“Malam ini ada buat tahlil kah?”
“Kalau ada, saya boleh bantu jemput jiran-jiran dan buat pengumuman di masjid.”
Ketika saya ingin beredar dari kubur untuk pulang ke rumah,
seorang jiran kami yang juga AJK masjid berbisik bertanya. Dia memang seorang
yang ringan tulang dan suka membantu.
“Saya rasa malam ini belum lagi. Kami semua masih kalut
dan letih.
Mungkin malam esok. Nanti saya maklumkan.”
Saya hanya memaklumkan begitu kepadanya.
Memang sudah menjadi amalan di kampung kami bahawa tahlil
arwah dilakukan selama tiga atau tujuh malam, bergantung kepada keadaan dan
kesediaan ahli keluarga. Ada juga yang mengadakannya pada malam ke-40 dan
ke-100. Namun, amalan ini semakin berkurangan hasil usaha para asatizah dan
imam masjid yang menjelaskan bahawa tahlil bukanlah suatu kewajipan.
Setelah berbincang dengan ahli keluarga, kami memutuskan
untuk mengadakan tahlil pada malam kedua. Saya memaklumkan keputusan tersebut
kepada jiran tadi. Dialah yang membantu mencanangkan kepada jiran-jiran lain
serta membuat pengumuman di masjid.
Kami menyediakan jamuan yang ringkas sahaja menggunakan
sumbangan ‘nnawat’ (istilah masyarakat kelantan bagi duit sumbangan
kematian) daripada para tetamu serta sedikit perbelanjaan sendiri. Tahlil hanya
diadakan selama dua malam, bukan tiga seperti kebiasaan.
Saya sebenarnya mempunyai matlamat tersendiri. Sebelum
majlis tahlil bermula, saya menyampaikan ucapan ringkas kepada para hadirin.
Ramai yang hadir sehingga ada yang terpaksa berada di luar rumah.
“Terima kasih kepada semua yang hadir dan banyak membantu
menguruskan jenazah ayah saya.
Jika ada apa-apa kesilapan kata atau perbuatan daripada arwah ayah saya dan
kami sekeluarga, mohon dimaafkan.”
“Sekiranya ayah saya mempunyai hutang yang belum dilunaskan, mohon maklumkan
kepada saya agar dapat diselesaikan segera, supaya beliau tenang di alam sana.”
“Kami mengadakan tahlil ini menggunakan sumbangan na‘wat
dan wang kami sendiri, tanpa menggunakan harta arwah ayah saya. Harta beliau
kini telah menjadi harta pusaka yang merupakan hak waris, termasuk adik-adik
saya yang masih kecil dan menjadi anak yatim.”
“Jangan risau, jamuan ini tidak menggunakan harta arwah.”
“Tahlil bukanlah suatu kewajipan, dan tidak juga dituntut
secara khusus. Bahkan, ia boleh menjadi haram jika melibatkan penggunaan harta
si mati tanpa hak.”
“Insya-Allah, dengan doa tuan-tuan semua, semoga roh ayah
saya dirahmati. Namun, doa terbaik adalah daripada anak-anaknya sendiri, dan
kami akan terus mendoakannya.”
Saya juga menjelaskan bahawa dalam sesetengah keadaan,
tahlil boleh menjadi beban kepada keluarga si mati kerana melibatkan kos dan
tenaga. Dalam keadaan keluarga sedang bersedih kehilangan tempat bergantung,
perbelanjaan tambahan untuk sesuatu yang bukan tuntutan agama boleh menambah
kesukaran. Justeru, amalan di rumah kami ini tidak perlu dijadikan ikutan
sekiranya tidak berkelapangan.
Majlis tahlil kemudian diteruskan, dan kami menyantuni
tetamu dengan hidangan nasi berlauk seekor ketul ayam gulai bersama sedikit
sambal.
Usai majlis, saya bersalaman dengan para tetamu yang
beransur pulang. Tiba-tiba seorang tetamu berkata kepada saya:
“Bagus penerangan ustaz tadi tentang tahlil. Ramai orang
patut tahu perkara ini.”
“Ramai yang buat tahlil menggunakan harta arwah si mati.”
“Mereka kata tahlil ini untuk si mati juga, jadi guna harta dia sendiri untuk
kesejahteraannya.”
Seorang lagi tetamu yang turut mendengar perbualan kami
menyampuk:
“Ramai yang tidak faham bahawa harta si mati sudah menjadi
pusaka yang perlu diagihkan kepada waris, termasuk anak-anak kecil yang menjadi
yatim.”
“Ada juga yang terpaksa berhutang semata-mata untuk mengadakan tahlil.”
Itulah hakikat yang berlaku dalam masyarakat kita. Ramai
yang melakukan sesuatu amalan dengan niat yang baik, namun tanpa sedar ia boleh
bercanggah dengan tuntutan syariat.
Saya berharap tahlil di rumah saya kali ini memberi
kefahaman baharu kepada penduduk kampung.
Semoga Allah mengampunkan segala dosanya, merahmati rohnya,
meluaskan kuburnya, dan menempatkannya bersama orang-orang soleh.
اللّهُمَّ اغْفِرْ
لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ
مُدْخَلَهُ
Semoga Allah juga mengurniakan kepadanya syurga yang luas
terbentang serta mengurniakan kesabaran kepada kami yang ditinggalkan.

No comments:
Post a Comment