Wednesday, April 30, 2025

KRISS 8: YA ALLAH, AKU BERSERAH PADA MU

Selepas menyantuni Ustaz Mutalib dan rakan-rakan serumahnya saya kembali semula kerumah. Waktu itu sekitar jam 3 setengah pagi. Emosi saya sedikit terganggu dengan kejadian pagi ini. Motosikal yang di curi itu ialah motosikal Ustaz yang sentiasa istiqamah solat berjemaah di surau. Kadang-kadang Ustaz Mutalib juga kami minta mengimamkan solat. 

Saya terasa bahawa apa yang berlaku berkaitan kecurian motorsikal ini adalah bercanggang dengan apa yang saya tegaskan dalam tazkirah dan kempen saya kepada warga Taman Fajar. Peristiwa ini bermula apabila saya tegaskan “Jagalah Allah pastinya Allah jaga anda.” Kita jaga solat dan juga perintah lain Allah akan aturkan yang terbaik untuk hambanya yang taat. Sejurus selepas itu motorsikal Kriss saya menjadi mangsa.

Kemudian saya dan rakan ustaz yang lain meneruskan tema yang sama, motorsikal rakan saya Ustaz Tuan Roslan pula menjadi mangsa ketika dia sedang mengimamkan solat subuh. Selepas itu kami teruskan dengan kempen “Kunci dulu motorsika kemudian berserah pada Allah’ dengan menekankan konsep tawakkal dan berserah pada Allah.

Selepas semua usaha dan inisiatif ini diambil, motorsikal Ustaz yang sudah dikunci pelbagai cara ini juga menjadi mangsa. Saya sebenarnya terkesima sekejap dan terpaksa mengkoreksi diri apakah kesilapan saya dan rakan ustaz lain dalam memahami perintah Allah dan konsep syariah.

Selepas sampai dirumah saya tidak terus sambung tidur. Saya mengambil wuduk dan solat taubah dan membuat solat tahaajud bermunajat pada Allah. Antara isi munajat saya ialah

Ya Allah. Aku mohon jika ada kesilapan dalam menyampaikan Islam”

“Tunjukkan kesilapan aku agar aku sedar dan mampu memperbetulkannya.”

“Apa yang kamu tunjukkan kepada kami ya Allah..Semakin kami aktif menyampai dan menjaga perintah kamu, apa yang berlaku seolah bercanggah dengan apa yang disampaikan.”

“Ya Allah. Aku risau keyakinan kami warga Taman Fajar akan semakin pudar dengan panduan mu.”

“Selepas ini mungkin akan ada yang berkata.. Apa yang ada dalam al Quran dan hadis itu bukannya betul.”

“Aku tahu ya Allah kamulah sebaik-baik perancang. Kamulah yang mengatur segalanya. Apa yang berlaku semuanya ada hikmah. Kamu lah yang lebih mengetahui.”

“Tapi iman kami lemah untuk memahami ujian ini. Jangan uji kami dengan apa yang kami tidak mampu.”

“Tunjukkan kuasa kamu ya Allah. Aku berserah kepadaMU.”

Itulah antara isi munajat saya pada malam itu sebelum tidur kembali yang kurag lena.

Subuh pagi itu seperti biasa. Ustaz Mutalib dan rakan serumahnya hadir ke surau solat berjamaah subuh seperti biasa.

Sesungguhnya kami teruji kali ini.

No comments: