Thursday, April 30, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA: LAZIMI QIAMULLAIL

 Sebelum ini, seorang jiran kami pernah menangis hiba. Katanya, tiada lagi deruman enjin motor ayah yang saban pagi melintasi rumahnya menuju ke masjid untuk solat Subuh. Bunyi itu dahulu menjadi “penggerak waktu pagi”, kini hilang meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwanya. 


Bagi saya, kehilangan ini juga menghadirkan satu kejanggalan yang sukar dilupakan.

Setiap kali saya pulang ke kampung, sekitar setengah jam sebelum Subuh, suasana rumah sudah “hidup”. Sekitar jam 5.30 pagi, apabila saya melangkah ke ruang tamu, pasti kelihatan ayah sedang khusyuk menunaikan solat tahajjud di satu sudut rumah. Begitu juga dengan ummi.

Biasanya ayah akan mengejutkan kami dengan suaranya yang lembut tetapi tegas:

“Bangun… dah dekat nak Subuh.”

Hampir setiap pagi ayah tidak pernah terlepas mengejutkan kami. Namun, beliau tidak pernah memaksa. Jika kami tidak bangun, beliau tidak menegur apatah lagi memarahi.

Namun suatu ketika, ayah pernah berpesan:

“Jangan tinggal solat tahajjud setiap pagi, walaupun dua rakaat.”
“Itulah masa kita munajat, mengadu kepada Allah.”
“Waktu itulah kita boleh berdoa dan memohon segala hajat.”
“Allah berkuasa memberi dan mengatur segalanya.”
“Nasib kita di dunia dan akhirat semuanya di tangan-Nya.”
“Dialah yang menjadikan urusan kita susah atau mudah.”
“Bangun setengah jam sebelum Subuh sudah cukup… yang penting istiqamah.”
“Kalau tak sempat banyak, dua rakaat pun memadai.”

Itulah mutiara kata ayah—lahir daripada hati yang hidup dengan Allah. Ia bukan sekadar nasihat, tetapi amalan yang telah lama sebati dalam dirinya.

Kini saya mulai memahami… qiamullail bukan sekadar ibadah sunat. Ia adalah sumber kekuatan jiwa.

Allah SWT berfirman:

وَمِنَ اللَّيْلِ فَتَهَجَّدْ بِهِ نَافِلَةً لَكَ ۚ عَسَىٰ أَن يَبْعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامًا مَّحْمُودًا
“Dan pada sebahagian malam, bertahajjudlah kamu sebagai ibadah tambahan bagimu; mudah-mudahan Tuhanmu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”
(Surah al-Isra’, 17:79)

Allah juga menggambarkan ciri hamba-Nya yang hampir dengan-Nya:

كَانُوا قَلِيلًا مِّنَ اللَّيْلِ مَا يَهْجَعُونَ ۝ وَبِالْأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
“Mereka sedikit sekali tidur pada waktu malam, dan pada waktu sahur mereka memohon ampun.”
(Surah az-Zariyat, 51:17-18)

Bahkan pada peringkat awal dakwah di Mekah, Allah membentuk generasi sahabat dengan qiamullail:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ۝ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ۝ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ۝ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
(Surah al-Muzzammil, 73:1-4)

Perintah ini bukan sekadar ibadah ia adalah latihan jiwa.

Allah menyebut hikmahnya:

إِنَّ نَاشِئَةَ اللَّيْلِ هِيَ أَشَدُّ وَطْـًٔا وَأَقْوَمُ قِيلًا
“Sesungguhnya bangun pada waktu malam itu lebih kuat (kesannya pada jiwa) dan lebih tepat ucapannya.”
(Surah al-Muzzammil, 73:6)

Di Mekah, para sahabat bukan berhadapan kesenangan. Mereka disiksa, dipulau, dihina, bahkan dibunuh.

Namun mereka tetap teguh.

Kenapa?

Kerana malam mereka dipenuhi qiamullail.

  • Siang hari mereka berdepan tekanan manusia
  • Malam hari mereka bersandar kepada Allah

Qiamullail menjadikan jiwa mereka:

1. Teguh menghadapi ujian
Bilal bin Rabah diseksa di padang pasir, tetapi tetap menyebut: “Ahad… Ahad…”

2. Tenang dalam tekanan
Rasulullah menghadapi penolakan, cercaan dan ancaman—namun Baginda tidak rebah.

3. Yakin kepada Allah
Kerana mereka telah “berbicara” dengan Allah pada malam hari.

Rasulullah  juga berpesan:

أَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ
“Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat malam.”
(Riwayat Muslim)

Dan sabda Baginda:

يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ، فَيَقُولُ: مَنْ يَدْعُونِي فَأَسْتَجِيبَ لَهُ، مَنْ يَسْأَلُنِي فَأُعْطِيَهُ، مَنْ يَسْتَغْفِرُنِي فَأَغْفِرَ لَهُ
(Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Betapa agungnya waktu ini, waktu di mana langit “terbuka” untuk doa seorang hamba.

 

Kini, apabila ayah telah tiada… saya mula memahami sesuatu:

Ayah tidak hanya meninggalkan kenangan. Ayah meninggalkan jalan.

Saya bermuhasabah:

  • Ayah bangun hampir setiap hari — mampukah aku walau seminggu sekali?
  • Ayah istiqamah tanpa dipaksa — mengapa aku masih bertangguh?
  • Ayah hanya pesan “dua rakaat” — mengapa aku masih mencari alasan?

Sesungguhnya qiamullail bukan tentang banyaknya rakaat—
tetapi tentang hubungan dengan Allah.

 

Hari ini saya sedar…

Jika aku benar-benar ingin mengenang ayah,
bukan sekadar dengan air mata.
tetapi dengan menghidupkan amalannya.

Moga Allah mengampuni ayah, meluaskan kuburnya, dan menempatkannya bersama para solihin.

Dan moga aku diberi kekuatan untuk menyambung warisan ini—
warisan qiamullail…

Walaupun hanya dua rakaat,
tetapi istiqamah… sehingga aku juga dipanggil pulang.


Ya Allah…

Ampunkanlah dosa ayah kami.
Rahmatilah rohnya.
Lapangkan kuburnya dan teranginya dengan cahaya iman.
Tempatkanlah dia bersama para solihin.

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ

Kurniakanlah kepadanya syurga yang luas terbentang…
Dan kurniakanlah kepada kami yang ditinggalkan—kesabaran yang indah dan kekuatan untuk meneruskan legasi amalnya.


No comments: