Thursday, April 02, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA: NASI BUNGKUS DAN DUIT KECIL

Perjalanan pulang malam itu terasa begitu panjang. Kami semua diam tanpa kata, masing-masing melayan perasaan. Anak-anak menyambung tidur, masih belum benar-benar memahami. Mereka hanya terpinga-pinga apabila diberitahu datuk sudah tiada. Namun apabila disebut “datuk sudah mati”, barulah mereka mengerti. 

Ayah dijemput Ilahi pada malam Jumaat  satu kemuliaan yang sering diimpikan oleh ramai orang. Usianya baru mencecah 63 tahun, usia yang sama ketika wafatnya Nabi Muhammad SAW. Hati kecil saya terdetik, mungkinkah ini antara doa yang sering ayah panjatkan  ingin pergi pada hari yang mulia, dalam keadaan yang dekat dengan sunnah Nabi?

Dalam perjalanan, saya menerima panggilan dari kampung. jam sekitar 3 pagi.

“Bagaimana pengurusan jenazah? Bila hendak dimandikan dan disolatkan?”

Saya menjawab ringkas, “Insya-Allah pihak masjid akan uruskan. Ayah AJK masjid dan jemaah tetap, pasti mereka akan membantu sebaiknya.”

Saya pun tidak pasti sebenarnya. Waktu masih awal pagi untuk menelefon JK masjid berbincang hal ini. Saya membuat satu keputusan yang agak berbeza daripada kebiasaan:

“Kita buat solat jenazah di masjid, selepas solat Jumaat. Jemaah lebih ramai.”

Di kampung kami, lazimnya jenazah diuruskan di rumah. Mandi, kafan, dan solat jenazah juga dilakukan di rumah sebelum dibawa ke tanah perkuburan. Namun kali ini, saya memilih pendekatan lain. Selain mengharapkan lebih ramai jemaah dan doa, saya juga ingin mengambil peluang untuk membuat pengumuman terbuka, memohon maaf bagi pihak ayah dan memaklumkan jika ada hutang yang belum diselesaikan.

Tidak lama selepas itu, saya menerima satu lagi panggilan:

“Berapa ringgit seorang untuk diberi kepada jemaah solat jenazah? Boleh kami sediakan duit kecil.”

Memang menjadi amalan di kampung kami. Sesiapa yang hadir solat jenazah akan diberikan sampul kecil berisi wang, biasanya RM5 atau RM10.

Saya kurang bersetuju dengan amalan ini. Bukan kerana tidak mampu, tetapi kerana bimbang ia menjadi satu budaya yang membebankan waris, terutama mereka yang kurang berkemampuan.

Saya membuat keputusan untuk tidak meneruskannya.

“Saya rasa tak perlu,” jawab saya perlahan.

Namun, pihak di kampung cuba meyakinkan saya. Bahkan ada yang sanggup mendahulukan duit mereka jika perlu.

Bagi saya, isu ini bukan soal mampu atau tidak. Tetapi soal budaya yang boleh menjadi tekanan kepada orang lain jika dijadikan kebiasaan.

Selesai solat Subuh di Gua Musang, satu lagi panggilan masuk:

“Berapa nasi bungkus nak tempah?”

Satu lagi adat di kampung — menyediakan nasi bungkus kepada jemaah yang hadir, selain sampul duit.

Sekali lagi saya menolak dengan baik. Walaupun ada yang menawarkan untuk menyumbang makanan tersebut, saya tetap memilih untuk tidak meneruskannya.

Memberi makan adalah amalan mulia, bahkan sangat digalakkan dalam Islam. Namun saya khuatir, jika ia dijadikan kebiasaan, ia akan menjadi satu beban kepada keluarga lain pada masa akan datang.

Ayah saya seorang yang sangat dekat dengan masjid. Seorang guru al-Quran, tempat rujukan masyarakat dalam hal agama dan kehidupan. Apa sahaja yang berkaitan dengannya berpotensi menjadi ikutan masyarakat.

Saya perlu berhati-hati.

Beberapa ketika kemudian, datang lagi cadangan:

“Nak jemput pelajar pondok untuk solat jenazah? Kami boleh uruskan.”

Saya juga menolak dengan baik. Solat jenazah akan dilakukan di masjid selepas solat Jumaat. Jemaah sudah mencukupi. Biasanya pelajar pondok dijemput untuk meramaikan jemaah di rumah, tetapi situasi kali ini berbeza.

Saya berharap, dengan keputusan ini, masyarakat akan mula melihat bahawa solat jenazah di masjid adalah sesuatu yang baik dan boleh diamalkan.

Sepanjang perjalanan itu, saya teringat satu pengalaman ketika berada di Jordan. Apabila berlaku kematian, bukan keluarga si mati yang menyediakan makanan. Sebaliknya jiran dan masyarakat sekeliling yang mengambil peranan itu. Makanan datang mencurah-curah sebagai tanda sokongan dan kasih sayang.

Itulah budaya yang lebih menenangkan hati waris.

Apa yang lebih membimbangkan saya ialah apabila kos menyediakan makanan dan duit itu diambil daripada harta peninggalan si mati. Lebih-lebih lagi jika si mati adalah ketua keluarga yang meninggalkan anak-anak yang masih memerlukan.

Bukankah itu boleh termasuk dalam memakan harta anak yatim tanpa disedari?

Allah SWT berfirman:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَىٰ ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا
“Sesungguhnya orang yang memakan harta anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu menelan api ke dalam perut mereka...”
(Surah an-Nisa’: 10)

Akhirnya saya sedar — dalam menguruskan kematian, bukan sekadar adat yang perlu dijaga, tetapi prinsip taqwa yang mesti diutamakan.

Taqwa itu ialah sentiasa menyemak dan menilai setiap amalan. Adakah ia benar-benar selaras dengan kehendak Allah, atau sekadar mengikut kebiasaan manusia.

Semoga setiap keputusan yang kita ambil, walaupun berbeza daripada kebiasaan, tetap berpaksikan iman dan reda Allah.

No comments: