Sunday, February 09, 2025

HARRY SIM 7: PANGGILAN DARI POLIS SIMPANG PULAI

 Selepas beberapa tahun Haris keluar dari SMKE, saya hampir lupa tentang kisahnya. Tiba-tiba ketika waktu hampir maghrib dan saya sedang bersiap-siap hendak ke masjid,  saya mendapat panggilan misteri.

“Assalamualaikum. Ini ustaz Abdullah  kah?”

“Ya. Ustaz Abdullah  di sini.  Saya bercakap dengan siapa ya?”

“Saya  Fariz dari  Simpang Pulai.  Saya rakan serumah Haris, bekas pelajar Ustaz dulu di Sabah”.

“Saya nak maklumkan pada Ustaz, Haris dah tiada. Allah jemput dia petang tadi kerana terlibat dalam kemalangan ketika mengejar peragut.” 


“Saya dan Haris bertugas di Balai Polis simpang Pulai.  Petang tadi Haris mengejar peragut yang telah meragut beg tangan wanita. Namun malangnya ketika Haris hampir dengan motosikal peragut,  peragut tersebut menendang motosikal Haris menyebabkan ia terbabas . Kesan terbabas tersebut Haris meninggal di tempat kejadian.”

Allah.. saya mengucap panjang mendengar perkhabaran ini. Saya terdiam seketika. Terkejut juga saya menerima panggilan dari jauh. Terdetik juga  bagaimana dia boleh dapat nombor telefon saya. Sedangkan saya bukan saudara maranya.

Saya dapat nombor telefon Ustaz dari seseorang.  Dia bagitahu kami Haris  peluk Islam dengan Ustaz.”

Oh.. baru saya faham kaiatan saya dalam kisah ini.

“Cuma Ustaz! Apa yang menyedihkan kami ialah Haris belum lagi mendaftar sebagai Muslim.”

“Kami terasa amat sedih. Kami  rakan serumah sewa Haris semua ambil cuti esok untuk  temankan Haris ke pejabat Agama Islam. Haris baru bersedia untuk daftarkan Islam.”

“Haris bagitahu kami dia sudah Islam. DIa adalah muslim yang taat. Tidak pernah tinggalkan solat. Puasa pun tak pernah tinggal. Kami lihat Islam dia lebih baik dari kami.”

Saya amat terkejut mendengar berita ini.  Apa yang saya  ingatkan Haris betul-betul terjadi. Dia tidak sempat mendaftar di pejabat agama gara-gara ingin menjaga hati ibunya. Dia masih menyembunyikan aqidahnya dari ibunya sendiri.

“Ya Allah.. Astaghfirullahal azim. Apa yang saya gusarkan betul-betul berlaku.”

Hanya itu yang terkeluar dari mulut saya.

“Itulah Ustaz. Kami pun    pening bagaimana nak uruskan jenazah Haris.  Semua dokumen dia menyatakan dia beragama kristian. Kad pengenalan dia tertulis kristian. Dokumen Haris dalam sistem kami pun menyatakan dia beragama kristian.   Kami dapati borang pulapol dulu yang bertulis tangan pun Haris tulis agama kristian.”

Fariz  meluahkan  apa yang  terbuku  di hatinya.

“Jadi. Apa yang kamu perlu buat ustaz. Ustaz pun sahkan dia sudah Islam. Kami pun bersaksi dia  Islam.”

“Kalau begitu, kita tidak boleh buat apa-apa. Kita tidak ada bukti sah bertulis dan juga dokumen  menunjukkan Haris sebagai Islam. Payahlah.”

“Jadi , tidak ada jalan lain kah ustaz? Pilu hati kami Ustaz mengenangkan nasib Haris ni.” Fariz masih mendesak minta pandangan saya mencari jalan keluar.

“kita terpaksa lepaskan Haris. Kita tidak ada hak untuk uruskan jenazah dia sebagai Muslim. Kalau kita tuntut  pun hanya akan menimbulkan kontroversi saja. Lagi pun  saya susah ingatkan Haris kemungkinan akan berlaku sebegini.”

Saya hanya mampu bertegas sebegitu memandangkan dokumen rasmi tidak memihak kepada kami. Tidak ada guna untuk buat tuntutan.

Ya Allah sedihnya kami Ustaz. Bagaimana nasib Haris di alam barzakh nanti. Terseksanya dia.”

Fariz mengeluh.

“Tidak. Insya Allah. Allah lebih tahu keadaan dia. Di alam barzakh nanti dia tetap bersama orang beriman.  Dia tidak akan terseksa. Dia sudah muslim.”

Hanya itulah jawapan saya untuk menenangkan Fariz dan rakan serumahnya.  Saya mengucapkan terima kasih kepada Fariz kerana memaklumkan kepada saya berita ini. Saya meminta mereka bersabar dan mendokan  agar Allah mengampunkan dosa Haris dan   rohnya ditempatkan bersama orang beriman seterusnya dimasukkan ke syurganya yang luas terbentang.

Allah tahu apa yang berlaku. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku pada Haris.


No comments: