Sunday, March 02, 2025

SEMUA ORANG BACA AL QURAN

 Kali pertama saya menyambut bulan Ramadhan di Jordan ialah pada tahun 1995. Ketika itu saya  berada masih  menginap di asrama Universiti  al Albayt. Bulan pada masa itu  kalau tak silap saya  pada pengujung musim sejuk sekitar bulan Febuari. Cuaca  dan suhu masih lagi sejuk dan  sudah mula masuk pada musim bunga. 


Kali pertama berpuasa berjauhan dari keluarga  memberi pengalaman tersendiri. Hanya bersahur dan berbuka bersama rakan-rakan di asrama. Tiada lagi masakan dan kuih muih  tempatan seperti akok, cendol, nasi  kerabu dan sebagainya. Kami terpaksa membiasakan diri dengan makanan tempatan. Nasi maqlubah , nasi mandi dan juga kuih katayif yang tawar. Sudah terpaksa begitu dan  kami makan apa yang ada.

Cuma apa yang saya perhatikan perbezaan yang ketara budaya Arab ada bulan Ramadhan. Budaya membaca al Quran menjadi satu kelaziman pada masyarakat Arab. Kita boleh lihat orang membaca al Quran di mana-mana sahaja. Di masjid sebelum waktu solat dan diluar waktu solat  setiap orang memegang al Quran dan membacanya secara individu. Jika diluar masjid pun, ketika menunggu waktu kuliah pun ada yang membuka al Quran dan membacanya.

Ketika saya keluar kebandar Mafraq pun saya perhatikan ketika menunggu bas kita dapat lihat ramai yang membaca al Quran. Ketika dalam Bas pun ada yang membaca al Quran. Ketika di bandar  pun saya lihat peniaga membaca al Quran sambil menunggu pelanggan.   Semasa di Pasar untuk membeli buah pun penjual  membaca al Quran . Dia berhenti sekejap bila saya ingin  membeli buah. Selepas menimbang buah dan menerima bayaran  mereka kembali membaca al Quran.

Banyak kedai memasang kaset bacaan al Quran. Saya boleh mendengar bacaan al Quraan di mana-mana sahaja. Satu pengalaman baru bagi saya. Masyarakat  Arab betul-betul memeriahkan bulan Ramadhan dengan membaca al Quran.

Saya pertanya seorang pakcik  pekedai ketika saya membeli sedikit peralatan memasak.

Ammu. Bagus ya . Saya ramai orang membaca al Quran  bulan Ramadhan ni. Suasana yang baru bagi saya”.

Ya Ibni..  Ini Bulan Ramadhan. Bulan yang Allah muliakan dengan al Quran. Allah turunkan al Quran pada bulan mulia ini.  Allah minta kita perbanyakkan membaca al Quran di bulan ini.”

DI Malaysia tak adakah orang baca al Quran begini?” Tanya Ammu tersebut pada saya selepas dia menerangkan kepada saya tentang  kaitan Ramadhan dan al Quran.

Ada juga. Tapi tidak lah semeriah begini.   Tadarus al Quran  kat masjid saja.  Tapi budaya membaca a Quraan    tidak nampak dengan jelas.”.

“Ibni… (Anakku).. Kamu kena ambil peluang keberkatan bulan Ramadhan ini. Baca sebanyak mana al Quraan. Allah gandakan pahala kami berganda-ganda.  Kalau di bulan biasa membaca al Quran  satu huruf  diganjarkan 10 kebajikan. Dibulan mulia ini digandakan lagi sepuluh    jadi satu huruf jadi 100 kebajikan. Bayangkan kalau kamu baca al Quran  dua atau tiga juzuk sehari. Kamu jadi orang kaya nanti. Kaya di Akhirat lah”.

Panjang syarahan ammu penjual periuk pada saya.  Ya. Saya melihat budaya tilawah al Quran ini  menjadi sebati dalam masyarakat Arab di sini pada setiap peringkat umur.   Kita lihat ramai yang memegang al Quran kecil dengan ralit dengan al Quraan masing-masing.  Mereka dilihat kurang berbual-bual kosong sesama  mereka.

Budaya ini  amat bagus untuk dicontohi dan terapkan dalam diri kita.   Semasa di Masjid Bilal bin Rabah saya mendengar syarahan Imam Syeikh Ahmad  menghuraikan hadis  ‘ Sesiapa memakmur dan memeriahkan bulan Ramadhan dengan ibadah dengan keimanan  dan ihtisaban , Allah akan ampunkan dosanya yang lampau.

مَن قام رمضان إيمانًا واحتسابًا غُفر له ما تقدَّم من ذنبه

Lafaz ‘iimaanan’ bermaksud  yakin dengan janji Allah memberi ganjaran yang besar bagi mereka yang membuat amal soleh di bulan Ramadhan. Manakalan ‘Ihtisaban’ bermaksud mengejar , berebut,  mengira-ngira   amalan dan ganjaran pahala yang dia dapat sepanjang bulan  Ramadhan ini.   Sikap mengejar dan berusaha melakukan sebanyak mana mungkin ibadah dan amal soleh   akan  melayakkan seseorang itu  diampunkan segala dosanya yang lampau dan terkemudian.

Marilah kita sama-sama meriahkan bulan Ramadhan ini dengan merebut ganjaran besar yang Allah telah sediakan kepada kita. Banyakkan baca al Quran. Buatlah target individu. Satu Juzuk sehari atau lebih. Mungkin boleh kita usahakan sehingga 5 juzu sehari.  Kurangkan membaca Whatapps, Insta, X dan media sosial lain yang banyak melekakan kita .

Semoga Ramadhan kali ini berjaya mendidik diri kita yakin kepada janji Allah dan kita berjaya meraih ganjaran pahala dan rahmat dari Allah.


No comments: