Wednesday, April 22, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA: TANGISAN JIRAN

Pagi hari kedua, Sabtu. Keletihan masih bersisa dalam tubuh. Seusai solat Subuh di masjid, saya merebahkan badan seketika di tepi ruang solat, berhampiran ruang tamu. Mata terpejam, namun jiwa masih belum benar-benar tenang. 


Tiba-tiba, kesunyian pagi itu pecah.

Esakan tangisan seorang wanita dewasa menusuk ke dalam dada. Bukan tangisan biasa tetapi tangisan yang sarat kehilangan.

Saya tersentak dari lena. Bangun perlahan-lahan, lalu melangkah ke arah suara itu. Kelihatan Ummi sedang memujuk seorang jiran kami yang teresak-esak.

Makcik Era (bukan nama sebenar), jiran yang rumahnya di simpang masuk ke rumah kami. Rumahnya dekat dengan jalan, dan hatinya pula dekat dengan kami. Setiap kali ada kenduri atau urusan, dialah antara orang terawal yang datang membantu.

Suaminyalah yang paling rajin membantu sepanjang pengurusan jenazah ayah, dialah yang bersungguh-sungguh mencari lori kecil untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan.

Dengan suara yang tersekat-sekat, Makcik Era meluahkan perasaannya:

“Makcik… saya sedih sangat… pakcik dah tak ada…”

“Setiap pagi saya dah terbiasa terbangun bila dengar bunyi enjin motor pakcik lalu depan rumah… nak pergi solat Subuh di masjid…”

“Bila dengar bunyi motor tu… saya tahu… sekejap lagi masuk waktu Subuh…”

“Saya dan suami dah biasa begitu…”

“Suami saya akan cakap… bangun… motor pakcik dah lalu… dah nak Subuh…”

“Tapi pagi ni… saya tunggu… tunggu… tak ada…”

“Baru saya teringat… pakcik dah tak ada…”

Selesai ayat terakhir itu, tangisannya pecah semula, lebih kuat, lebih dalam seakan melaung ke seluruh ruang rumah kami. Suasana menjadi hening, hanya diisi dengan suara pilu itu. Adik saya yang berada di dapur dan di dalam bilik turut keluar, terpanggil oleh tangisan tersebut.

Di kampung, panggilan “pakcik” dan “makcik” bukan sekadar gelaran. Ia tanda kasih dan keakraban. Ayah bukan sekadar ahli keluarga kami, tetapi sebahagian daripada hidup masyarakat sekeliling.

Ummi memeluk Makcik Era erat, menenangkan dengan penuh kasih. Sedikit demi sedikit, tangisannya reda… namun kesedihan itu masih terasa berbekas di ruang hati kami semua.

Saya terpaku.

Tersentuh. Terharu. Dan dalam diam, saya berfikir—betapa besarnya kesan kehidupan seorang insan apabila kehilangannya dirasai sebegini rupa.

Rasulullah bersabda:

"خَيْرُ النَّاسِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ"
“Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.”
(Riwayat al-Tabarani)

Ayah… bukan sahaja baik pada kami sebagai anak-anaknya, bahkan juga kepada jiran dan masyarakat.

Namun, yang paling kami kagumi dan wajar dicontohi ialah istiqamahnya menjaga solat berjemaah di masjid.

Setiap waktu.

Setiap hari.

Terutama Subuh.

Ayah akan ke masjid sekitar 10 minit sebelum masuk waktu. Ketika azan berkumandang, beliau sudah berada di saf hadapan, bersedia menyahut panggilan Allah.

Malah, beberapa kali ayah sendiri yang mengumandangkan azan Subuh apabila bilal terlewat tiba.

Allah berfirman:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
“Sesungguhnya solat itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang beriman.”
(Surah an-Nisa’: 103)

Dan Rasulullah juga bersabda:

"أَثْقَلُ الصَّلَاةِ عَلَى الْمُنَافِقِينَ صَلَاةُ الْعِشَاءِ وَصَلَاةُ الْفَجْرِ"
“Solat yang paling berat bagi orang munafik ialah solat Isyak dan Subuh.”
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Lihatlah…

Bagaimana satu amalan yang dilakukan dengan istiqamah, walaupun nampak biasa—memberi kesan luar biasa kepada orang lain.

Bunyi enjin motor ayah setiap Subuh bukan sekadar bunyi—tetapi menjadi “jam loceng iman” bagi jiran-jiran.

Satu dakwah tanpa kata.

Satu peringatan tanpa bicara.

Saya yakin… air mata Makcik Era itu bukan sekadar tangisan kehilangan—tetapi juga doa yang lahir dari hati yang ikhlas.

Sabda Nabi :

"إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثٍ..."
“Apabila mati seorang manusia, terputuslah amalannya kecuali tiga…”
(Riwayat Muslim)

Mungkin… antara yang terus mengalir untuk ayah ialah kesan amal solehnya yang menghidupkan hati orang lain.

Ya Allah…

Ampunkanlah dosa ayah kami.
Rahmatilah rohnya.
Lapangkan kuburnya dan teranginya dengan cahaya iman.
Tempatkanlah dia bersama para solihin.

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ

Kurniakanlah kepadanya syurga yang luas terbentang…
Dan kurniakanlah kepada kami yang ditinggalkan—kesabaran yang indah dan kekuatan untuk meneruskan legasi amalnya.

No comments: