Petang Jumaat itu, selepas Asar, saya tumbang. Badan sudah tidak mampu menahan keletihan. Lebih 35 jam saya tidak tidur, bermula jam 5 pagi hari Khamis hinggalah petang Jumaat. Selepas solat Asar, saya tertidur di satu sudut rumah. Saya hanya dikejutkan untuk solat Maghrib ketika waktu hampir Isyak.
Perut juga terasa lapar. Rupanya perut langsung tidak berisi
sejak semalam. Selepas Isyak, saya makan sedikit dan terus tidur kembali. Ummi
memberitahu ramai lagi tetamu hadir, tetapi saya tidak dikejutkan untuk memberi
peluang saya berehat.
Selepas Subuh pagi Sabtu, barulah saya berpeluang melihat
sebuah kereta yang tertutup kemas di luar rumah. Sebuah kereta Myvi berwarna
merah jambu, ditutup rapi dengan kain pelikat yang telah dibuka jahitannya
serta sehelai cadar lama. Hujung kain diikat dengan batu jongkong agar tidak
ditiup angin.
Saya membuka kain penutup itu untuk melihat kereta tersebut.
Ya, kereta itu masih belum mempunyai nombor pendaftaran.
Saya bertanya kepada Ummi tentang kereta ini. Saya tidak
mengetahui bahawa kereta Myvi itu sudah dibawa pulang ke rumah. Apa yang saya
tahu, ayah sedang dalam proses membeli kereta Myvi idamannya. Ayah sudah lama
bercita-cita untuk memiliki sebuah Myvi. “Kereta ini cantik,” katanya. Jika
berselisih dengan Myvi di mana-mana, dia akan merenungnya dengan penuh minat.
Ayah juga ingin merasai pengalaman memandu kereta baharu
yang “masih dalam kertas”, katanya — kereta automatik yang tidak perlu lagi
bersusah payah menukar gear. Dia sudah beberapa kali mencuba kereta Kancil
automatik kami ketika datang ke Kota Damansara.
Sebulan sebelum itu, ayah telah memaklumkan hasratnya untuk
membeli kereta Myvi baharu. Dia sudah melawat pengedar Perodua di Pasir Puteh.
Ketika itu saya sangat sibuk dengan urusan kerja pejabat dan berada di
peringkat akhir penulisan disertasi sarjana.
Saya hanya sempat memberi panduan kepada ayah tentang proses
membeli kereta baharu — tempahan, bayaran deposit, dan urusan pinjaman bank.
Ayah membayar deposit lebih sedikit agar bayaran bulanan menjadi rendah.
Pinjaman dibuat selama sembilan tahun. Saya juga meminta adik perempuan pulang
ke kampung untuk membantu urusan dokumen sebagai penjamin kerana ayah tiada
slip gaji.
Ummi bercerita:
“Petang Khamis selepas Asar, ayah pulang dengan kereta baru.
Ayah Su yang bawa.”
“Ayah pandu kereta Saga lama.”
“Malam itu, selepas balik dari masjid dan majlis akad nikah,
Ummi dengar dia masuk ke dalam kereta dan cuba tekan minyak.”
“Dia nak cuba kereta baharu, tapi dia belum pernah
memandunya lagi...”
“Lepas itu dia tutup kereta dengan dua helai kain dan ikat
hujung kain dengan batu supaya tidak terbang.”
“Kemudian dia masuk bilik untuk tidur… dan terus kena
serangan jantung.”
Rupa-rupanya ayah tidak sempat merasai nikmat memandu kereta
Myvi idamannya. Dia hanya sempat merasa gembira kerana impiannya tercapai
memiliki sebuah Myvi.
Hati saya sebak mengenangkan kisah kereta ini. Banyak
peristiwa yang meruntun jiwa saya sepanjang proses pembelian kereta tersebut.
Itulah ayah — telah bersusah payah bekerja dan berkorban demi kami sembilan
beradik. Sudah lama dia menangguhkan impiannya demi memastikan kelangsungan
anak-anak dalam pelajaran.
Saya hanya mampu memberikan ayah kereta terpakai sebelum ini
— bermula dengan sebuah Daihatsu Charade. Kemudian, apabila kerap rosak dan
menyusahkan, saya menjualnya dan membeli pula Proton Iswara terpakai. Namun, ia
kereta manual tanpa stereng kuasa — memerlukan tenaga yang banyak untuk
dipandu.
Ayah pula semakin meningkat usia, tenaganya semakin
berkurang. Ditambah pula dengan sakit jantung yang saya sendiri kurang peka
sebelum ini.
Ayah tidak sempat menikmati kesenangan.
Saya memandang kereta itu dengan perasaan hiba. Saya
merenung jauh, membayangkan kegembiraan ayah jika sempat memandu kereta
idamannya.
Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, merahmati rohnya,
meluaskan kuburnya, dan menempatkannya bersama orang-orang soleh.
اللّهُمَّ اغْفِرْ
لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ
مُدْخَلَهُ
Semoga Allah juga mengurniakan kepadanya syurga yang luas
terbentang serta mengurniakan kesabaran buat kami yang ditinggalkan.
Kadang-kadang, impian itu sudah begitu hampir untuk dirasai,
namun Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Apa yang tidak
sempat dinikmati di dunia, mudah-mudahan Allah gantikan dengan kenikmatan yang
jauh lebih sempurna di akhirat.


No comments:
Post a Comment