Tuesday, February 18, 2025

EDARAN TAQWIM SEBAGAI DAKWAH LAPANGAN

 Pada tahun kedua projek taqwim solat, permintaan terhadap taqwim semakin meningkat. Namun ianya beredar di sekolah dan masjid yang mempunyai wakil yang dikenali sahaja. Biasanya mereka akan datang ke sekolah atau kerumah saya untuk mendapatkan stok taqwim solat untuk dijual di sekolah dan juga masjid.

Kali ini saya mengembangkan lagi cara edaran taqwim solat membawa pelajar persatuan pendidikan Islam untuk mengedarkan taqwim solat dari rumah ke rumah. Pada hari sabtu dan ahad pelajar akan berkumpul di Masjid Taman Fajar untuk agihan taqwim. Setiap pelajar akan membawa 50 naskhah taqwim yang akan dijual dengan harga RM1.50 dengan komisyen 50 sen senaskhah. 

Mereka akan di agihkan mengikut taman dan kampung sekitar taman fajar yang dikenal pasti ramai penduduk Islam. Objektif utama ialah mendidik masyarakat membudayakan solat. Antara  tugas utama pelajar ialah menerangkan fungsi taqwim solat dan bagaimana merujuk waktu solat setiap waktu dengan tepat. Di samping itu antara frasa yang perlu diselitkan ialah:

“Insya Allah lepas ni bolehlah solat di awal waktu. Tidak perlu lagi tertunggu azan dari radio dan masjid”.

“Mudah lah nanti nak rancang solat berjamaah bersama-sama dengan keluarga”.

“Selepas ini tidak akan terlepas lagi waktu solat”.

“Mudahlah bagi kaum ibu yang ingin ganti puasa ingin tahu waktu subuh dan berbuka”.

“Solat wajib dilaksanakan dan tidak boleh ditinggalkan”.

“Allah murka siapa yang tinggal solat”

“Nanti bolehlah kakak solat berjemaah dengan suami nanti”

“Nanti adik boleh solat dengan ayah dan ibu ya”

“Kalau dah ada taqwim solat ni boleh lah nak merancang ke masjid dan surau lebih awal”

Pelajar dinasihatkan agar bijak memilih frasa-frasa ini berdasarkan siapa yang mereka jumpa. Berbeza antara lelaki dan perempuan dan juga tahap umur mereka.

Alhamdulillah maklum balas yang mereka terima adalah amat positif. Walaupun ada segelintir yang dianggap sebagai peminta derma atau sedekah. Tetapi pelajar amat gembira.

Ada yang beri makanan percuma.

Ada yang diberi duit lebih sebagai saguhati.

Ada yang dipuji puji.

Ada yang diminta datang lagi tahun depan.

Ada yang mengucapkan terima kasih kerana diberi peringatan untuk solat.

Yang penting, tiada yang dihalau atau tengking. Semuanya positif

Apa yang menarik ada yang tersalah ketuk rumah Cina bukan Islam juga dibeli taqwim sehingga beberapa naskhah walaupun sudah diterangkan kegunaannya untuk orang Islam.

“Ooo tidak mengapa saya boleh guna untuk tengok tarikh dan hari”.

 Itu alasan mereka. Diambil dua naskhah di bayar RM5. Simpan baki katanya.

Ada juga bertanya.

“Adik ada jual buku panduan solatkah. Saya nak belajar solat”.

Projek ini berjalan beberapa kali dan saya akan menghantar pelajar ini ke beberapa kawasan yang mereka pilih sendiri. Kemudian mereka akan balik kerumah mereka sendiri dengan menaiki bas. Mereka akan melaporkan jualan mereka di sekolah nanti pada hari Isnin. Alhamdulillah kebanyakan edaran pelajar habis. Jika ada yang berbaki pun hanya dua tiga naskhah sahaja.

Semoga dengan usaha yang sedikit ini memberi kesan yang positif terhadap masyarakat dalam pembudayaan solat. Ia juga mendidik pelajar untuk dakwah lapangan. Apa yang paling menarik ialah nama SMK Elopura semakin dikenali ramai. Pengetua pernah bercerita bahawa ada juga rakan pengetua bertanyakan projek taqwim ini dan ingin laksanakan juga di sekolah mereka.

 

No comments: