Wednesday, April 23, 2025

KRISS 3 : PERLU YAKIN ALLAH JAGA KITA

 Pada asalnya saya tinggal sekejap tema tazkirah saya “Jagalah hak Allah pastinya Allah jaga anda’. Namun selepas beberapa hari selepas  itu terlintas dihati saya kenapa saya berhenti menyentuh tema itu. Adakah saya sendiri tidak yakin dengan Allah sebagai penjaga dan pengurus semua semua perkara hanya semata-mata motosikal saya di curi.

Jika betul perasaan itu ada dalam diri saya itu adalah dosa besar bagi saya dan pegangan akidah saya boleh terjejas. Jadi saya menambil keputusan bahawa itu adalah ujian aqidah bagi saya sendiri. Saya kembali membawa tema bahawa Allah yang mengurus dan mengaturkan semua perjalanan alam maya dan juga kehidupan manusia. 

Tazkirah yang selalu saya berikan sebenarnya adalah peringatan untuk diri saya sendiri

“Tiada apa yang berlaku semuanya adalah aturan Allah dan sudah siap tertulis.”

“Semua aturan Allah ada hikmah tersembunyi yang kita tidak mampu kita fahami.”

“Walaupun kita melihat berlaku perstiwa buruk itu sebagai musibah tidak kita ingini itu juga adalah aturan Allah.”

“Perkara baik dan buruk semua adalah dari aturan Allah walapun kita lihat ianya dicetuskan oleh orang lain.”

“Jika kita dilanggar oleh kereta, mungkin itu adalah kecuaian pemandu. Tapi kita perlu ingat itu adalah aturan Allah. Jadi kita ingat begitu kita akan dapat kawal kemarahan kita.”

“Motor Kriss saya dicuri, itu sudah diatur oleh Allah. Cuma kejadian curi itu dilakukan oleh penjahat. Dia berdosa kerana mencuri. Tapi kecurian itu adalah ujian dari Allah untuk menguji hati kita.”

Itulah antara isi tazkirah saya kepada para jamaah. Tazkirah itu adalah untuk diri saya sendiri.

Selepas ketiadaan motorsikal, pergerakan saya agak tempang sedikit. Kadang-kadang saya ke surau dengan menaiki kereta. Kadang-kadang saya berjalan kaki. Namun budaya berjalan kaki untuk jarak 500m ni dikalangan masyarakat kita ni macam janggal.

Sebenarnya saya terinspirasi dengan Haji Jaidin bila surau kami yang setiap waktu solat hanya berjalan kaki ke masjid. Rumahnya dekat sedikit dengan surau berbanding dengan rumah saya. Namun dia dengan umurnya sudah lebih 70 tahun dan mempunyai masalah lutut amat gigih berjalan kaki ke surau setiap kali waktu solat. Berberapa kali saya menawarkan diri untuk membonceng motor saya untuk ke surau, dia menolak kerana dia berbadan besar dan susah untuknya membonceng. Jadi lebih selesa untuk berjalan kaki. Jika dia boleh berjalan kenapa saya tidak.

Jika saya berjalan ke surau saya perlu keluar awal sedikit dari rumah. Saya perlu mengubah sedikit jadual pergerakan saya. Lepas solat tidak boleh wirid panjang kerana perlu balik awal untuk bersiap ke sekolah. Sahabat saya Ustaz Tuan Roslan amat saya kagumi kerana dia pandai memerhati jadual saya.

Dia tahu bila jadual saya keluar rumah untuk berjalan kaki ke surau. Bila saya keluar saja rumah banyak kali saya dapati dia sudah menunggu di luar pagar rumah saya dengan motor Kriss birunya. Amat jarang saya sudah berjalan beberapa langkah baru dia sampai. Lepas solat dia akan menghantar saya pulang kerumah.

Begitulah rutin saya setiap hari dengan Ustaz Tuan Roslan. Alhamdulillah saya mempunyai seorang rakan yang amat memahami dan amat membantu dalam gerak kerja kami di Taman Fajar.

Semoga Allah merahmati Haji Jaidin dan juga sahabat saya Ustaz Tuan Roslan. Jika Allah menjaga hak Allah pastinya Allah akan jaga semua kebajikan kita seluruhnya. Kita perlu tanam keyakinan dalam diri kita begitu sebagai orang beriman. Apa yang berlaku semua adalah rancangan Allah.

Allah berfirman dalam  Surah Al-Hadid (57): Ayat 22

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍۢ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."

Juga firman Allah  dalam Surah At-Taghabun, Ayat 11:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

Saya juga yakin apa yang berlaku pada saya nanti Allah akan menyelesaikan masalah kecerian yang saya hadapi satu hari nanti. Cuma masa yang menentukan. Saya hanya perlu sabar dan yakin pada Allah. Allah sudah menyebut hal ini Surah Al-An’am (6): Ayat 17:

وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍۢ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

"Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Yakinlah pada Allah. Dia yang mengatur segalanya dan Allah maha bijaksana. Semoga Allah teguhkan hati dan iman saya dalam menghadapai ujian ini. Amin

No comments: