Monday, February 10, 2025

HARRY SIM 8 : JANGAN AMBIL ANAK SAYA

 Panggilan dari Fariz, rakan sekerja dan rakan serumah Haris amat menggangu perasaan saya. Saya  amat  amat sedih dan sayu dengan apa yang telah  berlaku kepada Haris.  Tiada apa yang saya dan rakan muslim lakukan apabila semua  dokumen membuktikan bahawa Haris masih dalam agama lamanya.  Hanya bukti  saksi hidup sahaja yang mampu digunakan. Bukti itu tidak cukup kuat berbanding dokumen rasmi.

Peristiwa yang menimpa Haris berlaku pada hari Jumaat. Sekurang-kurangnya Haris dijemput mengadap pencipta pada hari mulia.  Siapa yang meninggal pada hari jumaat ada kelebihannya yang tersendiri, agak istimewa berbanding  dari hari yang lain. 


Pada pagi sabtu yang hening ketika saya masih berehat sambil mengadap komuter menyelesaikan kerja-kerja peribadi saya, tiba-tiba henset saya berdering. Hanya nombor panggilan yang keluar . Maknanya pemanggil ialah seseorang yang saya tidak kenali. Setelah saya menekan butang terima terdengar suara  pemanggil yang  macam sedikit cemas.

“Ustaz Abdullah ka ni?”

“Ya. Saya Ustaz Abdullah. Siapa di sana ya?”

“Ustaz, Jangan lah ambil anak saya. Itu anak saya”. Terdengar suara tersekat-sekat dan sayu menggambarkan emosi pemanggil yang terganggu.

“Eh.. Apa ni? Saya tak fahamlah. Siapa ni? Siapa anak Makcik?”.  Saya bertanya kembali. Memang terkejut  bila terus perbualan dimulakan begitu. Saya tidak faham hujung pangkal dan latar belakang pemanggil.

“Saya mamak  si Harry. Semalam Harry sudah tiada , meninggal di Perak sana tempat dia kerja.” Saya mendengar suara tersekat sekat. Rupanya  pemanggil ialah Ibu Harris yang meninggal di Simpang Pulai semalam.

“Oh ya. Saya dapat berita semalam. Takziah untuk makcik sekeluarga. Harry orang baik.”

“Ustaz  jangan ambil anak saya. Itu anak saya.”

“Eh. Kenapa saya nak ambil anak makcik pula.    Itu kan anak makcik.”

“Semua orang bilang  Ustaz nak ambil anak saya sebab dia sudah muslim. Ustaz yang Islamkan dia. Kami tidak boleh uruskan Harry mengikut agama kami.” Saya dengar semakin kuat esakannya.

Tidak makcik. Kami tidak akan tuntut anak makcik. Dokumen dia semuanya tidak menunjukkan dia adalah muslim.    Pihak polis pun akan uruskan sebagaimana biasa dengan keluarga makcik.  Saya dapat tahu bahawa  Harry akan dihantar ke Sandakan dan akan diserahkan kepada makcik”.

Saya menerangkan keadaan kedudukan status Harry kepada ibunya.  Saya juga memberi jaminan tidak akan  buat tuntutan terhadap jenazah Harry. Saya hairan kenapa tiba-tiba saya menjadi watak penting  rujukan dalam kes ini.  Siapa yang menggunakan nama saya dan siapakah telah memberi nombor telefon saya kepada rakan Haris dan juga keluarganya.

Saya berbual lagi dengan ibu Haris . Dia sudah mula tenang dan mampu bercakap dengan baik. Banyak dia bercerita tentang Haris kepada saya.  Haris adalah anak yang baik. Anak yang taat. Tidak  pernah melukakan hatinya.  Haris banyak  membantu keluarganya. Gaji Haris sebagai polis sebahagian besarnya di serah kepada ibunya. Semenjak  Haris bekerja beban dia menjaga anak-anaknya lebih ringan.

Sekarang Haris sudah tiada. Dia  hilang punca. Saya memberi jaminan kepadanya bahawa pihak kerajaan akan memberi pampasan kepada keluarga Haris kerana  meninggal ketika bertugas. Ibunya tidak perlu risau.  Pihak kerajaan akan bantu.  Semua manfaat kematian akan dapat kepada keluarganya. Itu saja yang mampu pujuk ibu Haris.

Ibunya memberitahu saya bahawa jenazahnya akan sampai esok hari iaitu hari Ahad dan  akan disempurna dengan sepenuhnya dengan  upacara  Kristian. Saya  hanya mampu mengiyakan saja   . Hati ini amat sedih dan amat perit dengan apa yang berlaku. Namun apa yang saya mampu lakukan. Kami tiada dokumen jelas bahawa Harry sudah muslim. Kami tidak mahu timbulkan isu kontroversi yang boleh memburukkan nama Islam itu sendiri.

Hati saya hanya mengatakan bahawa ini adalah pilihan Haris sendiri.  Tapi yang pastinya Haris meninggal dalam imannya yang kuat.  Allah maha mengetahui keadaan  Haris. Allah maha adil.


No comments: