“Ayah nak beli kereta MYVI barulah.”
“Ayah dah tengok kereta tu di kedai pengedar Perodua sebelum simpang hospital tu.”
Itulah luahan hasrat ayah ketika dia menelefon saya pada
awal Februari 2011. Memang saya kerap menelefon ayah bertanya khabar tiga
hingga empat kali seminggu, berselang-seli dengan Ummi. Namun, jika ada perkara
penting yang ingin disampaikan, ayah pasti akan menelefon saya terlebih dahulu.
Kali ini, dia bercerita tentang kereta MYVI. Memang sudah
lama dia meminati kereta ini, cuma harganya menyebabkan ayah memendam hasrat
tersebut begitu lama. Dia selalu menyebut bahawa harga kereta baharu hampir
lima kali ganda daripada harga kereta terpakai yang digunakannya.
Pada tahun 2011, harga getah agak tinggi berbanding biasa.
Hasil kebun getah ayah turut meningkat. Saya dapat melihat perubahan dalam
kehidupan ayah. Ayah seorang yang pemurah .Dia mula membeli makanan yang agak
mahal, pakaian baharu, serta peralatan rumah.
Mungkin kini tiba masanya ayah ingin merasai hasil titik
peluh usahanya selama ini. Jika sebelum ini beliau menahan diri, mengikat perut
demi anak-anak, kini dia ingin memenuhi cita rasa dan hasrat yang sekian lama
terpendam.
“Ayah dah bayar wang pendahuluan kereta.”
Ceritanya pada suatu petang.
“Ayah dah pilih warna dan spesifikasi kereta?” Saya
bertanya.
Ayah bercerita dengan penuh teruja. Rupanya dia sudah
tertawan dengan kereta MYVI keluaran terhad (limited edition). Harganya
lebih mahal daripada biasa, tetapi itulah pilihan ayah. Saya hanya menerima.
Namun, dia masih belum membuat keputusan tentang warna yang ingin dipilih.
Saya memberi jaminan agar ayah tidak perlu risau tentang
bayaran bulanan. Saya akan membantu bersama adik perempuan saya yang baru
bertugas sebagai guru. Adik saya juga bersedia menjadi penjamin untuk
pembiayaan tersebut.
Ayah amat gembira dengan jaminan ini. Hampir setiap hari dia
menelefon saya untuk memaklumkan perkembangan proses pembelian kereta. Malah,
dia hampir setiap hari singgah di kedai kereta untuk bertanya tentang tempahan,
walaupun telah dimaklumkan bahawa tempoh menunggu agak lama sekitar sebulan
atau lebih.
Suatu hari, saya menerima panggilan daripada ejen jualan
kereta.
“Abang, ayah demo pilih warna pink ni. OK kah?”
“Kawe dah cadangkan warna kuning pinang masak, sesuai untuk lelaki.”
“Kalau warna pink ni memang dikeluarkan khas untuk perempuan. Hiasan dalaman
pun ada corak bunga ros.”
“Macam janggal pula kalau orang lelaki pandu kereta tu.”
“Jenuh dah kawe terangkan pada dia.”
“Dia tetap bertegas dengan pilihan warna pink.”
“Dia kata kereta ni hadiah untuk isteri dia… bukan untuk dia.”
Panjang lebar luahan ejen Perodua kepada saya.
Saya hanya mendengar dan memaklumkan bahawa saya akan
berbincang dengan ayah. Pilihan kereta masih ada, stok juga sudah tersedia, cuma
keputusan perlu dibuat segera. Saya serahkan sepenuhnya kepada ayah kerana itu
kereta miliknya.
Malam itu, saya menelefon ayah. Jawapan ayah:
“Ayah memang pilih warna pink, siap ada corak bunga di
dashboard”
“Kereta tu ayah nak hadiahkan kepada Ummi. Ayah nak dia rasa naik kereta
baharu.”
“Kereta tu bukan untuk ayah pun.”
Itulah antara perbualan yang masih segar dalam ingatan saya
tentang pilihan warna kereta MYVI tersebut. Saya hanya mampu mengiyakan. Saya
juga meminta ayah memaklumkan segera keputusan akhir kepada ejen.
Begitulah sifat ayah. Sentiasa berusaha menggembirakan orang
lain. Setiap kali kami pulang ke kampung, ayah pasti membeli makanan untuk saya
dan cucu-cucunya.
Ya, kereta itu dibeli untuk Ummi. Ayah tidak sempat merasai
keseronokan memandu kereta tersebut. Dia hanya sempat mendengar deruan enjin
MYVI yang begitu indah baginya sekitar 15 minit sebelum dijemput kembali ke
pangkuan Pencipta.
Biasanya serangan datang kerana terkejut dengan berita
buruk. Namun, mungkin ayah diuji dengan serangan jantung kerana terlalu teruja
dan gembira.
Kisah ini mengajar saya bahawa kasih sayang seorang ayah
sering tersembunyi di sebalik tindakan, bukan sekadar kata-kata. Ayah tidak
banyak berbicara tentang cinta, tetapi dia membuktikannya melalui pengorbanan
dan usaha menggembirakan orang lain. Bahkan dalam detik akhir kehidupannya,
yang difikirkan bukan dirinya tetapi kebahagiaan ummi yang setia menemaninya.
Dunia ini hanyalah persinggahan yang sementara. Ada manusia
yang menunggu bertahun-tahun untuk menikmati hasil usahanya, namun Allah
menentukan nikmat itu hanya dirasai seketika. Di situlah letaknya hakikat
kehidupan bahawa bukan panjang masa menikmati yang menjadi ukuran, tetapi
keberkatan dan keikhlasan dalam setiap usaha.
Kereta itu mungkin tidak sempat dipandu jauh oleh ayah,
tetapi nilai pengorbanannya telah “bergerak” jauh dalam hati kami. Ia menjadi
simbol cinta, bukti tanggungjawab, dan saksi sebuah kehidupan yang dihabiskan
untuk memberi.
Sesungguhnya, sebaik-baik warisan bukanlah harta yang
ditinggalkan, tetapi kasih sayang, akhlak, dan teladan yang hidup dalam
ingatan. Ayah telah pergi, tetapi didikan dan cintanya terus hidup mengalir
dalam jiwa anak-anaknya.
Semoga setiap pengorbanan kecil yang kita lakukan hari ini
menjadi saksi di hadapan Allah kelak. Dan semoga kita juga mampu menjadi
seperti ayah yang memberi tanpa banyak bicara, dan mencintai tanpa mengharapkan
balasan.
Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, merahmati rohnya,
meluaskan kuburnya, dan menempatkannya bersama orang-orang soleh.
اللّهُمَّ اغْفِرْ
لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ
مُدْخَلَهُ
Semoga Allah juga mengurniakan kepadanya syurga yang luas
terbentang serta mengurniakan kesabaran kepada kami yang ditinggalkan.


No comments:
Post a Comment