Tuesday, April 07, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA: BAKTI TERAKHIR JIRAN

Usai solat jenazah kali pertama sekitar jam 11 pagi, timbul pula persoalan baharu: bagaimana jenazah ayah saya hendak dibawa ke masjid? 

Van jenazah masjid tidak dapat dihidupkan. Van itu sudah lama dan terbiar kerana tiada kematian berlaku dalam tempoh yang lama. AJK masjid juga tidak pernah menyemak keadaannya.

Setelah berbincang, kami teringat seorang jiran yang mempunyai lori kecil satu tan yang biasa digunakan untuk mengangkut barang. Buat masa ini, hanya lori itu sahaja yang ada. Dia segera pulang ke rumah untuk mengambil lori tersebut.

Namun, hampir setengah jam kemudian, dia kembali bukan dengan lori, tetapi dengan menaiki motosikal.

Kami semua memandangnya dengan penuh tanda tanya.

“Lori ada, tapi tak jumpa kunci.”

“Semalam anak saya pakai. Mungkin kunci ada dengan dia.”

Dalam kebuntuan itu, muncul seorang lagi jiran — seorang yang selama ini kami kenal sering menimbulkan masalah kepada jiran-jiran, termasuklah kepada ayah saya.

Namun saya teringat firman Allah:

وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا
“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu ialah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati, dan apabila orang jahil menyapa mereka, mereka menjawab dengan kata-kata yang sejahtera.” (Surah Al-Furqan: 63)

Itulah ayah saya. Banyak mengalah. Tidak melawan.

Haiwan ternakan jiran itu sering merosakkan tanaman kami. Apabila ditegur, jawabnya ringkas:

“Dah memang binatang. Itu makanan dia. Nak buat macam mana?”

Tiada maaf, tiada tindakan. Namun ayah selalu berpesan:

Jangan bertekak. Kita sudah menegur, itu sudah cukup. Jika mahu memelihara haiwan, jangan menyusahkan jiran — kerana itu juga dosa.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يُؤْذِ جَارَهُ
“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jirannya.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun pada hari itu, saya melihat sisi yang sangat berbeza pada jiran tersebut.

Dialah yang sibuk menyusun kerusi, melayan tetamu dan menghidangkan air. Tanpa disuruh, dia menawarkan diri untuk mencari kunci lori.

“Biar saya pergi.”

Belum sempat sesiapa bersuara, dia telah memecut motosikalnya.

Waktu semakin lewat. Kami hampir buntu. Kami sudah bersedia untuk mengusung jenazah ayah saya ke masjid jika tiada pilihan.

Namun sekitar jam 12.30 tengah hari, kedengaran deruan enjin lori.

Dia kembali… dengan lori.

Dialah yang bersungguh-sungguh mahu memandu.

“Biar saya yang bawa. Saya nak buat bakti terakhir untuk Haji ini.”

“Saya banyak buat salah dengan dia. Ini sahaja yang mampu saya buat.”

Saat itu hati saya benar-benar tersentuh.

Saya teringat firman Allah:

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ
“Katakanlah: Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.” (Surah Az-Zumar: 53)

Barangkali inilah detik lembutnya hati seorang insan.
Barangkali inilah pintu taubat yang Allah bukakan — melalui kematian ayah saya.

Sabda Nabi SAW:

التَّائِبُ مِنَ الذَّنْبِ كَمَنْ لَا ذَنْبَ لَهُ
“Orang yang bertaubat daripada dosa, seperti orang yang tidak berdosa.” (Riwayat Ibn Majah)

Patutlah hari itu dia luar biasa. Rajin membantu tanpa disuruh. Seolah-olah ingin menebus sesuatu yang lama terpendam.

Semoga Allah mengampunkan dosa ayah saya… dan juga menerima taubat jiran kami itu.

Jenazah kemudian dibawa ke masjid untuk disolatkan. Saya meminta adik saya dan dua orang anak lelaki saya menaiki lori bersama jenazah, sementara saya ke masjid dengan menaiki kereta.

No comments: