Tuesday, April 28, 2026

BELASUNGKAWA AYAHANDA: AYAH TAK MAHU MENYUSAHKAN ANAK-ANAK

Tanggungjawab saya sebagai ahli keluarga selepas pemergian ayah kini ialah menyelesaikan segala urusan harta yang ditinggalkannya. Ayah bukanlah seorang yang berharta, dan tidak banyak peninggalan dunia yang perlu diuruskan. Maka, penyelesaian harta pusakanya hanya melibatkan urusan di bahagian pembahagian harta pesaka di pejabat tanah sahaja. 


Ketika saya berurusan di kaunter, seorang kakitangan wanita pertengahan umur melayan saya dengan baik. Setelah saya menerangkan maklumat yang diperlukan, dia memandang saya seketika, seolah-olah cuba mengingati sesuatu.

“Ini anak Haji Mejoh, ya? Yang meninggal beberapa hari lepas?” tanyanya untuk mendapatkan kepastian.

Saya mengangguk perlahan.

“Haji tu selalu juga datang ke sini atas beberapa urusan. Dia seorang yang peramah dan sangat baik dengan semua orang.”

Dia berhenti seketika, kemudian menyambung dengan nada yang lebih lembut.

“Ayah awak memang orang baik. Dia selalu bercerita kepada saya… dia tak mahu menyusahkan anak-anak kalau dia sakit nanti.”

“Dia kata, dia tak mahu panjang umur sampai menyusahkan anak-anak menjaganya.”

“Kalau boleh, biarlah mati dengan mudah… tak perlu masuk hospital, tak perlu sakit lama-lama. Nanti susahkan anak-anak, ganggu kerja mereka.”

“Setiap hari dia berdoa agar Allah tidak memanjangkan umurnya sehingga menyusahkan anak-anak.”

“Sekarang… nampaknya doanya sudah dimakbulkan.”

Panjang makcik di kaunter itu bercerita. Berita pemergian ayah akibat serangan jantung memang tersebar luas. Ke mana sahaja saya pergi, sesiapa yang mengenali saya pasti akan berkongsi cerita tentang ayah.

Memang itu sifat ayah sepanjang hidupnya senitasa tidak mahu menyusahkan anak-anak dalam apa jua urusan. Jika sekali-sekala dia meminta bantuan kami, itu benar-benar kerana dia sudah tidak mampu melakukannya sendiri. Selain itu, semuanya diuruskan sendiri tanpa membebankan sesiapa.

Mulia sungguh hati ayah. Begitu sekali cara dia berfikir. Sentiasa mendahulukan anak-anaknya berbanding dirinya sendiri.

Setelah saya telusuri, saya dapati antara doa yang sering diamalkan oleh ayah ialah:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ أَنْ أُرَدَّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ
“Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada dikembalikan ke usia yang paling hina (nyanyuk dan lemah).”

Doa ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 70:

وَمِنكُم مَّن يُرَدُّ إِلَىٰ أَرْذَلِ الْعُمُرِ لِكَيْ لَا يَعْلَمَ بَعْدَ عِلْمٍ شَيْئًا
“Dan antara kamu ada yang dikembalikan ke umur yang paling lemah (nyanyuk), sehingga dia tidak mengetahui apa-apa lagi setelah sebelumnya dia mengetahui.”

Ya… ayah memang tidak mahu menyusahkan anak-anak.

Namun, dalam diam ayah juga pergi tanpa memberi sebarang isyarat dan tanda. Pemergiannya terlalu cepat, terlalu tiba-tiba. Seolah-olah doa yang dipinta selama ini dimakbulkan dalam bentuk yang paling tidak disangka.

Ramai antara anak-anak ayah tidak sempat menatap wajahnya buat kali terakhir. Ada yang berada jauh di perantauan menuntut ilmu, membina kehidupan, mencari rezeki. Mereka pulang hanya untuk mengiringi jasad ayah, bukan lagi untuk mendengar suaranya atau mencium tangannya.

Di situlah terasa satu lagi hakikat kehidupan…

Tidak mahu menyusahkan itu adalah satu kemuliaan, tetapi masa dan kesempatan tidak pernah menunggu sesiapa. Kadang-kadang kita bersedia untuk bersabar, tetapi tidak pernah benar-benar bersedia untuk berpisah.

Pemergian ayah mengajar kami sesuatu yang lebih dalam—
bahawa kasih sayang tidak boleh ditangguhkan,
bakti tidak boleh dilambatkan,
dan pertemuan tidak boleh dijamin akan berulang.

Mungkin ayah tidak mahu menyusahkan anak-anak ketika sakit,
tetapi kehilangan yang mendadak itu meninggalkan satu rasa yang lebih berat—
rasa tidak sempat berbuat lebih banyak untuknya.

Rasulullah mengingatkan kita agar tidak bertangguh dalam berbuat kebaikan:

بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا...
“Bersegeralah kamu melakukan amal sebelum datang tujuh perkara…”
(Hadis riwayat Muslim)

Antara pengajaran besar daripada pemergian ini ialah jangan menunggu waktu “sesuai” untuk berbakti kepada ibu bapa. Kerana waktu itu mungkin tidak pernah datang.

Dalam hadis yang lain, Rasulullah bersabda:

رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ، ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ، مَنْ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا ثُمَّ لَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
“Sungguh rugi, sungguh rugi, sungguh rugi—orang yang sempat bersama ibu bapanya ketika tua, salah seorang atau kedua-duanya, tetapi tidak masuk syurga (kerana tidak berbakti).”
(Hadis riwayat Muslim)

Ayah tidak meninggalkan harta yang banyak, tetapi dia meninggalkan sesuatu yang jauh lebih berharga akhlak, doa, dan kasih sayang yang tidak pernah membebankan anak-anaknya.

Dia hidup dengan satu prinsip yang jarang dimiliki, tidak mahu menyusahkan sesiapa, hatta anak-anak sendiri.

Namun, pemergiannya mengajar kami bahawa kasih sayang perlu dizahirkan selagi masih ada kesempatan.

Semoga Allah mengampuni ayah, melapangkan kuburnya, menerima segala amalnya, dan menempatkannya dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Dan semoga kami anak-anaknya tidak menjadi anak yang menyesal apabila segalanya telah terlambat.

Ya Allah…

Ampunkanlah dosa ayah kami.
Rahmatilah rohnya.
Lapangkan kuburnya dan teranginya dengan cahaya iman.
Tempatkanlah dia bersama para solihin.

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ، وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ، وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ

Kurniakanlah kepadanya syurga yang luas terbentang…
Dan kurniakanlah kepada kami yang ditinggalkan—kesabaran yang indah dan kekuatan untuk meneruskan legasi amalnya.


No comments: