Kereta Myvi yang tertutup dengan kain di beranda rumah masih belum mempunyai nombor pendaftaran. Kisah di sebaliknya membuatkan saya sebak.
“Eh... baru teringat. Ayah ada ambil gambar dia dengan
kereta Myvi.”
Adik bongsu ayah yang tinggal di Padang Pak Amat memberitahu
saya ketika saya sedang menilik kereta Myvi itu.
Petang Khamis, sebelum serangan jantung berlaku, ayah sudah
tidak sabar lagi. Dia mendesak ejen kereta agar membawa pulang kereta tersebut
walaupun tanpa nombor pendaftaran. Ejen kereta terpaksa mengalah kerana urusan
nombor pendaftaran hanya akan selesai pada hari Isnin. Bagi ayah, itu masih
terlalu lambat.
Ayah meminta Ayah Su, suami kepada adik bongsunya, memandu
kereta baharu itu, sedangkan ayah sendiri memandu kereta Proton Iswara lamanya.
Namun ayah sempat berpesan:
“Nanti singgah di rumah Ayah Su dulu. Nak minta ambil gambar
ayah dengan kereta baharu.”
“Nak tunjuk gambar kereta baharu kepada anak-anak.”
Maka pada petang Khamis itu, selepas Asar, ayah singgah ke
rumah adik bongsunya semata-mata untuk mengambil gambar bersama kereta
baharunya. Kamera ketika itu masih jenis klasik, menggunakan filem Kodak.
Kebetulan pula, masih ada baki gulungan filem yang belum habis digunakan.
Saya bergegas mengambil kamera itu dan menghantarnya ke
Kedai Zuna di Pasir Putih untuk diproses.
Inilah gambar kenangan ayah yang paling mahal kami miliki.
Ayah tersenyum puas bersama kereta idamannya, enam jam sebelum dijemput
menghadap Allah.
Tarikh pada gambar itu lebih awal sehari kerana kesilapan
tetapan tarikh kamera.
Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, merahmati rohnya,
meluaskan kuburnya, dan menempatkannya bersama orang-orang soleh.
اللّهُمَّ اغْفِرْ
لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ
مُدْخَلَهُ
Semoga Allah juga mengurniakan kepadanya syurga yang luas
terbentang, serta mengurniakan kesabaran kepada kami yang ditinggalkan.

No comments:
Post a Comment