Monday, March 24, 2025

ADA NAMPAK APA-APA PERUBAHAN TAK?

 Itu  antara soalan yang saya minta para jemaah tanya kepada isteri masing-masing tentang perubahan dirinya sepanjang bulan Ramadan ini.

“Ada nampak perubahan tak pada diri abang dalam pada 10 akhir Ramadan ni?”

Kalau isteri jawab macam biasa ja.. tak ada perubahan apa-apa. Ini bermakna dia tidak buat apa-apa perubahan pun. Sebenarnya kita perlu jadikan Rasulullah dan para sahabat sebagai contoh ikutan dalam meraih keberkatan 10 akhir Ramadan ini. 


Rasulullah dan para sahabat dapat dilihat perubahan hidup mereka pada 10 akhir Ramadan. Mereka lebih fokus beribadah. Ummul Mukminin Aisya memberitahu bahawa Rasululullah ikat kain pelikatnya sebagai tanda semangat tidak tidur bersama isterinya kerana beriktikaf di masjid.

Dalam suara yang serak saya terpaksa sampaikan tazkirah terawih malam tadi. Saya teringat perbualan saya dengan pengerusi surau.

“Kami nak jemput ustaz tazkirah Ramadhan dan juga imam solat terawih ahad ini”.

Itu permintaan pengerusi Surau al Ukhuwwah di Petaling Jaya kepada saya minggu lepas. Pada awalnya saya menerima pelawaan tersebut. Namun pada hari sabtu sehari sebelum hari kejadian saya diuji dengan sakit tekak. Suara saya sudah mula berubah. Saya menghubungi pengerusi untuk menarik diri kerana kurang sihat.

Namun beliau amat berharap agar saya hadir dan memberi tazkirah walaupun sekadar 15 minit pun cukup. Solat terawih dipimpin oleh imam. Alhamdulillah selepas tidur sepanjang pagi Ahad suara saya semakin baik.  

Fokus tazkirah saya ialah manfaatkan sisa baki Ramadan yang ada.

“Kita amat bertuah dan perlu beryukur kerana diberi peluang berada di 10 akhir Ramadan. Ramai yang sudah dipanggil mendap pencipta”.

“Fokus kepada ibadah seperti qiamullail, iktikaf, tilawah al Quran, Sedeqah, doa dan zikir.”

“Kalau kita tidak mampu beriktikaf sebagaimana Rasulullah yang berada 24 jam dalam masjid, memadailah iktikaf sebahagian malam saja pun ok.”

“Pergi ke masjid jam 4 pagi untuk solat taubat dan tahajjud pun sudah memadai. Boleh solat taubat dan tahajjud 8 rakaat. Pada masa yang sama dapat pahala iktikaf”.

Saya mencadangkan jika tidak berkesempatan ke masjid, boleh saja mereka datang ke Surau al Ukhuwwah, memadailah iktikaf disurau walaupun ia  bukan bertaraf masjid. Insya Allah ada pahala lebih berbeza dari solat dirumah sahaja. Mungkin jika dibuat secara beramai-ramai di surau akan lebih bersemangat walaupun tahajjud dilakukan secara individu.

Bagi yang tidak berkesempatan ke masjid atau surau boleh tetapkan satu tempat dirumah untuk dijadikan tempat ibadah. Boleh diniatkan untuk beribadah. Insya Allah ada pahala khas juga dari Allah. Bagi kaum wanita mungkin ini adalah paling mudah untuk mereka yang berhalangan ke masjid atau surau.

Dalam solat tahajjud kita boleh gunakan henset untuk membaca al Quran. Ketika ini setiap orang boleh membaca al Quran sebanyak mana yang dia mahu. Bagi yang kuat bolehlah membaca setengah juzuk setiap rakaat. Ia boleh habiskan dua juzuk untuk 8 rakaat tahajjud. Jika rasanya dirinya kuat boleh membaca 1 juzuk untuk satu rakaat. Tapi jika tidak mampu boleh membaca satu lembar atau separuh lembar untuk satu rakaat.

Saya juga mencadangkan agar sebelum qiam agar membuat infaq melalui QR code yang telah dsediakan lebih awal. Qr Code boleh disiapkan awal dikumpulkan dari mana-mana masjid atau iklan derma yang telah dipilih. QR Code boleh dicetak awal agar senang untuk diimbas setiap malam. Mungkin boleh dilakukan sebelum atau selepas solat tahajjud.

Kadar infaq adalah mengikut kemampuan masing-masing. Jika sesiapa yang telah diluaskan rezeki oleh Allah, tidak salah kita tetapkan 1k semalam, atau RM100 semalam. Paling tidak mampu pun, bolehlah infak RM1. Infaq sekarang tidak perlu lagi ke masjid. Hanya sekadar menggunakan henset. Sangat mudah untuk dapat gandaan pahala 700 kali ganda setiap unit infaq. Jika terkena malam qadar ia diganda lebih lagi.

Para jamaah boleh fokus kepada 4 perkara ini. Iktikaf, qiam tahajjud 8 rakaat, baca al Quran dalam solat tahajjud sambil tengok henset dan infaq menggunakan QR Code. Jika 4 perkara ini dilakukan setiap malam pastinya salah satu malamnya akan terkena dengan malam al Qadar. Sudah pasti kita akan beruntung.

Allah maha kaya. Allah tertunggu untuk memberi pahala yang banyak kepada siapa yang sanggup bangun munajat kepadanya pada akhir malam terutama pada 10 akhir Ramadan ini. Yakinlah pada janji Allah. Kejarlah dan rebutlah harta kekayaan yang Allah telah sediakan untuk hambanya.

Itulah yang dimaksudkan dengan ‘Imaanan dan ihtisaaban’.

Rugilah bagi sesiapa yang membiarkan peluang ini terlepas begitu sahaja.

No comments: