Pada hari Ahad, lebih kurang waktu sebelum zohor saya mendapat panggilan lagi dari keluarga Haris. Kali ini dari kakaknya.
“Ustaz! Kami merayu sangat-sangat. Jangan ambil Harry.
Jangan ganggu kami.” Itu ayat pertama yang keluar dari Nokia 3310 saya. Saya
terkejut kerana masih ada lagi isu tuntutan jenazah ini.
“Mana ada. Siapa bilang saya mahu ambil Harry. Semalam
kan saya dah bilang sama mamak Harry, kami tidak akan tuntut jenazah Harry. Semua dokumen dia tak ada membuktikan dia
adalah muslim.”
Saya tegaskan sekali
lagi pada kakaknya.
“Iya ka Ustaz. Mamak ku sedang menangis ni bimbang Harry diambil
dan diruskan dengan cara Islam. Mamak ku sudah bincang sama paderi akan uruskan
jenazahnya.”
“Iya.. betul. Aduh.. siapa yang bilang begitu.”
Saya geram juga siapalah yang masih lagi cuba menuntuk jenazah Haris dari keluarganya. Saya pula yang terpaksa menenangkan keadaan.
Kakak Haris memaklumkan saya bahawa jenazah Haris sudah tiba
pagi ni beberapa jam yang lalu dengan pesawat Mas. Jenazah sudah ada dirumahnya
di Sungai Batang.
“Bolehkah saya datang ziarah?” Saya bertanya meminta
izin.
“Datang lah Ustaz. Boleh jumpa mamak Harry juga.” Saya
mendengar suara kakaknya sudah tenang dengan jaminan saya tadi.
Petang itu saya dan beberapa orang bekas pelajar saya ke
rumah keluar Haris di Sungai Batang di belakang lapangan terbang Sandakan. Rupa-rupanya
rumahnya dekat saja dari rumah saya di Taman Fajar.
Saya sampai ke sebuah rumah kampung yang sudah terpasang dihalamannya khemah
besar. Saya di sambut oleh kakak Haris dan dia membawa kami ke khemah bertemu
ibu Haris yang kelihatannya masih menangis. Dia menghulurkan tangannya untuk
bersalaman dengan saya. Memandangkan situasi berlaku dan kontroversi yang berlaku
saya tidak mahu mengeruhkan keadaan, saya menyambut salam ibu Haris.
“Lihatlah anak saya ustaz. Harry sudah tiada. Dia telah
tinggalkan saya ustaz.”
Dia menarik tangan saya untuk melihat anak kesayangannya
Haris dalam keranda. Esakan tangisnya semakin kuat. Saya hanya mengikut ibu
Haris. Keranda tersebut sudah siap terbuka dan saya menjenguk kedalam.
Saya melihat Haris
masih seperti dulu. Cuma sekarang sudah kaku. Mukanya bersih. Dia dia di pakaikan
dengan sut lengkap dengan bertali leher merah. Ya Allah. Sayu saya melihat
keadaan Haris. Air mata saya mengalir mengenangkan nasib Haris. Tapi itu adalah
pilihannya. Saya sudah ingatkan dia sebelum ini. Mungkin keadaan dan situasi
Haris membuatnya lambat membuat tindakan. Sehingga ahir hayatnya dia
menyembunyikan imannya dari ibunya.
“Ustaz. Haarry anak yang baik. Dia amat sayang dia. Dia
pergi dulu tinggalkan saya.”
Ibu Haris masih lagi mengulang-ngulang kata sama pada saya. Hati
ibu mana yang tidak luluh sedih kehilangan anak yang tersayang. Ibu Haris mudah dengan air mata. Mungkin
inilah yang menyukarkan Haris membuat keputusan yang besar dalam hidupnya.
Saya membaca al fatihah dan doa untuk Haris sebagaimana
untuk orang Islam. Ibunya hanya memerhatikan saya berbuat begitu tanpa apa-apa
reaksi. Saya yakin bahaya ibunya juga tahu bahawa Haris sudah muslim. Berdasarkan
cerita Haris sebelum ini pun adik Haris sudah terserempak dengan Haris yang
sedang solat dalam bilik dan berlaku perang besar Haris dengan Ibunya. Kali ini
ibunya tidak menghalang saya berdoa pengampunan dan rahmat untuk Haris.
Selepas saya berbual-bual dengan beberapa ahli kelurga Haris
dan saya juga menyantuni ibunya dengan bercerita apa-apa yang baik tentang
Haris saya meminta izin untuk pulang. Saya sampaikan juga sedikit sumbangan kepada
Ibu Haris untuk meringankan bebannya menguruskan jenazah dan sebagai tanda
simpati kepadanya.
“Ustaz! Doakan untuk Harry ya Ustaz. Semoga dia baik di
alam sana.” Pinta ibu Haris.
Ya. Kepercayaan kristian tidak banyak beza dengan Islam.
Mereka juga percaya alam akhirat dengan adanya pembalasan syurga dan neraka.
“Sudah pasti makcik. Saya yakin tuhan akan muliakan
Haris. Tuhan akan tempatkan dia dalam syurga di Akhirat nanti. Dia telah
membuat pilihan yang tepat untuk hidupnya.”
Ujar saya sambil mengukir senyum. Saya harap Ibunya faham
apa yang saya maksudkan.
Saya dan beberapa pelajar saya pulang dengan sayu. Kami hanya
senyap seribu bahasa semasa perjalanan balik sedih mengenangkan keadaan Haris.
Masih tergambar wajah Haris dengan sut hitamnya dalam keranda.
Semoga Allah ampunkan segala dosanya dan rohnya ditempatkan
bersama orang soleh seterusnya dimasukkan ke Syurganya yang luas terbentang.
No comments:
Post a Comment