lagi di sisi Allah.
Semua orang menggambarkan ayah sebagai seorang yang sangat
tegas dalam soal hutang. Pesannya jelas:
Jangan berhutang kecuali benar-benar terdesak. Jika terpaksa berhutang,
selesaikan segera. Jangan sekali-kali melengah-lengahkan bayaran.
Ayah pernah berkata kepada saya,
“Orang kita ni mudah sangat berhutang… tapi payah nak bayar. Jangan jadi
macam tu.”
Kata-kata itu dahulu mungkin terasa biasa. Tetapi hari ini,
ia terasa seperti satu amanah yang berat.
Allah mengingatkan tentang betapa seriusnya urusan hutang
sehingga ayat terpanjang dalam al-Quran menyentuh tentangnya:
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى
فَاكْتُبُوهُ
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu berhutang untuk suatu tempoh
yang ditentukan, maka hendaklah kamu menulisnya…”
— (Surah Al-Baqarah: 282)
Dalam hadis pula, Rasulullah ﷺ bersabda:
“Roh seorang mukmin itu tergantung (tidak tenang) dengan
sebab hutangnya sehingga hutangnya dilangsaikan.”
— Riwayat Sunan al-Tirmidhi
Bayangkan… roh seorang mukmin tergantung hanya kerana hutang
yang belum diselesaikan.
Lebih menggetarkan, Rasulullah ﷺ sendiri pernah enggan menyolatkan jenazah yang masih mempunyai
hutang, sehingga ada sahabat yang sanggup menanggung hutang tersebut terlebih
dahulu. Itu betapa beratnya urusan hutang di sisi agama.
Saya teringat satu kisah para sahabat. Ada seorang sahabat
yang syahid di medan perang suatu kematian yang sangat mulia. Namun Rasulullah ﷺ menyatakan bahawa
dosanya diampunkan semuanya kecuali hutangnya.
Syahid… tetapi hutang tetap perlu diselesaikan.
Apatah lagi kita yang hidup biasa ini.
Ayah sering berpesan,
“Jangan ambil kesempatan dengan hutang. Jangan hidup bermewah dengan duit orang
lain. Itu bukan rezeki, itu beban.”
Hari ini saya semakin faham… hutang bukan sekadar angka di
dunia. Ia adalah tanggungan yang boleh menyeret kita ke akhirat.
Buat saya dan adik-beradik…
Ini bukan sekadar cerita tentang ayah. Ini adalah legasi
prinsip yang ayah tinggalkan.
Jika ayah begitu menjaga dirinya daripada hutang, maka kita
juga perlu menjaga maruah dan amanah ini:
- Jangan
mudah berhutang hanya kerana kehendak.
- Jika
berhutang, catat dan niatkan untuk membayar.
- Utamakan
melangsaikan hutang lebih daripada memenuhi gaya hidup.
- Jangan
sekali-kali menangguhkan bayaran tanpa sebab yang benar.
Kerana hutang itu bukan sekadar urusan manusia… ia adalah
urusan dengan Allah.
Buat kita semua…
Kadang-kadang kita rasa kecil sahaja hutang itu—RM10, RM50,
atau sekadar “nanti bayar”.
Tetapi di sisi Allah, ia tetap akan dituntut.
Mungkin di dunia kita boleh lupa.
Tetapi di akhirat, tiada satu pun yang akan terlepas.
Ayah telah pergi…
Namun prinsipnya masih hidup.
Dan saya berdoa—
semoga kami, anak-anaknya, tidak memalukan didikan itu.
Ya Allah…
Ampunkanlah dosa ayah kami.
Rahmatilah rohnya.
Lapangkan kuburnya dan teranginya dengan cahaya iman.
Tempatkanlah dia bersama para solihin.
اللّهُمَّ اغْفِرْ
لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ
مُدْخَلَهُ
Kurniakanlah kepadanya syurga yang luas terbentang…
Dan kurniakanlah kepada kami yang ditinggalkan—kesabaran yang indah dan
kekuatan untuk meneruskan legasi amalnya.

No comments:
Post a Comment