Wednesday, April 30, 2025

KRISS 8: YA ALLAH, AKU BERSERAH PADA MU

Selepas menyantuni Ustaz Mutalib dan rakan-rakan serumahnya saya kembali semula kerumah. Waktu itu sekitar jam 3 setengah pagi. Emosi saya sedikit terganggu dengan kejadian pagi ini. Motosikal yang di curi itu ialah motosikal Ustaz yang sentiasa istiqamah solat berjemaah di surau. Kadang-kadang Ustaz Mutalib juga kami minta mengimamkan solat. 

Saya terasa bahawa apa yang berlaku berkaitan kecurian motorsikal ini adalah bercanggang dengan apa yang saya tegaskan dalam tazkirah dan kempen saya kepada warga Taman Fajar. Peristiwa ini bermula apabila saya tegaskan “Jagalah Allah pastinya Allah jaga anda.” Kita jaga solat dan juga perintah lain Allah akan aturkan yang terbaik untuk hambanya yang taat. Sejurus selepas itu motorsikal Kriss saya menjadi mangsa.

Kemudian saya dan rakan ustaz yang lain meneruskan tema yang sama, motorsikal rakan saya Ustaz Tuan Roslan pula menjadi mangsa ketika dia sedang mengimamkan solat subuh. Selepas itu kami teruskan dengan kempen “Kunci dulu motorsika kemudian berserah pada Allah’ dengan menekankan konsep tawakkal dan berserah pada Allah.

Selepas semua usaha dan inisiatif ini diambil, motorsikal Ustaz yang sudah dikunci pelbagai cara ini juga menjadi mangsa. Saya sebenarnya terkesima sekejap dan terpaksa mengkoreksi diri apakah kesilapan saya dan rakan ustaz lain dalam memahami perintah Allah dan konsep syariah.

Selepas sampai dirumah saya tidak terus sambung tidur. Saya mengambil wuduk dan solat taubah dan membuat solat tahaajud bermunajat pada Allah. Antara isi munajat saya ialah

Ya Allah. Aku mohon jika ada kesilapan dalam menyampaikan Islam”

“Tunjukkan kesilapan aku agar aku sedar dan mampu memperbetulkannya.”

“Apa yang kamu tunjukkan kepada kami ya Allah..Semakin kami aktif menyampai dan menjaga perintah kamu, apa yang berlaku seolah bercanggah dengan apa yang disampaikan.”

“Ya Allah. Aku risau keyakinan kami warga Taman Fajar akan semakin pudar dengan panduan mu.”

“Selepas ini mungkin akan ada yang berkata.. Apa yang ada dalam al Quran dan hadis itu bukannya betul.”

“Aku tahu ya Allah kamulah sebaik-baik perancang. Kamulah yang mengatur segalanya. Apa yang berlaku semuanya ada hikmah. Kamu lah yang lebih mengetahui.”

“Tapi iman kami lemah untuk memahami ujian ini. Jangan uji kami dengan apa yang kami tidak mampu.”

“Tunjukkan kuasa kamu ya Allah. Aku berserah kepadaMU.”

Itulah antara isi munajat saya pada malam itu sebelum tidur kembali yang kurag lena.

Subuh pagi itu seperti biasa. Ustaz Mutalib dan rakan serumahnya hadir ke surau solat berjamaah subuh seperti biasa.

Sesungguhnya kami teruji kali ini.

Tuesday, April 29, 2025

KRISS 7: MOTOR USTAZ DIKUNCI 3 CARA PUN DICURI

Selepas hampir  3 minggu selepas  motorsikal Ustaz Tuan Roslan dicuri, warga Taman Fajar seolah semakin lupa dengan peristiwa kecurian motorsikal. Namun kempen saya dan sahabat surau masih berjalan seperti biasa.  

“Jagalah hak Allah, pastinya Allah jaga kita’. 

‘Kunci dulu motorsikal  kemudian serah pada Allah’.

 

Alhamdulillah,  kempen ini  berjalan dengan baik. Saya perhatikan  semua  warga taman mengunci pintu pagar dan juga mengunci motorsikal masing-masing.  Ada juga yang membawa masuk motorsikal kriss kedalam rumah setiap malam.  Ada yang  tidak yakin dengan keselamatan rumah walaupun  pintu pagar sudah dikunci.

Kami juga mengadakan solat hajat secara berkala setiap kali malam jumaat memohon keselamatan   warga taman Fajar. Semua orang dalam keadaan  berhati-hati. Saya juga melawat kerumah bujang jiran Ustaz Mahadir yang didiami oleh 5 orang guru bujang yang   mempunyai banyak motorsikal.  Seingat saya ada 2 buah motorsikal kriss dirumah itu manakala yang lain adalah jenis Yamaha dan Honda. Ruma bujang ini akan menjadi rumah persinggahan guru pendalaman pada hari minggu.

 

Saya menasihati mereka agar berjaga-jaga dengan motorsikal mereka kerana kecurian sudah lama tidak berlaku.  Mungkin akan berlaku bila-bila masa apabila pencuri sudah kehabisan wang hasil curi mereka pastinya mereka memulakan operasinya semula. Saya melihat guru-guru bujang semuanya mengunci motor mereka dengan ‘fork lock’ jenis yang letak di tayar di samping  kunci  biasa yang menghalang  gerakan kiri dan kanan. Ada juga menggunakan magga yang  di letak di brake disk  tayar depan atau belakang.

 

Pada  awal pagi satu hari sekitar  jam 2 pagi telefon nokia saya berbunyi panjang. Saya yang sudah lena dibuai mimpi ketika itu lambat untuk mengangkat telefon sehingga bunyi berhenti. Saya  melihat nama panggilan nama ‘Mutalib’ di skrin telefon. Ini  Ustaz di rumah bujang yang banyak motosikal ni. detik hati saya. Belum sempat saya membuat panggilan, deringan berbunyi lagi. Nama Mutalib tertera di skrin. Saya menjawab panggilan.

“Maaf Ustaz!  Ganggu  awal pagi ni.”
“Motorsikal saya di curi ustaz!”

“OK. Saya datang rumah Mutalib sekarang.”

Saya   terus bingkas bangun dari katil menyarungkan seluar dan  baju tshirt terus  terus   keluar dengan mengguna kereta proton saga Megavalve saya.  Motorsika kriss sudah tiada, biasanya kalau jarak dekat dalam taman hanya bergerak dengan motorsikal sahaja.

Sampai ke ruamah Ustaz Mutalib, saya lihat  Ustaz Mahadir sudah ada. Semua 5 orang geng guru bujang menambut saya melihat keadaan rumah dan bercerita bagaimana kecurian itu disedari.

“Kami semua tidur waktu itu. 2 orang tidur di ruang tamu. Pencuri tu masuk dari pintu dapur. Terus dia masuk keruang tamu mengambil gugusan kunci di dinding.”

“Dia buka pintu dan juga jeriji besi”

“Dia buka kunci fork lock motor kriss”

“Kemudian dia buka kunci rantai motor yang mengikatkan motorsikal di tiang porch”

“Kemudian dua bukan kunci pagar dan bawa lari motorsikal dengan kunci-kuncinya sekali”.

 

Wah hebat betul peristiwa kecurian kali ini. Untuk mengambil motorsikal Kriss Ustaz Mutalib dia terpaksa membuka 6 jenis kunci.

1.       Kunci pintu dapur.

2.       Kunci jeriji pintu depan.

3.       Kunci fork lock tayar depan.

4.       Kunci rantai yang mengikat motor di tiang.

5.       Kunci handle motor

6.       Kunci pagar.

Memang berani dan berpengalaman pencuri ini. Berani memecah masuk rumah bujang yang semuanya lelaki. Mungkin dia ada membaca mentera serapah sehingga semua orang tidak sedar ketika dia membuka semua kunci tersebut.

Kali ini pencuri motorsikan yang berkunci dan ditambat tiang. Saya teringat kempen saya

“Ikat dulu unta barulah berserah pada Allah”

“Kunci dulu motorsikal kemudian serah pada Allah”.

Tapi, apa yang berlaku ini seoalah bercanggah dengan apa yang saya sampaikan. Saya betul-teruji kali ini.

Adakah kefahaman saya salah?”

“Adakah saya silap huraikan mafhum hadis ini?”

Macam-macam yang bermain difikiran saya. Allah uji saya kali ini.

Monday, April 28, 2025

KRISS 6 : KUNCI DULU MOTORSIKAL, KEMUDIAN SERAH PADA ALLAH

 Selepas motorsikal Ustaz Tuan Roslan juga dicuri,  Ustaz Nasir dan Ustaz Kamaruddin pula bergilir datang mengambil saya di rumah untuk solat subuh di surau. Mereka bertegas mahu mengambil saya dirumah kerana rumah saya yang paling jauh di hujung Taman Fajar. Mereka bertugas bergilir mengambil Ustaz Roslan Juga walaupun rumahnya lebih dekat dengan surau berbanding dengan rumah saya. 


Selepas kejadian curi kali kedua itu, kami para jamaah surah Taman Fajar dan warga penduduk membuat hebahan  agar semua warga penduduk lebih berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga   menjaga keselamatan rumah masing-masing.

Oleh kerana trend curi hanya hanya melibat motorsikal, pemilik motorsikal terutama  dari jenis model Kriss perlu mengambil langkah keselematan yang ketat. Kami membuat kempen  ambil langkah keselamtan dan bertawakkal pada Allah.

INi adalah pesan Rasulullah berdasarkan hadis “Ikat dulu baru  bertawakkal (Berserah pada Allah)”.   Satu hari ketika Rasulullah  sedang memberi kuliah peringatan  tiba datang seroang badwi  duduk bersama di  masjlis nabi. Rasulullah bertanya   dimana untanya. Badwi itu menjawab.

“Saya lepaskan ia bebas berjalan-jalan. Aku berserah pada Allah untuk menjaganya.”

Mendengar jawapan badwi itu Rasulullah bersabda:

“Ikat dulu  unta kamu barulah berserah pada Allah.”

Rasulullah  ingin mengajar umatnya agar tidak silap memahami konsep tawakkal . Mungkin ramai menganggap berserah kepada Allah semata-mata tanpa membuat apa usaha atau mengambil langkah yang sepatutunya.  Ibarat seorang yang berserah kepada Allah tanpa bekerja dengan anggapan bawa jika berserah pada Allah dengan yakin Allah akan memberi kepadanya dengan  melalui pelbagai cara.

Walaupun terdapat perbezaan pandangan  terhadap isu tawakkal ini, saya mengambil kefahaman untuk berusaha dahulu baru berserah pada Allah. Dalam kes kecurian ini  saya dan sahabat membuat kempen agar menjaga keselamatan motorsikal.

Pemilik  setiap motorsikal perlu

1.       Motorsikal perlu diletakkan dalam pagar rumah.

2.       Pagar perlu dipastikan berkunci.

3.       Motorsika juga perlu dikunci   pemegangnya agar tidak boleh  bergerak.

4.       Tayar juga perlu dikunci agar tidak boleh  bergerak.

 

Kempen ini  disebarkan kepada semua pemilik motorsikal terutama yang berjenama Modenas Kriss kerana mungkin akan menjadi tumpuan pencuri.  Ramai golongan ustaz memiliki motor jenis ini.  Termasuk juga ustaz bujang  yang baru ditempatkan di  sekolah sekitar Sandakan.

 

Kempen kami “KUNCI DULU MOTORSIKAL KEMUDIAN SERAH PADA ALLAH”

 

Alhamdulillah mereka ini juga  beristiqamah dengan solat berjamaah di surau.  Seingat kami mereka tinggal lebih dari lima orang dan semuanya memiliki motorsikal. Jika hari minggu jumlah motorsikal  semakin banyak apabila rakan rakan guru  dari pedalaman  menumpang  tidur. Jadi kami menasihati mereka agar lebih berhati-hati agar tidak menjadi perhatian pencuri.

 

Kami juga melakukan solat hajat di surau agar  Taman kami  selamat dan  kes kecurian tidak berlaku lagi. Saya sebagaimana biasa menekannkan bahawa kita  mesti menjaga semua perintah Allah termasuk solat lima waktu dan paling baik solat berjamaah di masjid bagi golongan lelaki. Mungkin dengan cara ini Allah akan menjaga  keselamatan kita termasuk hartabenda. Allah yang menentukan segalanya.  Kami menjalani kehidupan seperti biasa . Namun apa yang saya perhatikan ialah apabila berlaku kes kecurian begini solat jemaah di surau semakin meriah. Semakin ramai yang datang ke surau.

 

Alhamdulillah kempen kami berjaya.

Friday, April 25, 2025

KRISS 5 : MOTOR USTAZ TUAN ROSLAN PULA DICURI

 Selepas hampir dua minggu dari peristiwa kecurian motorsikal Kriss saya, menjadi rutin setiap pagi  sahabat saya Ustaz Tuan Roslan yang akan   datang kerumah saya untuk  memboncengkan saya ke surau.  Jika waktu  maghrib dan Isyak dan saya tiada kuliah di masjid lain, saya hanya berjalan kaki ke Surau. Ketika pulang nanti  ramai yang boleh menghantar saya kerumah. Ustaz Kamaruddin, Ustaz Nasir yang  berdekatan  dengan rumah saya akan menumpangkan saya balik. 


Tazkirah dan kuliah saya masih menekannya tema  ‘Jaga Allah pastinya Allah jaga kita’.  Para jemaah Surau juga semakin meningkat. Surau semakin meriah. Kami golongan ustaz di Taman Fajar  bergilir menjadi imam solat berdasarkan jadual yang telah disusun.  Ustaz Kamarudin, Ustaz Nasir, Ustaz Tuan Roslan, Ustaz Mahadir , Ustaz Syukri dan saya sendiri.

Saya juga selalu memberi  penegasan bahawa jika kita menjaga perintah Allah seperti solat berjemaah,   banyak menginfaq dan berusaha  menjalankan kempen amar makruf nahi mungkar pastinya Allah akan  menjaga  kita. Allah akan memberi hidayah dan petunjuk untuk  menjadi lebih taat dan taqwa pada Allah. Allah juga akan menjaga keselamatan dan harta kita dari musibah dan ancaman lain.

Satu pagi ketika giliran Ustaz Tuan Roslan menjadi imam solat subuh. Para jamaah juga ramai pagi tu.  Usai  wirid dan tazkirah ringkas , kami semua bergegas untuk pulang kerana perlu  bersiap untuk ke sekolah.

Eh.. mana motor ana?

Ustaz tuan bertanya  kepada kami  sambil  melihat kiri kanan. Saya juga mencari kelibat motor Kriss biru Ustaz Tuan  yang  saya bonceng pagi tadi sebelum datang ke surau.

Memang saya letak sini tadi.  Saya pasti.”

Ustaz Tuan  menunjukkan tempat dia parkir motosikal. Saya juga mengiayakan. Saya juga yakin memang Ustaz Tuan parkir ditempat itu.

Para jemaah lain juga datang berkerumun  untuk melihat apa yang berlaku.  Ada sorang jemaah yang masbuk memberitahu dia terlihat ada seorang  lelaki menyorong motosikal berlalu dari arah surau. Dia tidak pasti  jenis motorsikal dan warnanya. Tapi mungkin itu adalah  motorsikal Kriss Tuan Roslan.

Memang sah motorsikal Ustaz Tuan  Roslan menjadi mangsa pagi ini. Sudah tiga motorsikal   Ustaz yang  menjadi mangsa curi. Motorsikal Ustaz Alias,  Motor saya dan terkini motorsikal Ustaz Tuan. Tetapi  apa yang menarik ialah semuanya motorsikal ustaz.  Ustaz yang bertugas sebagai Imam  surau yang boleh dikira  menjaga perintah Allah.

 Saya juga selalu memberi tazkirah  bahwa Allah akan menjaga keselamatan dan harta sesiapa  yang istiqamah menjaga perintah Allah.  Allah menguji   kami kali ini terutama saya sendiri. Peristiwa yang berlaku ini seolah bercanggah dengan apa  yang saya canangkan. Harta mereka yang tidak  ke surau selamat . Manakala  harta para ustaz yang menjaga solat , malah istiqamah solat jemaah di surau , malah bertugas sebagai imam   pula tidak selamat.

Pagi itu saya dan ustaz Tuan  Roslan dihantar oleh  Ustaz Nasir dan Ustaz Kamarudin pulang kerumah. Ustaz Tuan  akan  ke balai polis selepas waktu sekolah untuk membuat laporan polis.     Saya sendiri    amat terasa diuji kali ini.  Adakah apa yang saya sampaikan sebelum ini salah.  Saya tetap bertegas memujuk hati saya menganggap ini sebagai ujian Allah. Apa yang saya sampaikan sebelum ini tetap betul.

Saya tertanya-tanya, apakah mesej yang Allah mahu sampaikan kepada saya dan para ustaz dengan peristiwa ini. Itulah yang  sentiasa bermain di benak saya. Saya tidak pasti adakah hanya saya seorang yang terlintas   begitu difikiran.  Saya tidak pasti adakah orang lain juga terfikir begitu. Dalam hati , saya sentiasa berdoa agar Allah kuatkan hati saya agar yakin ini adalah ujian Allah kepada saya dan rakan yang lain.


Thursday, April 24, 2025

KRISS 4 : MOTOR KRISS USTAZ DALAM SEMAK BELAKANG SURAU

Pada hari pertama kejadian heboh satu Taman Fajar bahawa motorsikal Kriss Imam surau dicuri. Ramai yang bersimpati dan ingin membantu. Ketika di sekolah sekitar jam 9 pagi saya mendapat panggilan telefon dari seseorang. Saya tidak pernah kenal dia. Memperkenalkan diri dia sebagai Sarip dan tinggal di Taman Fajar juga namun jarang ke Surau katanya. 


“Ustaz! Saya kenal seseroang yang boleh tahu di mana barang curi disimpan dan juga beleh tahu siapa pencuri tu.” Sarip memberitahu saya selepas memperkenalkan dirinya.

“Bagaimana caranya tu. Bagaimana dia boleh tahu?” Saya bertanya ingin mendapat maklumat lanjut. Pelik juga ni.

“Dia akan solat hajat dua rakaat mohon pada Allah. Dalam solat tu nanti dia akan dapat ilham kat mana barang curi itu disimpan. Kadang dia boleh tahu juga siapa pencurinya.” Sarip menceritakan kepada saya dengan penuh bersemangat.

“Eh.. betulkah begitu. Tak pernah saya tahu ada orang sehebat begitu. Dengan solat hajat 2 rakaan dapat petunjuk sebegitu. Macam pelik ja. Setahu kita tidak diberi ilmu oleh Allah untuk melihat  perkara ghaib. Jangan-jangan dia tu pakai Jin tak?”. Saya bertanya kembali. Cuak juga saya mendengarnya.

“Kalau dia pakai Jin, saya tak mahulah. Jin ni kadang-kadang naik mainkan kita ja. Banyak yang tak boleh percaya. Lebih-lebih kalau sandarkan dengan solat begitu. Solat tu hanya nak kelirukan kita ja.” Saya menolak pelawaan Sarip nak membantu saya meminta orang sembahyang hajat melihat dimana motorsikal saya.

Saya bertanya lagi adakah orang itu ustaz atau perawat. Sarip mengatakan dia tidak pasti. Cuma orang itu orang biasa sahaja bukan ustaz pun. Maklumat ini menguatkan lagi tanggapan saya bahawa khidmat ini menggunakan bantuan Jin. Saya ambil keputusan untuk menolak khidmat solat hajat ini. Saya menolak dengan baik dan mengatakan bahawa saya serahkan kepada pihak polis untuk selesaikan kes kecurian motor Kriss saya.

Selang setengah jam, henset Nokia 3310 saya berbunyi lagi. Kedengaran suara Sarip dalam henset. “Ustaz! Motor Kriss ustas tu ada disimpan dalam belukar belakang surau.”

“Eh.. ya ka? Dah dapat kah?” Saya bertanya terkejut.

“Belum lagi. Saya minta juga kawan saya tu solat hajat minta petunjuk. Tak apa la Ustaz. Saya mahu tolong ustaz. Nanti saya dan beberapa orang akan pergi tengok dalam semak belakang surau tu. Saya yakin motor Kriss ustaz ada kat sana.” Bersemangat betul Sarip nak membantu saya. Saya hanya mengiyakan saja.

Sebenarnya saya tidak yakin dengan hasil solat hajat mencari barang hilang ini. Walaupun kadang kala ianya betul tapi ia hanya mainan jin yang nak merosakkan aqidah kita. Saya lebih rela tidak dapat kembali motor Kriss saya daripada menggadaikan aqidah saya dengan meminta bantuan jin. Tidak sekali. Sebab itu saya tidak teruja dengan maklumat Sarip tadi.

Selepas itu saya tidak menerima panggilan dari Sarip sehinggalah habis waktu persekolahan. Selepas solat Zohor saya pulang kerumah dan petang itu saya akan ke balai polis buat laporan.

Semasa melintas di hadapan surau saya lihat semak samun di belakang surau yang seluas hampir saiz padang bola sudah terang benderang dibersihkan. Mungkin ini kerja Sarip dan rakan-rakannya mencari motor Kriss saya yang dikatakan telah disembunyikan disitu.

Saya menefon Sarip bertanyakan hasil pencariannya.

“Nda ada Ustaz. Aku sudah cari setiap pelusuk semak tu. Nda ada juga. Mungkin pencuri itu tapuk di situ sekejap saja.. awal pagi dia terus ambil.” Lapor Sarip dengan nada kecewa.

Dengan maklumat ini saya lebih yakin bahawa orang itu hanya sekadar mencari makan dengan upah solat hajat saja. Saya tidak pasti Sarip membayar pengerasnya atau tidak.

Allah melarang kita menggunakan khidmat bantuan Jin walaupun kadang kadang ia membantu. Ini kerana ia boleh memberi implikasi kepada pegangan aqidah kita. Allah berpesan dalam surah al Jin ayat 6:

وَأَنَّهُۥ كَانَ رِجَالٞ مِّنَ ٱلۡإِنسِ يَعُوذُونَ بِرِجَالٖ مِّنَ ٱلۡجِنِّ فَزَادُوهُمۡ رَهَقٗا

"Dan sesungguhnya ada beberapa orang lelaki di antara manusia memohon perlindungan kepada beberapa lelaki dari golongan jin, maka jin-jin itu menambah bagi mereka dosa dan kesesatan (keberanian/ketakutan yang luar biasa)."

(QS. Al-Jin: 6)

Kesimpulan yang saya pegang ialah meminta bantuan jin adalah dilarang dalam Islam.Ia termasuk dalam perbuatan mensyirikkan Allah, kerana bergantung kepada makhluk ghaib selain Allah. Islam memerintahkan hanya meminta perlindungan kepada Allah melalui doa dan zikir, bukan melalui dukun, bomoh, atau perantara jin.

Saya teringat beberapa pandangan ulamak yang mengulas isu meminta bantuan jin antaranya ialah Imam Nawawi yang mengatakan "Tidak halal bergantung kepada jin walaupun mereka Muslim. Ia boleh membawa kepada syirik tersembunyi (syirik khafi)."

Manakalan Ibn Qayyim mengatakan bahawa “Sesiapa yang meminta bantuan jin, maka dia telah membuka jalan untuk ditipu syaitan.”

Kecurian motor Kriss saya ini menguji saya banyak perkara. Semoga Allah kuatkan hati saya.


Wednesday, April 23, 2025

KRISS 3 : PERLU YAKIN ALLAH JAGA KITA

 Pada asalnya saya tinggal sekejap tema tazkirah saya “Jagalah hak Allah pastinya Allah jaga anda’. Namun selepas beberapa hari selepas  itu terlintas dihati saya kenapa saya berhenti menyentuh tema itu. Adakah saya sendiri tidak yakin dengan Allah sebagai penjaga dan pengurus semua semua perkara hanya semata-mata motosikal saya di curi.

Jika betul perasaan itu ada dalam diri saya itu adalah dosa besar bagi saya dan pegangan akidah saya boleh terjejas. Jadi saya menambil keputusan bahawa itu adalah ujian aqidah bagi saya sendiri. Saya kembali membawa tema bahawa Allah yang mengurus dan mengaturkan semua perjalanan alam maya dan juga kehidupan manusia. 

Tazkirah yang selalu saya berikan sebenarnya adalah peringatan untuk diri saya sendiri

“Tiada apa yang berlaku semuanya adalah aturan Allah dan sudah siap tertulis.”

“Semua aturan Allah ada hikmah tersembunyi yang kita tidak mampu kita fahami.”

“Walaupun kita melihat berlaku perstiwa buruk itu sebagai musibah tidak kita ingini itu juga adalah aturan Allah.”

“Perkara baik dan buruk semua adalah dari aturan Allah walapun kita lihat ianya dicetuskan oleh orang lain.”

“Jika kita dilanggar oleh kereta, mungkin itu adalah kecuaian pemandu. Tapi kita perlu ingat itu adalah aturan Allah. Jadi kita ingat begitu kita akan dapat kawal kemarahan kita.”

“Motor Kriss saya dicuri, itu sudah diatur oleh Allah. Cuma kejadian curi itu dilakukan oleh penjahat. Dia berdosa kerana mencuri. Tapi kecurian itu adalah ujian dari Allah untuk menguji hati kita.”

Itulah antara isi tazkirah saya kepada para jamaah. Tazkirah itu adalah untuk diri saya sendiri.

Selepas ketiadaan motorsikal, pergerakan saya agak tempang sedikit. Kadang-kadang saya ke surau dengan menaiki kereta. Kadang-kadang saya berjalan kaki. Namun budaya berjalan kaki untuk jarak 500m ni dikalangan masyarakat kita ni macam janggal.

Sebenarnya saya terinspirasi dengan Haji Jaidin bila surau kami yang setiap waktu solat hanya berjalan kaki ke masjid. Rumahnya dekat sedikit dengan surau berbanding dengan rumah saya. Namun dia dengan umurnya sudah lebih 70 tahun dan mempunyai masalah lutut amat gigih berjalan kaki ke surau setiap kali waktu solat. Berberapa kali saya menawarkan diri untuk membonceng motor saya untuk ke surau, dia menolak kerana dia berbadan besar dan susah untuknya membonceng. Jadi lebih selesa untuk berjalan kaki. Jika dia boleh berjalan kenapa saya tidak.

Jika saya berjalan ke surau saya perlu keluar awal sedikit dari rumah. Saya perlu mengubah sedikit jadual pergerakan saya. Lepas solat tidak boleh wirid panjang kerana perlu balik awal untuk bersiap ke sekolah. Sahabat saya Ustaz Tuan Roslan amat saya kagumi kerana dia pandai memerhati jadual saya.

Dia tahu bila jadual saya keluar rumah untuk berjalan kaki ke surau. Bila saya keluar saja rumah banyak kali saya dapati dia sudah menunggu di luar pagar rumah saya dengan motor Kriss birunya. Amat jarang saya sudah berjalan beberapa langkah baru dia sampai. Lepas solat dia akan menghantar saya pulang kerumah.

Begitulah rutin saya setiap hari dengan Ustaz Tuan Roslan. Alhamdulillah saya mempunyai seorang rakan yang amat memahami dan amat membantu dalam gerak kerja kami di Taman Fajar.

