Jenazah ayah telah sampai di masjid dan diletakkan sementara di bahagian belakang, menunggu selesai solat Jumaat. Adik bongsu lelaki saya yang sedang belajar di Imtiyaz Besut setia menunggu di sisi jenazah. Dua orang anak saya juga berada di situ. Saya pula menunaikan solat di bahagian hadapan.
Bilal telah membuat pengumuman bahawa solat jenazah akan
dilaksanakan sejurus selepas solat Jumaat, dan para jemaah diminta untuk
menunggu.
Sejurus selepas selesai solat Jumaat dan doa dibacakan oleh
imam, jenazah dibawa ke hadapan dan diletakkan di saf paling hadapan. Para
jemaah tidak berganjak. Semua menunggu untuk solat jenazah.
Imam kemudian mempersilakan saya untuk mengimamkan solat
jenazah ayahanda sebagai satu penghormatan terakhir. Saya meminta pembesar
suara kerana ingin memberikan sedikit taklimat. Saya berhasrat membuat sedikit
kelainan kali ini sebagai tanda penghormatan kepada ayah saya.
“Sahabat-sahabat sekalian, hari ini kita akan menunaikan
solat jenazah untuk ayah saya, Hamzah bin Mat Ali, yang telah dijemput oleh
Allah malam tadi akibat serangan jantung.”
“Solat jenazah dilaksanakan dengan empat kali takbir,
tanpa rukuk dan sujud.”
“Niat tidak perlu dilafazkan dalam bahasa Arab. Kita
semua sudah mengetahui bahawa kita akan mensolatkan satu jenazah lelaki.”
“Selepas takbir pertama, bacalah Surah al-Fatihah.
Selepas takbir kedua, berselawat ke atas Nabi. Paling ringkas: Allahumma salli
‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad.”
“Selepas takbir ketiga, bacalah doa untuk jenazah. Paling
ringkas:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ
لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ
(Allahummaghfir lahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu ‘anhu)”
“Selepas takbir keempat, beri salam.”
“Bagi yang biasa membaca selawat versi panjang (Solat
Ibrahimiyyah) dan doa jenazah yang lengkap, silakan. Jika tidak, memadai dengan
doa ringkas tadi.”
Saya memberikan taklimat ini kerana terinspirasi dengan
pengalaman ketika berada di Jordan dahulu. Setiap kali solat jenazah, imam akan
memberikan penerangan ringkas tentang siapa si mati dan juga tatacara solat
jenazah.
Saya pernah berbual dengan seorang imam masjid di sana
tentang amalan ini. Jawapan beliau amat memberi kesan kepada saya:
“Para hadirin perlu mengetahui sama ada jenazah ini
lelaki atau perempuan, dan siapa dia. Ini memudahkan mereka untuk berdoa dengan
lebih hadir hati. Jika mereka mengenali si mati, doa mereka akan menjadi lebih
tulus dan bermakna.”
“Dalam kalangan jemaah, ada yang pertama kali atau jarang
menunaikan solat jenazah. Mereka mungkin tidak tahu atau terlupa tatacaranya.
Penerangan ringkas sebelum solat boleh mengajar dan mengingatkan mereka
semula.”
Saya amat terkesan dengan penjelasan tersebut.
Di tempat saya sebelum ini, solat jenazah sering
dilaksanakan dengan sangat cepat tanpa sebarang penerangan. Kadangkala, kita
sendiri tertanya-tanya: jenazah ini lelaki atau perempuan? Siapakah dia?
Alangkah baiknya jika diambil satu atau dua minit untuk
menjelaskan perkara tersebut. Saya mahu semua yang menunaikan solat jenazah
untuk ayah saya melaksanakannya dengan sempurna dan penuh kesedaran. Saya
bimbang ada yang tidak tahu atau terlupa tatacaranya, lalu hanya mengikut imam
semata-mata. Mungki ramai yang tidak solat jenazah kerana lupa tatacaranya dan
terlepas ganjaran besar yang Allah sediakan.
Sabda Nabi ﷺ:
مَنْ شَهِدَ
الجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّيَ عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى
تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ
قِيلَ: وَمَا القِيرَاطَانِ؟
قَالَ: مِثْلُ الجَبَلَيْنِ العَظِيمَيْنِ
Maksudnya:
“Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga disolatkan, baginya satu qirath. Dan
sesiapa yang menghadirinya sehingga dikebumikan, baginya dua qirath.”
Para sahabat bertanya: “Apakah dua qirath itu?”
Baginda menjawab: “Seperti dua gunung yang besar.”
(Riwayat Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim)
Solat jenazah bukan sekadar ritual, tetapi satu
tanggungjawab fardhu kifayah. Jika tiada siapa yang melaksanakannya,
seluruh komuniti menanggung dosa.
Namun jika ia dilaksanakan dengan baik dengan kefahaman,
kehadiran hati, dan doa yang tulus, ia menjadi hadiah terakhir yang sangat
bernilai buat si mati.
Saya mengimamkan solat jenazah dengan tempo yang perlahan,
dari takbir pertama hingga salam. Saya juga memegang pembesar suara, dan bacaan
dilakukan dengan suara perlahan yang masih dapat didengari oleh makmum. Harapan
saya agar ia dapat membantu mereka yang masih belajar, tanpa mengganggu jemaah
yang sudah mahir.
Saya membaca selawat dan doa versi yang panjang. Begitu juga
dengan doa tambahan selepas takbir ke empat sebelum salam.
Usai solat, saya hanya membaca Surah al-Fatihah dan Surah
al-Ikhlas sekali, diikuti doa ringkas — mengulangi doa yang telah dibaca dalam
solat jenazah tadi.
Selepas itu, saya mengambil kesempatan untuk menyampaikan
ucapan ringkas kepada hadirin:
“Saya memohon agar tuan-tuan dan puan-puan memaafkan segala
kesalahan ayah saya, jika ada tersalah laku atau bicara.”
“Jika terdapat sebarang hutang, mohon terus berhubung dengan
saya.”
“Hari ini ayah saya telah pergi. Kita semua juga akan
menyusul suatu hari nanti.”
“Terima kasih kepada semua yang hadir, menunaikan solat dan
mendoakan ayah saya.”
Hari itu saya berdiri di hadapan sebagai imam. Namun
hakikatnya, saya hanyalah seorang anak yang sedang memimpin doa terakhir buat
ayahnya.
Di belakang saya, ratusan tangan diangkat. Mungkin ada yang
mengenali ayah saya, mungkin juga tidak. Namun pada saat itu, semua hati
bersatu memohon keampunan untuk seorang hamba yang telah kembali kepada
Tuhannya.
Saya berharap, setiap doa yang dipanjatkan menjadi cahaya
yang menerangi kubur ayah saya.
Dan saya juga berharap… apabila tiba giliran saya nanti,
akan ada insan yang mendoakan saya dengan penuh keikhlasan, sebagaimana hari
itu.


No comments:
Post a Comment