Wednesday, March 12, 2025

KITA MULA SOLAT TERAWIH BESOK BUKAN HARI INI

 Itu antara kata-kata imam balaisah kampung saya yang saya masih ingat ketika ayah saya bertanya tentang  solat terawih.   Ketika itu saya masih kecil dan masih bersekolah rendah sekitar tahun 1980an.  Saya selalu mengikut ayah saya untuk solat di balaisah berdekatan dengan rumah saya. Balaisah adalah panggilan kami masyarakat Kelantan  bagi surau pada hari ini.  Masjid agak jauh dari rumah kami. Jadi kami hanya  solat berjemaah di Balaisah saja.



Ayah saya selalu bercerita kepada saya tentang beberapa pandangan yang dia kurang  bersetuju dengan beberapa ketetapan  segelintir masyarakat  Kelantan ketika itu, termasuk juga imam di balaisah kami.  Balaisah kami hanya memulakan solat terawih pada malam  2 Ramadhan.

Alasan  imam ialah:

“Kita kena puasa dulu baru boleh berterawih.”

“Ibadah terawih ini datang sekali dengan puasa.”

“Kalau belum puasa bagaimana kita nak berterawih.”

Saya pernah dengar ayah saya berbincang dengan Imam bahawa ibadah terawih ini  disunatkan  pada bulan Ramadhan dan bukannya diikat dengan puasa. Bulan Ramadhan telah masuk mulai dari  waktu maghrib lagi sebelum mula puasa esok harinya. Masjid-masjid di daerah lain pun ada yang sudah mulakan solat terawih.

Tapi Imam masih lagi  berpegang dengan pendapatnya.  Saya masih ingat  selepas solat isyak  kami balik kerumah dan solat terawih bersama keluarga pada malam pertama  Ramadhan. Ayah saya menyebut memang susah kita ingin mengubah kefahaman  masyarakat tentang sesuatu perkara. Ia memerlukan ilmu dan kefahaman. Namun kita tidak boleh terlampau keras dalam perbincangan dan perlu meraikan situasi semasa.

Selepas beberapa tahun  ada sedikit perubahan dengan Balaisah kami. Imam sudah mengubah fikiran dengan  memulakan solat terawih pada malam pertama Ramadhan . Tapi ia mula agak lewat sedikit sekita sejam selepas Isyak.   Hujahnya ialah menunggu  Mekah masuk bulan Ramadhan. Waktu Maghrib di Mekah lebih lewat berbanding  di Malaysia.

Kami hanya mengikut sahaja  ketetapan ini. Bagi  jamaah yang rumahnya berdekatan balaisah , mereka pulan dulu kerumah.  Saya dah ayah saya hanya menunggu saja di balaisah  kerana rumah kami agak jauh dan perlu berjalan kaki meredah hutan dalam kegelapan malam. Jadi lebih baik mengunggu saja. Ayah saya membaca al Quran dan saya bermain-main sekitar balaisah dengan kawan-kawan.

Sebenarnya kita dah boleh solat terawih sejurus saja selepas Isyak.  Tidak perlu ikut waktu Mekah untuk solat terawih. Kalau ikut pandangan  yang dipegang oleh imam kita  kena puasa mula jam 10 pagi kalau begitu.”

“Berbuka pun kena lambat juga la. Tidak boleh berbuka waktu  Maghrib sebab waktu Mekah belum sampai.”  

Terang ayah saya sambil ketawa kecil ketika kami berjalan balik  kerumah selepas terawih.

Itulah yang dihadapi oleh kami dalam banyak perkara. Ayah saya banyak belajar di pondok juga.  Tapi beliau selalu mengambil jalan damai dan hanya mengikut saja  pandangan imam. Baginya hidup bermasyarakat itu lebih utama walaupun kadang-kadang  ada beberapa isu yang dia tidak bersetuju dengan imam dan juga masyarakat kampung.

Alhamdulillah selepas beberapa tahun  kemudian pandangan masyarakat kampung kami telah berubah. Mereka sudah boleh menerima faktor geografi dalam  isu solat terawih. Terawih sudah dimulai pada malam pertama.

Begitulah dinamiknya pandangan manusia.  Kita tidak perlu gelojoh dalam membuat perubahan. Ilmu, perbincangan dan kebersamaan adalah amat penting dalam hidup bermasyarakat.


No comments: