Thursday, April 09, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA : TURUN KE LIANG LAHAD

 Ramai orang berebut-rebut mengusung jenazah ayah dari dalam masjid ke atas lori kecil. Saya hanya mampu memerhati dari belakang. Hati saya seolah-olah belum benar-benar menerima bahawa jasad yang diusung itu adalah ayah saya. 


Setelah jenazah diletakkan di atas lori, adik lelaki saya bersama dua orang anak lelaki saya menemaninya.

Saya mengikuti lori tersebut dari belakang dengan kereta menuju ke tanah perkuburan di hujung kampung. Sepanjang perjalanan, saya teringat sabda Nabi :

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ
“Segerakanlah kamu dengan pengurusan jenazah.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Seolah-olah perjalanan ini bukan sekadar perjalanan jasad, tetapi perjalanan terakhir seorang hamba menuju pertemuan dengan Tuhannya.

Setibanya di pintu pagar, jenazah diusung ke bahagian hujung kawasan perkuburan. Kawasan itu menempatkan kubur-kubur baharu yang disusun lebih teratur. Tanah perkuburan ini luas, dengan kuburan lama yang berselerak seakan menggambarkan perjalanan manusia dari generasi ke generasi, semuanya menuju titik yang sama.

Lubang kubur telah siap digali lebih awal. Saya menjenguk ke dalamnya. Liang lahad telah tersedia di bahagian tepi, bersama papan penutupnya.

Saat itu terlintas firman Allah:

مِنْهَا خَلَقْنَاكُمْ وَفِيهَا نُعِيدُكُمْ وَمِنْهَا نُخْرِجُكُمْ تَارَةً أُخْرَى
“Dari tanah Kami ciptakan kamu, kepadanya Kami akan mengembalikan kamu, dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu sekali lagi.”
(Surah Taha: 55)

Apabila semua telah bersedia, saya turun ke dalam kubur bersama pak saudara sulung dan seorang sepupu. Kami bertiga menurunkan jenazah ayah dengan penuh cermat. Saya memangku jasad ayah di bahagian kepala.

Saat itu… terasa berat yang tidak pernah saya rasakan. Bukan berat jasad, tetapi berat sebuah perpisahan.

Ketika kami cuba memasukkan jenazah ke dalam liang lahad, bahagian kepala tidak muat. Saya terpaksa mengangkat semula jasad ayah dan meminta cangkuk kecil menggali tanah di bahagian kepala.

Beberapa kali saya mencuba, namun masih belum mencukupi. Terlintas difikiran cerita pernah saya baca dalam Majalah Mastika kisah mayat tidak diterima bumi. Hati saya menepis.

Bapa saudara saya bersuara:

“Buat luas terus. Lebihkan lagi. Terlebih luas pun tidak mengapa.”

Akhirnya, liang tersebut cukup luas. Kepala ayah dapat dimasukkan dengan sempurna.

Saya mengambil gumpalan tanah untuk menyendal badan agar tidak terbalik. Dalam keadaan itu, saya diajar membaca:

بِسْمِ اللَّهِ وَعَلَى مِلَّةِ رَسُولِ اللَّهِ
“Dengan nama Allah dan di atas agama Rasulullah.”
(Riwayat Abu Dawud)

Jenazah diletakkan mengiring di atas lambung kanan menghadap kiblat seolah-olah posisi terakhir seorang hamba dalam keadaan tunduk dan patuh kepada Allah.

Saya membuka ikatan kafan di bahagian kepala dan dada sebagaimana yang dianjurkan. Tangan saya menyentuh wajah ayah buat kali terakhir… tanpa sebarang reaksi. Di situlah hakikat kehidupan terasa begitu jelas. Segala yang hidup pasti akan kembali.

Kami menutup liang dengan papan, dan tanah mula ditimbus perlahan-lahan. Tikar diletakkan sebagai penghadang tanah daripada mengotorkan pakaian kami bertiga.

Kami meratakan tanah dengan kaki, memadatkannya. Setelah selesai, saya menimbunkan tanah sehingga membentuk busut yang sedikit tinggi, lalu memacakkan tanda di bahagian kepala dan kaki.

Imam masjid mula membaca talkin. Lafaznya seolah-olah mengajar ayah menjawab soalan malaikat, namun hakikatnya ia adalah peringatan untuk kami yang masih hidup.

Rasulullah bersabda:

إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا وُضِعَ فِي قَبْرِهِ...
“Sesungguhnya seorang hamba apabila diletakkan di dalam kuburnya…”
(Riwayat al-Bukhari)

Saat itu, saya sedar… yang diuji bukan lagi ayah, tetapi kami yang masih hidup.

Ramai jiran dan saudara mara hadir. Ada yang datang lewat, meminta izin untuk solat jenazah selepas pengebumian. Saya tidak mengenali mereka. Mungkin sahabat ayah yang datang dari jauh.

Pemergian ayah sangat mengejutkan. Namun dalam diam, saya yakin… ayah telah bersedia.

Kerana sesungguhnya Allah telah mengingatkan:

كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”
(Surah Ali ‘Imran: 185)

Semoga Allah mengampunkan segala dosa ayah, melapangkan kuburnya, menjadikannya taman dari taman-taman syurga, dan menempatkannya bersama para solihin.


No comments: