Thursday, December 03, 2009

Iblis, Syaitan, Jin, Ifrit dan manusia


“Ustaz! Jadi ke kuliah maghrib malam ini?”

“Insya Allah ok”

Saya menjawab dengan yakin walaupun hati ini berat untuk menyanggupinya. Letih perjalanan jauh balik beraya dari kampung masih terasa. 12 jam perjalanan dari Kelantan melalui Lojing, Cameron Highland dan Tapah amat meletihkan. Tetapi mengingatkan sudah banyak siri kuliah saya yang tertangguh terpaksa juga kuatkan semangat untuk memenuhi hasrat para jemaah surau.

Tajuk yang dipilih ialah pengenalan tentang alam jin dan syaitan yang saya petik dari artikel di laman islamweb. Rasanya tajuk ini menarik minat para jemaah dari tajuk-tajuk lain lebih menjurus kepada ibadat dan tawasuf yang biasanya menjadi aliran utama kuliah-kuliah maghrib di sini.

Seakan telah menjadi fenomena sekarang bahawa masyarakat di sogokkan dengan alam mistik dan ghaib. Lambakan filem, drama dan rencana memenuhi media kita samaada ianya di import atau dihasilkan di dalam negara. Bahkan suatu ketika dulu berita sejadah berdiri menjadi liputan meluas di dalam media Negara kita menggambarkan arus pemikiran dan kepercayaan masyarakat Islam Malaysia.

Masyarakat Islam di Malaysia masih lagi dipengaruhi oleh fahaman animisme dan tahyul. Amat mudah percaya kepada kepada keajaiban. Tidak peliklah kenapa begitu banyak ajaran sesat di Malaysia dan begitu ramai juga pengikutnya. Jin adalah makhluk yang Allah ciptakan sebelum penciptaan manusia. Ia hidup bersama malaikat sebagaimana yang diceritakan di dalam al Quran bahawa Allah memerintahkan kepada malaikat agar mereka semua sujud hormat kepada Adam. Mereka semua sujud melainkan Iblis yang engkar tidak mahu sujud kerana merasakan bahawa tidak layak untuk menghormati sesiapa yang lebih rendah taraf darinya.

Jin adalah makhluk Allah yang diciptakan dari api yang tidak mempunyai asap dan amat panas. Ia adalah makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dan dirasai oleh pancaindera. Nama “jin” dipanggil kepada makhluk Allah yang ghaib ini selain dari malaikat. “Iblis, syaitan, dan ifrit adalah dari kalangan jin. Begitu juga nama-nama yang diletakkan oleh masyarakat melayu sebagai polong, hantu raya, jerangkung dan sebagainya adalah nama-nama yang telah diberikan kepada jin-jin ini.

Perkataan syaitan disebut kepada sesiapa yang jahat dan buruk perangai sehingga melampaui batas tidak kira ianya manusia, jin ataupun binatang. Cuma ramai menganggap bahawa apabila disebut syatan ia adalah makhluk ghaib yang suka menggoda dan menyesatkan manusia. Manusia juga boleh menjadi syaitan apabila ia berkelakuan jahat begitu juga binatang. Allah menyebut di dalam surah an Nas bahawa mereka membisikkan dan menghasut kearah kejahatan ialah dari kalangan jin dan manusia. Itulah syaitan.

Iblis adalah nama bagi Jin peringkat atasan yang menjadi ketua bagi jin-jin. Manakala Ifrit pula ialah jin professional yang mempunyai kemahiran dan kekuatan tertentu berbeza dari jin biasa.

Secara ringkasnya ialah makhluk yang Allah ciptakan di alam ini ialah malaikat, manusia, jin dan binatang. Cuma kelebihan manusia ialah mempuyai roh yang ditiupkan oleh Allah semasa ciptaan Adam dahulu menjadikan manusia sebagai makhluk yang paling mulia mengatasi malaikat dan juga jin. Lantaran itulah terdapat segolongan jin yang tidak berpuas hati hati dengan kelebihan dan keistimewaan manusia. Golongan jin inilah yang berusaha untuk menyesatkan manusia dengan pelbagai usaha dan helah agar sama menjadi penghuni neraka di akhirat nanti.

3 comments:

Anonymous said...

Perkongsian ilmu yg baik daripada Ustaz. Teruskan.

Anonymous said...

Perkongsian ilmu yg baik daripada Ustaz. Teruskan.

Pembantu Pejuang said...

a;kum akh.. apa habaq? bagus info jin ni.. filem best dah.. tapi yang berlakon pun abis berlakon jd takut jin plak.. tak faham la depas ni.. kata ust ismail kamus.. huruf jim + nun kebanyakan bawa maksud benda/hal yang tersorok/tak nampak.. jin/junun/junnah/jannah/janin dsb.. :)