Wednesday, April 29, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA : SUSU DATUK

“Nak susu datuk…”

Satu pagi, anak saya bersuara ketika kami semua sedang duduk di meja makan untuk sarapan. Permintaan itu meruntun hati saya. Ia menghidupkan kembali ingatan kepada kebaikan ayah yang tidak pernah jemu memberi. 

‘Susu Datuk’  begitulah panggilan anak-anak saya kepada air teh susu yang menjadi minuman kegemaran ayah.

Seolah-olah sudah menjadi rutin, setiap kali kami pulang ke kampung dan baru sahaja melangkah masuk ke rumah, ayah akan menyapa:

“Siapa mahu teh susu?”

Anak-anak saya pasti akan menyahut penuh teruja.

“Nak… nak…” sambil mengangkat tangan, lalu berlari ke dapur menunggu ‘Susu Datuk’ yang bakal disediakan.

Ayah memang seorang yang ringan tulang. Tanpa berkira, beliau akan membancuh sendiri teh susu dan menghidangkannya kepada saya serta cucu-cucunya. Tidak pernah lokek, tidak pernah berkira. Setiap cawan diisi dengan penuh kasih sayang, seolah-olah itulah bahasa cintanya kepada keluarga.

Daripada situlah, teh susu itu bertukar nama daripada sekadar minuman biasa kepada ‘Susu Datuk’ yang penuh makna.

Setiap kali pulang ke kampung, saya juga akan membeli susu pekat manis dan teh sebagai buah tangan untuk ayah. Bahkan sebelum pulang ke Bangi, saya akan pastikan stok susu pekat manis ditinggalkan secukupnya  agar kegemaran ayah itu sentiasa ada.

Kebaikan ayah bukan sekadar perbuatan sekali-sekala, tetapi menjadi rutin yang konsisten.

Walaupun saya pulang seorang diri tanpa anak-anak, ayah tetap akan membancuh teh susu tanpa perlu ditanya, lalu meletakkannya di hadapan saya di meja makan.

Diam-diam, tetapi penuh makna.

Ayah seorang yang biasa dengan kerja kebun. Setiap pagi, seawal subuh, beliau akan ke masjid dan kemudian terus ke kebun. Pulang sahaja, sarapan sudah tersedia hasil tangan ummi. Namun teh susu  itu tetap ayah yang bancuhkan sendiri, mengikut seleranya.

Kini, semua itu hanya tinggal kenangan.

Tiada lagi ‘Susu Datuk’ yang menyambut kepulangan kami. Tiada lagi tangan tua yang setia membancuh minuman penuh kasih itu.

Pernah suatu ketika, anak-anak saya bersuara ketika pulang ke kampung:

“Tiada lagi susu datuk… kalau nak minum, kena bancuh sendiri lah…”

Kata-kata itu ringkas, tetapi cukup menghiris.

 

Daripada secawan teh susu, ayah telah mengajar kami tentang makna memberi tanpa diminta.

Tentang adab melayan tetamu  walaupun itu anak dan cucu sendiri.

Tentang kasih sayang yang tidak diungkap dengan kata-kata, tetapi dizahirkan melalui perbuatan kecil yang berulang.

Rasulullah juga menunjukkan contoh yang sama dalam kehidupan Baginda — sentiasa melayan keluarga dan tetamu dengan penuh ihsan.

Sabda Baginda :

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ، وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي
"Sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya."
(Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Dalam riwayat lain, Baginda sendiri membantu kerja rumah dan melayani ahli keluarga dengan penuh rendah hati.

Begitu juga dalam budaya para sahabat, memuliakan tetamu dengan menyediakan makanan dan minuman adalah tanda iman dan akhlak yang tinggi.

Firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا
"Dan mereka memberikan makanan yang disukainya kepada orang miskin, anak yatim dan orang yang ditawan." (Surah Al-Insan: 8)

Walaupun ayah tidak pernah menyebut ayat-ayat ini, tetapi kehidupannya seolah-olah menjadi terjemahan kepada nilai-nilai tersebut.

 

Daripada ‘Susu Datuk’, saya belajar:

  • Menyediakan minuman untuk keluarga adalah satu bentuk kasih sayang
  • Membuat sendiri tanpa menyusahkan orang lain adalah tanda keikhlasan
  • Menghidangkan sesuatu walaupun kecil, boleh menjadi kenangan besar dalam hati orang lain
  • Kebaikan yang konsisten akan menjadi legasi yang hidup selepas kita tiada

 

Hari ini, saya mula bertanya pada diri sendiri…

Mampukah saya menjadi seperti ayah?

Mampukah saya meninggalkan “Susu Datuk versi saya” — sesuatu yang kecil, tetapi akan diingati oleh anak-anak saya suatu hari nanti?

Kerana hakikatnya…
kasih sayang seorang ayah tidak semestinya melalui kata-kata,
tetapi melalui perbuatan kecil yang dilakukan dengan penuh cinta  setiap hari, tanpa jemu.


Ya Allah…

Ampunkanlah dosa ayah kami.
Rahmatilah rohnya.
Lapangkan kuburnya dan teranginya dengan cahaya iman.
Tempatkanlah dia bersama para solihin.

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ

Kurniakanlah kepadanya syurga yang luas terbentang…
Dan kurniakanlah kepada kami yang ditinggalkan—kesabaran yang indah dan kekuatan untuk meneruskan legasi amalnya.


No comments: