Friday, April 10, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA: TETAMU AYAH

 Sepanjang menguruskan jenazah ayah, ramai saudara-mara dan rakan-rakan ayah yang datang dari jauh. Saya perasan kehadiran mereka. Ada yang sempat saya bersalam dan bertanya khabar, dan ada juga yang tidak. Jika mereka mencari saya, mungkin sempatlah kami bertemu mata. 


Ramai dalam kalangan mereka mencari Ummi. Namun, Ummi berada di dalam rumah, begitu juga kakak sulung saya yang banyak menemani Ummi, memerhati pengurusan terakhir jenazah. Maka, ada yang hanya sempat bertemu Pak Saudara kami di halaman rumah, terutama bagi mereka yang perlu segera pulang.

Saya agak ralat kerana tidak sempat menyantuni mereka semua. Hakikatnya, dalam Islam, menziarahi keluarga yang ditimpa musibah bukan sekadar hadir, tetapi hadir dengan adab, niat dan hikmah.

Antara adab utama ialah mengucapkan takziah dengan kata-kata yang menenangkan dan mengingatkan kepada Allah. Sabda Rasulullah :

إِنَّ لِلَّهِ مَا أَخَذَ، وَلَهُ مَا أَعْطَى، وَكُلُّ شَيْءٍ عِنْدَهُ بِأَجَلٍ مُسَمًّى، فَلْتَصْبِرْ وَلْتَحْتَسِبْ

“Sesungguhnya milik Allah apa yang Dia ambil dan milik-Nya apa yang Dia beri. Setiap sesuatu di sisi-Nya ada tempoh yang ditetapkan. Maka bersabarlah dan harapkanlah pahala.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ziarah juga hendaklah dilakukan dengan tidak memberatkan keluarga si mati—tidak berlama-lama tanpa keperluan, menjaga tutur kata, serta tidak mengungkit kesedihan secara berlebihan. Kehadiran yang ringkas tetapi penuh empati lebih mendamaikan daripada kunjungan yang panjang tanpa tujuan.

Selain itu, antara sunnah yang dianjurkan ialah membantu meringankan beban keluarga si mati, termasuk menyediakan makanan. Sabda Rasulullah :

اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا، فَقَدْ أَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ

“Sediakanlah makanan untuk keluarga Ja‘far, kerana telah datang kepada mereka perkara yang menyibukkan mereka.”
(Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi)

Ketika menurunkan jenazah ke liang lahad, sekilas pandang saya ternampak adik ayah yang sangat jarang kami temui. Dia menetap di Bukit Tambun, Siam. Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah ketika saya di awal sekolah menengah. Pernah suatu ketika dahulu dia datang ke rumah kami atas beberapa urusan.

Selepas itu, kami tidak pernah lagi bertemu. Anak-anaknya semuanya perempuan, dan saya juga sudah tidak begitu mengingati wajah mereka. Saya pernah ke rumahnya ketika masih di sekolah rendah. Ketika itu, kami agak malu-malu untuk bergaul rapat walaupun bersaudara sepupu.

“Pak Nik datang juga tadi. Dia sampai sebelum Jumaat. Jenazah sudah dihantar ke masjid.”
“Ada jumpa dia?”
“Dia kata kena cepat. Dia datang dengan kawannya. Dia mahu pulang awal sebelum sempadan ditutup.”

Itulah yang Ummi ceritakan kepada saya selepas saya pulang dari pengkebumian ayah.

Ramai yang datang berjumpa Ummi di rumah tetapi tidak sempat bertemu saya. Saya agak sibuk menguruskan jenazah sejak dari memandikan sehinggalah dibawa ke masjid, seterusnya ke tanah perkuburan, dan menunggu sehingga selesai bacaan talkin.

Beberapa orang sempat datang bersalaman dengan saya dan mengucapkan takziah.

Selepas selesai bacaan talkin oleh imam, saya pulang bersama adik dan anak saya, meninggalkan beberapa orang yang baru tiba di kubur. Saya meminta izin untuk beredar. Di tanah perkuburan juga, masih ramai yang datang menziarahi. Mereka mengambil fadilat dan kelebihan yang Allah sediakan melalui ziarah kematian hingga ke kubur.

Ziarah ini bukan sekadar mengenang pemergian ayah saya, tetapi juga menjadi peringatan tentang dekatnya kematian. Sabda Rasulullah :

كُنْتُ نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمُ الْآخِرَةَ

“Aku dahulu melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah ia kerana sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.”
(Riwayat Muslim)

Bahkan, mereka yang mengiringi jenazah hingga ke pengebumian dijanjikan ganjaran yang besar:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلَّى عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَهَا حَتَّى تُدْفَنَ فَلَهُ قِيرَاطَانِ

“Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga disolatkan, baginya satu qirat; dan sesiapa yang menyaksikannya sehingga dikebumikan, baginya dua qirat.”
قِيلَ: وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

“Ditanya: Apakah dua qirat itu? Baginda menjawab: Seperti dua gunung yang besar.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa kepada jenazah adalah hadiah yang tidak ternilai. Sabda Rasulullah :

إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثٍ... أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ

“Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga… antaranya anak soleh yang mendoakannya.”
(Riwayat Muslim)

Bahkan, ramai orang yang mendoakan menjadi sebab diterimanya syafaat buat si mati:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ فَيُصَلِّي عَلَيْهِ أُمَّةٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ... إِلَّا شُفِّعُوا فِيهِ

“Tidaklah seorang Muslim meninggal dunia lalu disolatkan oleh sekumpulan orang Islam… melainkan mereka diberi syafaat untuknya.”
(Riwayat Muslim)

Bagi keluarga yang ditinggalkan, kehadiran para penziarah yang beradab, ucapan yang baik serta doa yang tulus menjadi penawar duka. Ia menguatkan hati dan menenangkan jiwa yang sedang diuji.

Di rumah, masih ramai saudara-mara, jiran dan sahabat handai ayah yang hadir. Saya melayan mereka seadanya, menjawab soalan-soalan yang diajukan. Mereka banyak berkongsi tentang kebaikan ayah sepanjang hidupnya bersama mereka.

Ya, saya akui ayah seorang yang baik. Dia tidak pernah berdendam dengan sesiapa. Dia banyak bertolak ansur dan memilih untuk mengalah dalam banyak keadaan.

Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, merahmati rohnya, meluaskan kuburnya, dan menempatkannya bersama orang-orang soleh.

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ

Semoga Allah juga mengurniakan kepadanya syurga yang luas terbentang, serta mengurniakan kesabaran buat kami yang ditinggalkan.

No comments: