Tarikh 25 Mac merupakan satu tarikh besar dalam hidup saya dan keluarga. Pada tarikh inilah ayahanda kami dipanggil kembali menghadap Sang Pencipta. Tahun ini, tarikh tersebut jatuh pada 5 Syawal, saat suasana masih lagi diselubungi kemeriahan Aidilfitri.
Namun begitu, “muka buku” tidak pernah lupa menghidupkan
kembali kenangan. Setiap kali muncul imbauan itu, hati saya kembali teringat
kepada insan yang terlalu banyak berjasa dalam kehidupan ini.
Di sebalik kepulangan ayahanda ke pangkuan Ilahi, tersimpan
seribu satu pengajaran yang tidak ternilai buat saya dan seluruh keluarga.
Detik Malam Yang Tidak Akan Dilupakan
Ingatan saya masih segar pada malam 25 Mac tersebut.
Saya menerima satu panggilan lewat malam daripada Ummi.
Ketika itu saya baru sahaja melelapkan mata, merehatkan badan dan fikiran yang
keletihan. Seharian bekerja di pejabat, kemudian disambung pula dengan
menyiapkan disertasi Master di Perpustakaan Universiti Malaya. Jam hampir 10
malam baru saya keluar, pulang ke rumah masih dengan pakaian kerja.
“Ayah tak kaba…”
Itulah ayat pertama yang saya dengar. Tiada salam, tiada
mukadimah. Suara Ummi penuh cemas dan sebak.
Saya yang masih mamai tidak banyak bertanya. Hanya
mengiyakan.
“Dok tunggu jiran nak bawa ayah ke hospital…” sambung Ummi.
Ketika itu, hanya adik perempuan yang baru menerima
keputusan SPM dan adik bongsu berada di rumah bersama ayah dan Ummi. Saya tidak
mampu membayangkan suasana ketika itu. Tanpa berlengah, saya hanya memberi satu
jawapan:
“Saya balik sekarang.”
Saya segera meminta isteri bersiap bersama anak-anak. Barang
keperluan dikemas secepat mungkin. Perjalanan pulang mengambil masa sekitar
tujuh jam.
Namun, belum sempat kami bertolak, Ummi menelefon kembali.
Ayah… telah tiada.
Jiran-jiran yang datang mengesahkan perkara itu. Namun,
mereka tetap membawa ayah ke hospital untuk mendapatkan pengesahan rasmi.
Saya kemudian menghubungi adik yang belajar di Universiti
Malaya dan tinggal di Pantai Dalam.
“Bersiap segera. Kita kena balik kampung. Ayah sedang
tenat.”
Saya tidak sanggup memberitahu perkara sebenar ketika itu.
Dalam perjalanan pulang, barulah saya memaklumkan hakikat
yang sebenar. Sebelum itu, saya telah menghubungi adik perempuan yang sudah
berkahwin dan bekerja sebagai guru.
Pada waktu itu:
- Tiga
orang adik berada di luar negara (Saudi dan Mesir)
- Seorang
baru mula mengajar di Selangor
- Seorang
sedang belajar di UM
- Seorang
lagi sedang belajar di Imtiyaz
- dua yang
juga masih kecil bersama ummi dan ayah
Saya sebagai anak sulung… segala keputusan kini berada di
bahu saya.
Perjalanan malam itu sangat mencabar. Badan keletihan, emosi
tidak stabil, dan telefon tidak henti-henti berdering menerima panggilan
saudara-mara yang ingin mendapatkan kepastian.
Dalam hati, rasa sebak datang bertubi-tubi. Terbayang
kembali detik-detik kecil bersama ayah beberapa hari dan minggu sebelumnya.
Namun saya cuba memujuk hati dengan firman Allah:
كُلُّ نَفْسٍ
ذَائِقَةُ الْمَوْتِ
“Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati.”
(Surah Ali ‘Imran: 185)
Dan juga:
إِنَّا لِلَّهِ
وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
“Sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali.”
(Surah al-Baqarah: 156)
Saya belajar untuk menerima…
Bahawa ini adalah giliran ayah.
Bahawa setiap yang hidup pasti akan pergi.
Bahawa kita tidak memiliki sesiapa—semuanya milik Allah.
Dan yang paling penting…
kita perlu redha dengan ketentuan-Nya.
No comments:
Post a Comment