Thursday, July 09, 2020

Aceh Siri 1:Rehlah ke Pulau Sabang dan Acheh 4 hingga 8 Febuari 2019

Saya telah memasang janji dengan isteri dan anak-anak untuk membawa mereka menaiki kapal terbang apabila berjaya menyelesaikan pengajian peringkat Phd. Alhamdulillah setelah selesai Viva Voice pada 5 Disember 2018, saya terus mula merancang untuk membawa anak-anak berjalan naik kapal terbang. Hanya Arwa, Hana dan Inas belum mempunyai pengalaman menaiki kapal terbang. Manakala yang lain setiap tahun merasai pengalaman membelah di awan biru semasa kami sekeluarga bermuqim di Sabah dari tahun 2001 sehinggalah tahun 2008.
Pada awalnya saya hanya bercadang untuk membawa anak-anak hanya untuk penerbangan satu hari pulang balik ke Pulau Pinang atau Terengganu sahaja. Namun apabila membuat semakan harga tiket untuk cuti Tahun Baru Cina harganya bukan alang-alang. Harga tiket untuk seorang pergi dan balik hampir RM250 seorang tanpa makan. Kalau untuk 10 orang sudah RM2500. Tempoh penerbangan pula kurang dari satu jam kurang memberi kepuasan kepada anak-anak untuk menikmati pengalaman di awan biru. 
Kemudian saya  beralih kepada Borneo sebagai destinasi pilihan dan yang paling dekat ke Kuching. Namun apa yang lebih mengejutkan ialah harga tiket yang mencecah RM400 seorang untuk penerbangan pergi balik. Belum masuk kos penginapan dan pengangkutan. Ya lah waktu Hari Cuti Tahun Baru Cina. Terlintas di kepala tentang impian melawat Aceh yang belum kesampaian untuk  melihat dan menulusuri sejarah bencana Tsunami yang telah telah meragut  ratusan ribu nyawa penduduk. Lalu jari mengetip menukar destinasi airasia ke Banda Aceh. Amat mengejutkan! harga tiket untuk pulang balik hanya RM180 untuk seorang. 

Nah! ini sudah peluang besar dapat bawa anak-anak melancong keluar negara. Kos tambahan yang perlu untuk ke Indonesia ialah pasport. Muaz dan Ziad yang memiliki pasport antarabangsa, tinggal lagi Aufa, Alya, Uwais, Arwa, Hana dan Inas. Setelah disemak bayaran untuk pasport antarabangsa kanak-kanak 12 tahun kebawah hanya RM100. Hanya Aufa dan Alya yang melebihi 12 tahun menjadikan jumlah kos permohonan pasport hanya RM800 untuk 6 orang. Setelah dikira kos tiket dan pasport hanya RM2400 adalah amat berbaloi untuk percutian keluar negara. 

Setelah membuat kajian dan bacaan di blog-blog pengembara yang telah sampai ke Aceh saya dapat membuat kesimpulan bahawa  kos pelancongan ke Aceh adalah lebih murah berbanding melancong dalam negara. Ini kerana kos pengangkutan, makanan dan perkhidmatan lain jauh lebih murah berbanding dengan Malaysia. Berdasarkan itenarary  blogger pengembara keputusan telah diambil untuk merancang percutian tahun baru Cina ke Aceh untuk 5 hari 4 Malam meliputi Pulau Sabang dan Bandar Aceh. Rehlah bermula pada Hari Isnin 4 Feb sehingga Jumaat 8 Feb 2019.
Bacaan tentang pengalaman pengembara dalam laman web tripadvisor.com dan juga ulasan di dalam web Agoda dan booking.com memudahkan kami untuk memilih lokasi penginapan dan juga hotel yang sesuai dengan keluarga besar kami. Alhamdulillah Ummi, Khadijah dan widad akan bersama dalam rehlah ini disamping Fatanah sekeluarga. Jumlah semua ahli rombongan ialah 18 orang. Dengan jumlah itu, 5 bilik perlu ditempah setiap malam. Alhamdulillah di Pulau Sabang saya memilih Panorama Seulako yang terletak di Iboih untuk penginapan 2 malam. Resort ini walaupuan jauh dari pekan tetapi ia mempunyai pantai khas yang memberi privasi kepada tetamu. 


Alhamdulillah melaui blog Raja Pulau Weh saya  mendapat nombor Yasir untuk mengatur pengangkutan sepanjang rehlah kami di Pulau Sabang. Yasir juga telah mencadangkan rakannya Bob untuk mengatur perjalanan kami ketika di bandar Acheh. Dengan perbincangan dan cadangan dari pak supir Yasir dan Bob itenerari perjalanan dan bajet hampir lengkap. Anggaran perbelanjaan rihlah Aceh kurang dari RM7 ribu untuk kami sekeluarga seramai 10 orang.


No comments: