Friday, May 02, 2025

KRISS 9: PENCURI DITANGKAP

Semasa perbualan ringkas usai solat subuh di Surau Taman Fajar saya bertanya kepada Ustaz Mutalib bila dia akan buat laporan polis tentang kecurian motorsikalnya. Dia memberitahu dia akan buat laporan awal pagi ini sebelum ke sekolah. Dia akan minta izin dengan guru besar sekolahnya untuk lewat ke sekolah. Kalau tak silap saya dia mengajar di SK Rancangan Luboh atau SK Gum gum kecil.


Ketika saya sedang berehat di bilik guru selepas mengajar dalam lebih kurang jam 11 pagi saya mendapat panggilan dari Ustaz Mutalib.
“Ustaz! Kami dah berjaya tangkap pencuri motorsikal saya.”
Nun jauh saya mendengar suara Ustaz Mutalib bercerita dengan bersemangat.
“Eh..bagaimana tu. Macamana boleh ditangkap.” Saya bertanya ingin tahu. Memang menarik berita ini.
“Begini ustaz! Selepas saya selesai buat laporan polis saya terus ke sekolah dengan kereta dengan kawan saya. Ketika melalui jalan ladang sawit kesekolah saya tu. Tiba-tiba sebuah motorsikal potong saya. Saya tekejut melihat nom pletnya. Memang motorsikal saya. Jadi saya telefon terus pegawai polis penyiasat dia minta saya terus buat sesuatu untuk tangkap pencuri tu.. Jangan terlepas. Kalau terlepas susah mahu dapat.”
“Jadi saya kejarlah dengan kereta saya. Saya pencut dan himpitnya sampai dia terbabas kedalam ladang sawit. Geram betul saya.. saya pukul dia ustaz. Berabis saya tumbuk. Dia tak mengaku dia curi.”
“Dia bilang itu motorsikal kawannya. Apa lagi kami bantai la lagi. Dah sah motor saya. Nom plet masih ada. Cuma dia sudah buang raga tengah tu dan stiker juga sudah di koyak. Tapi saya cam lah motor saya.”
“Sementara polis datang kami tanya lagi. Tak mengaku. Kami pukul lagi. Dia kata dia bukan orang sini. Dia tunjuk kad pengenalan dia yang beralamat di Pahang. Tapi slang dia cakap memang orang sabah lah.”
“Dia minta nak buka kusyen sekejap untuk ambil barang nak tunjukkan kepada kami. Kami tak percaya. Saya sendiri yang buka. Rupanya ada pisau bawah kusyen tu. Nasib baik saya yang buka. Kalau lah dia dapat pisau tu. Memang berkicaplah kami.”
“Lepas tu polis datang ambil dia ke balai. Motorsikal pun polis angkut ke balai juga. Tapi puas hatilah kami pukul. Tapi sampai sudah dia tak mengaku. Nak pukul lebih-lebihkan risau pula. Saya serah pada polis lah.”
“Wah… alhamdulillah… motorsikal dah dapat. Pencuri pun dah ditangkap. Ustaz pun selamat. Puji dan syukur pada Allah. Nanti balik sekolah nanti saya akan kebalai Polis Sandakan. Saya nak kenal juga wajah pencurinya.” Saya mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Ustaz Mutalib yang menyampaikan maklumat ini.
Allah. Syukur kepada Mu yang telah mengkabulkan doa kami semua. Tak sampai 10 jam lepas kejadian Allah telah menerima munajat saya. Allah maha besar. Mungkin pencuri itu dah terasa terlampau hebat sehingga berapa banyak motor di curi dan masih selamat tidak ditangkap.
Jadi Allah telah meletakkan perasahaan ujub dan bangga dalam diri pencuri sehingga dia tidak menukarkan nom plet motorsikal untuk berjalan di jalan raya. Dia sudah tidak takut pada polis dan juga orang ramai. Tapi dia lupa pada Allah yang maha kuasa.
Allah juga maha bijaksana mengaturkan perjalanan pencuri itu sama dengan perjalanan Ustaz Mutalib tuan empunya motorsikal dengan masanya juga sama. Mungkin kita menganggap itu satu kebetulan. Tapi itu sebenarnya ialah rancangan Allah yang maha kuasa dan maha bijaksana.
Pencuri menganggap mereka bijak merancang, tapi rancangan Allah lebih hebat. Mungkin selepas pencuri ini tertangkap akan membongkar kes kecurian motorsikal yang lain termasuk motorsikan Kriss merah saya. Kalau ada rezeki saya boleh dapat kembali motorsikal saya itu.
Maha suci Allah. Itulah aturan Allah. Aku bersyukur pada mu atas nikmat ini.

No comments: