Travelog Maghribi Jun 2022
Alhamdulillah, kami dilayan dengan amat mesra oleh
sekumpulan pelajar lelaki Malaysia, rakan kepada sepupu saya. Rumah mereka yang
terletak di Jalan Abu Tammam (Rue Abi Tammam) merupakan sebuah rumah lama yang
agak uzur. Menurut mereka, rumah itu antara rumah sewa yang murah dan telah
diwarisi daripada generasi pelajar Malaysia terdahulu. Tidak banyak rumah sewa
pelajar Malaysia di Kenitra ini.
Tidak lama kemudian, saya menerima mesej daripada pengurus
rumah penginapan yang telah saya tempah. Saya diminta mengambil kunci rumah di
sebuah restoran berdekatan, Café Casarina.
Seorang pelajar menawarkan diri untuk menemani saya ke
restoran tersebut kerana katanya dia biasa menjadi pelanggan di situ. Sebelum
ke restoran, saya menghantar isteri ke rumah sepupu perempuan saya yang
kebetulan sudah pulang dari pesta buku. Rumahnya terletak di tepi jalan besar,
menghadap Gare de Kénitra (Stesen Kereta Api Kenitra).
Setibanya di Café Casarina, saya memesan dua cawan kopi
sambil menunggu orang yang akan menyerahkan kunci rumah.
Setengah jam berlalu. Tiada kelibat sesiapa yang datang
mencari saya.
Saya menelefon pengurus rumah tersebut. Menurutnya, dia kini
berada di Itali dan hanya menguruskan tempahan melalui Booking.com. Makciknya,
Fatma, seorang pesara, akan datang menyerahkan kunci rumah kepada saya.
Katanya, Makcik Fatma orang lama. Tidak pandai berurusan
dengan internet dan sebagainya.
Setelah saya memaklumkan kedudukan meja dan warna pakaian
saya, dia meminta saya bersabar. Makcik Fatma akan sampai sebentar lagi kerana
rumahnya agak jauh dari situ.
Sejam berlalu. Makcik Fatma masih belum muncul.
Saya menelefonnya sekali lagi dan meminta nombor telefon
Makcik Fatma supaya lebih mudah untuk kami berurusan. Namun, dia keberatan
memberikan nombor tersebut dan meminta saya terus menunggu.
Saya sudah mula berasa gelisah, tetapi masih menaruh
harapan.
Dua jam berlalu. Kopi pun sudah masuk pusingan kedua. Makcik
Fatma masih tidak kunjung tiba!
Saya menghubungi pengurus rumah sekali lagi. Kali ini,
jawapannya agak mengejutkan.
Katanya, Makcik Fatma sudah sampai ke restoran setengah jam
yang lalu, tetapi tidak menjumpai saya.
La... kenapa tidak dimaklumkan kepada saya?
Saya segera menghantar lokasi restoran melalui aplikasi
Google Maps. Dia pula terkejut dan mengatakan bahawa saya berada di restoran
yang salah. Katanya, restoran yang dimaksudkan ialah sebuah restoran lain yang
mempunyai nama yang sama.
Pelajar yang menemani saya mengatakan bahawa setakat
pengetahuannya, hanya ada sebuah Café Casarina di kawasan itu.
Namun, pengurus rumah meminta kami pergi ke restoran yang
dimaksudkannya di sebuah jalan yang tidak jauh dari situ. Katanya, Makcik Fatma
tidak biasa dengan tempat kami sedang menunggu.
Kami pun mengalah dan menuju ke lokasi yang dimaklumkan.
Setibanya di jalan tersebut, kami tidak menemui restoran berkenaan. Setelah
bertanya kepada beberapa orang di situ, mereka hanya menggelengkan kepala.
Tiada restoran dengan nama itu, kata mereka.
Saya cuba menelefon pengurus rumah sekali lagi.
Kali ini, tiada jawapan.
Aduhai... hampir tiga jam sudah berlalu. Kunci rumah belum
diperoleh. Makcik Fatma pun belum ditemui.
Semalam di Rabat kami menghadapi masalah penginapan. Hari
ini di Kenitra, sekali lagi urusan penginapan kami tidak berjalan seperti yang
dirancang.
Mujurlah pembayaran belum dibuat. Saya tidak mengalami
sebarang kerugian wang. Cuma badan semakin letih dan hampir tiga jam masa
dihabiskan untuk urusan mendapatkan kunci rumah.
Pelajar yang menemani saya tadi segera menelefon sepupu
saya. Setelah berbincang, dia memaklumkan bahawa sepupu saya mencadangkan agar
kami menumpang bermalam di rumah sewanya.
Waktu sudah lewat. Tidak berbaloi rasanya mengambil bilik
hotel yang mahal di kawasan itu, sedangkan esok pagi selepas Subuh, saya dan
isteri akan meneruskan perjalanan ke Tangier.
Subuh di Kenitra ketika itu sekitar jam tiga pagi!
Oleh sebab waktu Maghrib semakin suntuk, pelajar tadi
meminta saya membawanya ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat terlebih
dahulu. Selepas itu, dia menunjukkan jalan ke rumah sewa sepupu saya melalui
jalan-jalan yang agak bersimpang-siur.
Begitulah lumrah sebuah perjalanan. Tidak semua yang
dirancang berjalan sebagaimana yang diharapkan.
Sehingga hari ini, saya masih tidak mengetahui apa
sebenarnya yang berlaku dalam urusan penginapan tersebut. Mungkin rumah Makcik
Fatma itu benar-benar wujud, cuma berlaku masalah komunikasi antara kami,
Makcik Fatma dan anak saudaranya yang berada di Itali.
Sepanjang perbualan telefon, anak saudaranya bercakap dengan
baik dan penuh adab. Malah, dia begitu seronok berbual dengan saya kerana saya
boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab.
Saya tidak mahu bersangka buruk terhadap mereka berdua.
Dalam hal ini, saya cuba berpegang kepada pesan Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Saya lebih suka membuat telahan yang baik-baik sahaja.
Mungkin ada kesulitan yang mereka hadapi yang tidak saya ketahui. Tidak wajar
saya menghukum seseorang hanya berdasarkan sangkaan, sedangkan saya sendiri
tidak mengetahui hakikat yang sebenarnya.
Bersangka baik tidak bermakna kita tidak perlu berhati-hati.
Namun, selagi tidak ada bukti yang jelas, saya tidak mahu menuduh sesiapa.
Andai benar ada niat yang tidak baik terhadap saya, biarlah Allah sahaja yang
mengadilinya.
Itulah prinsip yang cuba saya pegang dalam kehidupan.
Di sebalik kesulitan ini, Allah hadirkan insan-insan yang
baik untuk membantu kami. Seorang pelajar sanggup mengorbankan hampir tiga jam
masanya untuk menemani saya, manakala sepupu saya pula sudi menyediakan tempat
untuk kami bermalam.
Rumah Makcik Fatma tidak kami temui, tetapi kami tetap
dikurniakan tempat untuk berteduh.
Alhamdulillah, ada sahaja jalan keluar yang Allah sediakan.
Semoga Allah memelihara kami sepanjang rihlah di bumi
al-Murabitun ini, bukan sahaja daripada kejahatan orang lain, bahkan daripada
buruknya sangkaan hati kami sendiri.


No comments:
Post a Comment