Semoga Allah merahmati Haji Jaidin dan juga sahabat saya Ustaz Tuan Roslan. Jika Allah menjaga hak Allah pastinya Allah akan jaga semua kebajikan kita seluruhnya. Kita perlu tanam keyakinan dalam diri kita begitu sebagai orang beriman. Apa yang berlaku semua adalah rancangan Allah.

Allah berfirman dalam  Surah Al-Hadid (57): Ayat 22

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍۢ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى ٱللَّهِ يَسِيرٌ

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam Kitab (Lauh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."

Juga firman Allah  dalam Surah At-Taghabun, Ayat 11:

مَآ أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ ٱللَّهِ ۗ وَمَن يُؤْمِنۢ بِٱللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُۥ ۚ وَٱللَّهُ بِكُلِّ شَىْءٍ عَلِيمٌ

"Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah; dan barang siapa beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk kepada hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu."

Saya juga yakin apa yang berlaku pada saya nanti Allah akan menyelesaikan masalah kecerian yang saya hadapi satu hari nanti. Cuma masa yang menentukan. Saya hanya perlu sabar dan yakin pada Allah. Allah sudah menyebut hal ini Surah Al-An’am (6): Ayat 17:

وَإِن يَمْسَسْكَ ٱللَّهُ بِضُرٍّۢ فَلَا كَاشِفَ لَهُۥٓ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍۢ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

"Dan jika Allah menimpakan suatu bencana kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Yakinlah pada Allah. Dia yang mengatur segalanya dan Allah maha bijaksana. Semoga Allah teguhkan hati dan iman saya dalam menghadapai ujian ini. Amin

Tuesday, April 22, 2025

KRISS2 : MANA PERGI MOTOSIKAL KRISS SAYA

 Setelah beberapa lama saya membuat kempen ‘Jagalah perintah Allah pastinya Allah jaga anda’ dan kesannya semakin baik. Bilangan jemaah di masjid semakin bertambah. Surau Taman Fajar semakin meriah dengan pelbagai aktiviti terutama hari minggu. 


Saya memberi penakanan kefahaman dalam setiap kali tazkira dan kuliah saya.

“Jika kita istqamah menjaga solat, pastinya Allah mudahkan segala urusan kita.”

“Menjaga solat adalah tanda kita prihatin pada perintah Allah, Pastinuya Allah sentiasa prihatin dengan kita lalau diberi hidayah dan perunjuk.”

“Jika sentiasa istiqamah solat berjemaah di masjid terutama di masjid Allah akan jaga kita.”

“Allah akan jaga keselamatan keluarga kita dan harta kita, jika kita sentiasa jaga semua perintah Allah.”

“Harta kita tidak akan dicuri, tidak akan diganggu kerana Allah jaga harta kita.”

“Kita mesti berusaha untuk laksana apa yang diperintah Allah dan tinggal semua apa yang dilarangnya. Itulah cara kita jaga hak Allah.”

“Semua perkara baik dan buruk berlaku pada kita semua adalah rancangan Allah dan keiizinannya.”

Alhamdulillah banyak perubahan yang berlaku pada jemaah surau kami.

Sehinggalah satu pagi.. ketika saya keluar rumah mahu ke surau. Saya biasanya akan ke surau menaiki motorsikal Kriss saya yang berwana merah. Biasanya saya akan parking Kriss saya antara kereta Avanza biru dan Proton Saga saya. Jarak antara rumah saya lebih kurang 500m. Agak jauh juga untuk berjalan kaki.

Pagi tu bila saya buka pintu rumah saya tak nampak Motor Kriss saya. Saya pasti memang saya parking di tengah antara dua kereta saya. Saya lihat pagar rumah saya terbuka sebelah. Baru saya teringat malam tadi selepas balik dari ziarah kawan saya Ustaz Norsyam Kamal, hujan amat lebat.

Selepas memakir kereta saya hanya menutup pagar tanpa mengunci pintu pagar seperti biasa. Biasanya saya akan kunci pagar dengan mangga sebagaimana yang diingatkan oleh komuniti Taman Fajar. Banyak kali berlaku kehilangan barang di halaman rumah di kejiranan kami.

Memang sah motor saya sudah diambil orang. Saya tidak kunci pagar untuk elakkan basah kerana hujan lebat dan itu memudahkan si pencuri masuk kedalam halaman rumah saya. Allah .. kali ini saya di uji. Selepas berfikir sejenak dan saya mengambil keputusan untuk berjalan kaki saja ke surau.

Sampai di surau,  azan sudah selesai dikumandangkan oleh Haji Jaidin. Biasanya saya akan sampai ke surau sebelum azan.

“Eh.. kenapa ustaz jalan kaki pagi ini. Mana motor ustaz. Rosakkah?” Tanya Ustaz Mahadir yang ketika baru juga sampai ke masjid.

“Tak.. motor saya sudah di ambil orang. Entah siapa yang berkenan dengan motor buruk saya.” Saya menjawab sambil tersenyum sumbing.

Heboh di surau pagi itu, motor saya sudah dicuri orang. Baru saya tahu dalam seminggu dua ini banyak kes kecurian motor berlaku. Sebelum ini berlaku di Taman lain. Kecurian paling terkini di Taman Rimba. Motor Ustaz Alias juga sudah dicuri waktu malam juga. Motor Ustaz Alias baru diberi tak sampai setahun. Motor saya ni sudah berumur 3 tahun dibeli dari Cikgu Roslan. Motor Kriss saya amat berjasa untuk saya ke masjid dan juga ke pasar.

“Nampak gaya ni motor ustaz yang banyak kena curi ni. Dah dua motor ustaz di curi.” Cetus En Ajak

Tercetus di benak saya kenapa motor saya yang dicuri, Allah tak jaga harta saya kah?. Sedangkan saya istiqamah solat jemaah di surau 5 waktu sehari semalam. Malah saya yang kempen ‘Jagalah perintah Allah pastinya Allah jaga kita seluruhnya termasuk harta kita’.

Nampaknya apa yang berlaku pada saya ini bercanggah dengan apa yang saya kempenkan. Termenung juga saya sekejap mengenangkan apa yang berlaku. Saya terfikir mungkin ada kesilapan saya dalam kempen ini atau salah faham dalam penafsiran hadis itu.

Petang itu selepas waktu sekolah saya ke balai Polis Sandakan membuat laporan polis. Rupanya sudah banyak motorsikal yang sudah di curi di kawasan Sandakan. Motor yang diminati adalah jenis motor Kriss. Kalau tak silap saya sudah 4 buah motor sudah dicuri dalam tempoh sebulan termasuklah motor kriss Ustaz Alias.

Selepas kecurian motor kriss saya, Tuan Roslan akan datang kerumah saya setiap pagi untuk memboncengkan saya dengan motor kriss biru lautnya. Saya bergilir denganya untuk menjadi imam solat subuh dan juga Ustaz Kamaruddin.

Tema tazkirah saya bukan lagi ‘Jagalah perintah Allah pastinya Allah jaga kita’. Saya memilih tema ‘jagalah diri sendiri dan keluarga selamatkan dari neraka Allah’.

Monday, April 21, 2025

KRISS 1 : JAGALAH HAK ALLAH PASTINYA ALLAH JAGA KITA

Surau Taman Fajar semakin  makmur dengan jemaah solat selepas saya dan geng ustaz di Taman Fajar membuat kempen solat jemaah di Surau. Ini adalah hasil dari program  tadarus mingguan atau  atau usrah yang kami jalankan setiap minggu.


Saya telah membantu membuat jadual kuliah setiap malam dengan  penggiliran ustaz   ahli usrah kami. Alhamdulillah setiap malam dipenuhi dengan majlis ilmu. Saya banyak mengambil  jadual kuliah subuh. Kerana ianya ringkas sekadar kurang dari lima minit setiap pagi mengulas petikan ayat al Quran dan juga hadis pilihan.

Antara   tema utama yang saya bawa ialah   "Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjagamu" berdasarkan hadis nabi :

احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ،

"Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya engkau akan mendapati-Nya di hadapanmu..."

 

Ia bermaksud menjaga perintah-perintah Allah, menjauhi larangan-Nya, dan sentiasa taat kepada-Nya. Bila seseorang menjaga hubungannya dengan Allah, maka Allah akan menjaga dirinya — sama ada dari segi agama, dunia, keselamatan, dan sebagainya.

Jika  menekankan kepada para jemaah bahawa jika kita  semua menjaga perintah Allah   sebagai contoh menjaga solat jamaah di masjid dan menjaga diri dan keluarga agar patuh perintah Allah dan tinggalkan larangannya. Ini adalah langkah utama menjaga hubungan dengan Allah. Apabila istiqamah begini Allah akan menjaga kita  dari semua aspek kehidupan sepertima iman, hidayah keselamatan  kita keluarga dan harta.

Alhamdulillah kempen ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada parah jemaah. Jamaah surau semakin bertambah. Kempen saya adalah mudah. Setiap orang kempen seorang lagi untuk hadir solat berjemaah di surau. Jika dirumah ada anak, adik beradi, ayah dan sebagainya bawa mereka ke masjid. Jika tiada boleh  kempen jiran atau kawan untuk datang  solat  ke masjid sama-sama.

“Alhamdulillah. Semakin ramai surah jemaah surau kita ya ustaz. Seronok melihatnya.”

Luah Haji Jaidin, bilal Surau kami satu hari.

“Ya. Ini adalah berkat kerjasama  kita semua. Jika semua berkerja  jalankan amar makruf nahi mungkar pastinya ada perubahan.” Ulas saya .

“Insya Allah Allah jaga komuniti kita penduduk Taman Fajar ini.”

Sambung saya dengan yakin. Rupanya kenyataan saya itu diuji  juga..

Friday, April 18, 2025

REKA ALASAN UNTUK ELAK DOSA

 Hari kedua saya solat subuh di Masjid Banda Hilir, saya duduk sekejap selepas solat mendengar imam membuat kuliah subuh ringkas. Beliau menggunakan buku hadis Fadhail a’mal (Kelebihan amalan) susunan Maulana Zakaria ulamak besar aliran tabligh. 


Imam membuat huraian secara bebas selepas membaca teks hadis dan tejemahannya. Tajuk pada pagi itu ialah ghibah.  Ghibah adalah bercakap hal buruk tentang seseorang di belakangnya, walaupun perkara itu benar — dan dia tak suka kalau perkara itu didedahkan. Hadis Nabi yang di baca ialah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ﷺ قَالَ:
‏"أَتَدْرُونَ مَا الْغِيبَةُ؟"‏
قَالُوا: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ
قَالَ: ‏"ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ"‏
قِيلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟
قَالَ: ‏"إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ"‏
رواه مسلم

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah bersabda:
"Tahukah kalian apa itu ghibah?"
Mereka menjawab, "Allah dan Rasul-Nya lebih tahu."
Beliau bersabda:
"Yaitu engkau menyebut tentang saudaramu sesuatu yang ia benci."
Seseorang bertanya, "Bagaimana jika yang aku katakan itu benar-benar ada padanya?"
Beliau menjawab:
"Jika memang benar, maka engkau telah mengghibahinya. Dan jika tidak benar, berarti engkau telah memfitnahnya."

Hadis riwayat muslim

Antara contoh ghibah yang diberi ialah:

“Eh, kau tahu tak si A tu… selalu datang lambat kerja.”

“Baju dia tu tak pernah elok. Tak reti bergaya langsung.”

“Dia tu nampak alim je, tapi garang gila dengan anak-anak dia.”

 

Apa yang menarik huraian imam ialah dia memberi tips untuk mengelakkan ghibah. Katanya bahawa kadang-kadang kita ni dah jaga mulut tak mengata orang. Tapi kawan-kawan kita pula suka bercerita. Jadi jika berlaku begitu pandai-pandai lah kita buat alasan mengelak. Antara contoh yang imam bagi ialah:

“Allah.. saya sakit perut.. silap makan kot.. saya nak ke tandas lah.”

“Eh.. saya baru ingat. Isteri ada pesan beli barang tadi. Saya pergi dulu ya.”

Imam juga menceritakan bahawa. Dosa ghibah ini besar tidak boleh terampun hanya sekadar mengucap istighfar. Dosa ghibah ini kena minta maaf dengan empunya yang kita keji. Bila masa kita maaf, kita pun dah lupa. Akhirnya kita terpaksa bayar pampasan di akhirat. Tak pasal-pasal jadi muflis di akhirat.

Kesimpulan imam. Semua pakat jaga lidah. Jangan Ghibah. Kalau terdengar buat tak tahu. Jika kawan-kawan tengah mengata, reka alasan untuk beredar. Semoga selamat. Alhamdulillah tazkira ringkas yang amat bermafaat. Terima kasih tuan imam memperingati kami. Baarakallahu fik.

Thursday, April 17, 2025

JOM NAIK KERETA SAYA KE MASJID

Itulah pelawaan seorang pemandu kereta Naza Citra berwana merah yang tiba-tiba berhenti dihadapan saya ketika saya sedang berjalan kaki ke masjid Banda Hulu Melaka. Sudah menjadi amalan saya bekerja diluar kawasan akan mencari masjid terdekat untuk solat terutama solat Subuh. 

Kali ini saya saya terlibat dengan Bengkel Dinamika Temuduga untuk calon pelajar IPG di Hotel Imperial Herritage, Melaka. Masjid yang terdekat dengan hotel adalah Masjid Banda Melaka. Apps Google Map amat membantu mencari lokasi masjid terdekat. Jarak Masjid Banda Hilir dari Hotel Imperial Herritage hanya 750 meter sahaja.

Pagi itu saya keluar 5 minit sebelum masuk waktu subuh. Saya boleh saja menaiki kereta ke masjid, namun saya memilih untuk berjalan kaki kerana sambil mengambil peluang untuk membakar kalori awal pagi. Kira dua dalam satulah.

Ketika hampir separuh jalan saya berjalan tiba-tiba sebuah kereta Naza Citra merah berhenti dihadapan saya. Pemandunya  menurunkan cerminnya kereta dan menjenguk keluar.= dan mempelawa saya

“Jom naik kereta saya.. saya juga nak ke masjid”. Pelawanya.

Saya kesebelah kiri dan masuk ke bahagian penumpang dan memulakan perbualan.

Lelaki ini dalam umur 30an namanya Kasim. Rutinnya setiap pagi selepas menghantar isterinya yang bekerja di McD. Kemudian selepas itu dia akan ke Masjid Banda Hulu untuk solat subuh. Dia bekerja sendiri mudah untuknya mengatur jadual seharian. Alhamdulillah saya berjumpa orang beristiqamah solat subuh.

Perkenalan yang singkat ini memberikan inspirasi kepada saya bagaimana dia menyusun jadual kehidupan dia seharian dengan membina hubungan dengan Allah taala.

Solat subuh berjemaah ini adalah satu ibadah yang amat penting untuk setiap muslim. Nabi telah meninggalkan pesan kepada kita dengan sabdanya

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

«مَنْ صَلَّى ٱلْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ ٱلَّيْلِ، وَمَنْ صَلَّى ٱلصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى ٱلَّيْلَ كُلَّهُ»

Riwayat Muslim

"Sesiapa yang menunaikan solat Isyak secara berjemaah, maka seolah-olah dia telah mendirikan solat separuh malam. Dan sesiapa yang menunaikan solat Subuh secara berjemaah, maka seolah-olah dia telah mendirikan solat sepanjang malam."

Rasulullah juga memberi pesan kepada umatnya bahawa siapa yang istiqamah solat subuh akan mendapat cahaya yang jelas di akhirat nanti.

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى ٱللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:

«بَشِّرِ ٱلْمَشَّائِينَ فِي ٱلظُّلَمِ إِلَى ٱلْمَسَاجِدِ بِٱلنُّورِ ٱلتَّامِّ يَوْمَ ٱلْقِيَامَةِ»

Riwayat Abu Dawud dan al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani

"Sampaikan berita gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju masjid, bahawa mereka akan memperoleh cahaya yang sempurna pada Hari Kiamat."

 

Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah menyatakan bahawa solat Subuh berjemaah adalah antara tanda kekuatan iman dan kesungguhan dalam mencari keredaan Allah SWT. Kehadiran ke masjid pada waktu Subuh menandakan keikhlasan dan kesungguhan seseorang.

Manakala Imam al-Ghazali Dalam kitab Ihya’ Ulum al-Din, beliau menyebut bahawa solat Subuh berjemaah melatih disiplin diri, mujahadah melawan nafsu tidur, dan merupakan kunci kepada keberkatan sepanjang hari.

Jom kita sama-sama istiqamah diri kita untuk solat subuh berjemaah di masjid setiap pagi selagimana kita diberi nikmat kepalangan dan kesihatan.

 

Tuesday, April 15, 2025

TERIMA KASIH TUN ABDULLAH CETUS PROJEK JQAF

 “Ustaz! Sekarang ni hanya ada 2 orang murid lagi yang belum pandai membaca al Quran di sekolah saya.

Itulah luahan seorang pelajr j-Qaf saya yang mengajar SK Pulau Timbang, Sandakan. 


Semasa saya bertugas di SMK Elopura Sandakan, saya secara tidak terancang telah memohon untuk menjadi pensyarah IPG. Niat saya hanya ingin menemani 2 orang sahabat saya yang amat bersemangat untuk menjadi pensyarah.  Selepas beberapa bulan selepas itu saya mendapat jawapan ditawarkan sebagai pensyrah IPG Tawau.

Namun saya menolak. Selepas beberapa minggu saya menerima panggilan dari pengarah IPG Tawau sendiri Puan Hajah Masni Madat yang memujuk saya untuk menyertai warga IPG Tawau. Antara isi pujukannya ialah:

 “Tenaga dan kepakaran Ustaz di Perlukan untuk melatih guru j Qaf di IPG Tawau”.

“KPM telah memulakan projek jQaf melatih dan melantik guru agama ke sekolah di seluruh pelusuk Sabah.”

“Di sini ustaz akan melatih guru yang akan mendidik murid kita membaca al Quran dan Kafa.”

“Ianya tugas yang besar Ustaz!”

Pujukan ini yang menyebabkan saya kalah dan berjaya menukarkan pendirian asal saya.

Projek jQaf adalah merupakan projek Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah bin Ahmad Badawi. Dengan arahannya KPM melantik 30 ribu orang guru agama keseluruh pelusuk Malaysia termasuk ke ceruk pedalaman Sabah dan Serawak. Guru-guru jQaf membantu guru pendidikan Islam sedia memastikan semua murid mampu membaca al Quran dan menguasai PAFA sebelum dalam sesi persekolahan secara rasmi.

Projek ini saya lihat amat memberi kesan kepada penguasaan murid-murid dalam fardu Ain dan juga al Quran. Ketika saya di IPG Tawau saya juga memberi penekanan kepada pelajar-pelajar saya guru jQaf agar berperanan sebagai pembimbing agama kepada semua warga sekolah termasuk guru dan juga masyarakat kampung.

“Ketika waktu rasmi di sekolah KPM yang membayar gaji dan elaun kamu semua.”

“Di luar waktu persekolah usaha dakwah kamu dalam masyarakat akan di bayar oleh Allah Taala.”

Alhamdulillah, ramai yang memainkan peranan penting dalam masyarakat. Idea dan usaha yang telah dicetuskan oleh PM Tun Abdullah telah banyak melahirkan generasi yang celik agama ketika itu. Dengan cetusannya telah memberi peluang yang besar kepada perkembangan agama Islam ketika itu.

Bayangkan disekolah pelajar saya itu hanya 2 orang sahaja murid yang masih belum menguasai al Quran di sekolah pedalaman. Manakala yang lain sudah mencapai tahap yang telah mencapai tahap yang telah memuaskan. Keadaan ini boleh dikatakan berlaku di semua sekolah yang telah dihantar guru jQaf. Namun sekarang program ini sudah tiada lagi. Guru-guru jQaf sudah diserapkan sebagai guru pendidikan Islam.

Terima kasih Pak Lah. Banyak jasanya kepada perkembangan Islam di Malaysia. Ini adalah merupakan saham yang besar kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hanya Allah yang mampu membalas jasamu. Semoga kita juga mampu mempunyai peluang membuat saham akhirat seumpamanya.

Monday, April 14, 2025

KONGSI MAKANAN DALAM MULUT

 Ketika  kami di Jordan  hampir semua perkara baru bagi kami. Berada di Arab, negara yang tandus tanpa pokok adalah  sesuatu yang kami tidak dapat gambarkan sebelum ini. Begitu juga dengan budaya masyarakat tempatan yang amat unik bagi kami. Kita yang  membesar dengan budaya Melayu Islam  banyak berbeza nilai budaya  masyarakat Arab di Jordan. 


Ada beberapa budaya Arab yang bagi mereka amat baik tapi tidak dianggap baik oleh  masyakat kita malah ia  adalah jijik dan tidak boleh diterima. Antaranya ialah berkongsi makanan  yang kita sedang makan.

Satu hari saya   datang awal ke Universiti untuk berjumpa seorang pensyarah yang amat  kami hormati dan segani. Penampilannya yang berjubah dan berserban adalah pakaian hariannya kerana ia adalah dari keluarga ulamak besar di Iraq. Dia mengajar kami beberapa kursus bahasa Arab. Pada semester itu saya mengambi kursus Bayan Qurainie.

Saya ingin merujuk beberapa tajuk yang saya kurang jelas. Pintu biliknya  terbuka luas dan  saya lihat Dr Abdul Qadir sedang menelaah buku  sambil makan timun batang mentah. Memang  antara budaya Arab ialah mereka suka makan  timun batang dan tomato mentah seperti kita makan buah epal atau buah pear.

Saya memberi salam dan dia mempersilakan saya masuk.

“Tafaddhal ya Abdullah.  Sila duduk.” Dia mempersilakan saya duduk.

“Tafaddhal.. Khiyar..” dia menghulurkan timun batang yang dia sedang  makan kepada saya. Sudah  hampir separuh sudah dimakan. Saya menjadi serba salah kerana tidak biasa makan lebihan orang lain.  Lebih-lebih lagi jika dia bukan keluarga rapat kita. Kalau  bekas  gigitan ibu atau ayah kita mungkin tiada masalah.

Saya mengambilnya dan mengucapkan terima kasih. Saya hanya memegangnya saja. Dr Abdul Qadir meminta saya menghabiskan timun tersebut sambil dia menyelesaikan sedikit kerjanya. Saya menjadi serba salah. Oleh kerana atas dasar menghormatinya sebagai seorang guru dan saya terfikir tentang barakah guru dan ulamak, saya menghabiskan sisa timun tersebut. Perasaan jijik makan sisa makanan  orang lain dibuang jauh-jauh dari fikiran.

Selepas menghabiskan timun tersebut barulah kami meneruskan  perbincangan tentang topik yang  saya kurang jelas.

Peristiwa kedua berlaku ketika saya berkunjung ke rumah seroang kawan di Muktah. Ketika saya sampai tuan rumahnya sedang mengutip buat tomato di halaman rumahnya. Saya  menegurnya dengan mesra  dan dia menguhulurkan buat tomato yang sedang dimakannya kepada saya. Aduh.. saya tidak perasan bahawa dia sedang makan. Sebenarnya selepas peristiwa timun batang saya sudah berhati-hati ingin menegur mana-mana arab yang sedang  makan.

Kali ini terkena lagi. Saya menolaknya dengan baik dan menunjukkan buah tomato lain yang  sudah dipetik di dalam raganya.

“Makan yang ini.  Ini lebih sedap. Saya sudah rasa. Ia manis. Yang itu tak sedap. Warna dia lain sikit.” Dia terus mengunjuukkan tomato yang dimakannya dan menolak untuk memberi buah yang baru. Alasannya ialah yang dia sudah makan itu sedap.  Saya terpaksa mengambil buah tersebut demi menjaga  hati  tuan rumah tersebut.   Sebagaimana dulu saya  memujuk hati  saya dengan menganggap bahawa itu adalah buah baru dan makannya sampai habis.

Cuma pada peristiwa yang ketiga saya tidak sanggup makan   roti yang dikongsi pada saya. Ketika saya singgah di satu masjid d  pedalaman saya  terlihat beberapa orang  sedang duduk  bersila ditepi masjid.  Saya menegur mereka dengan mesra dan bertanya khabar. Rupanya mereka sedang makan roti dengan  mutabbal iaitu kacang kisar di campur dengan buah terung. Saya hanya melihat   mereka mengadap  bekas mutabbal saja dan tidak nampak di mana rotinya.

Dia mempersilakan saya duduk bersama  mereka dan mengulurukan  roti yang telah dicubit. Aduh.. rupanya  roti yang mereka sedang  makan itu dijadikan  lapik duduk masing-masing. Mereka  akan mencubit roti tersebut dari celah kangkang mereka kemudian dicicah dengan mutabbal dan  disuap kemulut. Roti itulah yang dihulurkan kepada saya.  Saya tak sanggup makan kali ini.

Saya menolak dengan baik dengan memberitahu saya terpaksa solat segera kerana sudah terlambat untuk meneruskan perjalanan.

Begitulah budaya Arab. Mereka amat baik dan menghormati tetamu. Bagi mereka makanan yang sedang dimakan dikongsi bersama. Itu tidak jijik bagi mereka bahkan itu adalah tanda mesra.

Saya masih bernasib baik. Kawan saya  bercerita ketika dia  bertemu sorang Sheikh yang amat dihormati. Sheikh tersebut sedang  menghisap gula-gula. Jadi sebagai  menghormati  anak muridnya yang sedang bertamu dia memberi gula-gula tersebut yang  berada dalam mulutnya untuk dihabiskan oleh kawan saya. 

Dia tidak dapat menolak lantaran segan dan hormat kepada gurunya.  Tidak dapat digambarkan perasaannya pada masa itu. Nasib baik ia tidak berlaku pada  saya. Setakat timun batang dan tomato masih lagi boleh diterima.

Itulah antara perbezaan nilai dan budaya antara masyarakat Arab  dengan budaya kita. Persoalan nilai ini adalah amat subjektif. Banyak lagi saya perhatikan perbezaan nilai yang ketara dalam menilai baik, buruk, hormat dan sebagainya dalam masyarakat Arab berbanding dengan budaya kita.

Jadi kita perlu pandai membawa diri bergaul dengan masyarakat  rentas budaya agar kita juga dihormati dan dilayan dengan baik.


Friday, April 11, 2025

ALLAH MENGATUR REZEKI TANPA DIDUGA

Pada tahun 2012 kalau tak silap ingatan saya ketika dalam perjalanan kembali ke Bangi selepas cuti hari raya aidilfitri di Kelantan. Seperti biasa  pejalanan  akan sesak dengan kereta yang banyak. Itu memang tidak dapat dielakkan dan menjadi kebiasaan bagi kami  anak perantau. 


Ketika  kereta semua tak bergerak sebelum masuk pekan Bentong.   Kereta saya berada di kawasan berbukit dan saya mengangkat brek tangan  untuk  mengekalkan  kedudukan kereta agar tidak bergerak. Maklumlah kereta saya masa itu  jenis Avanza Manual.  Semua kereta tidak bergerak.

Tiba-tiba kereta di depan saya  mengelongsor terundur kebelakang. Saya menekan hon dengan kuat untuk menyedarkan pemandu tersebut. Tapi sudah terlambat.

Bammm!!. Kereta persona warna perak tersebut telah mengentam bahagian depan Avanza saya.   Anak- anak saya semua terkejut terbangun dari tidur. Habislah.. kata saya dalam hati. Jarak  asal kereta saya dengannya lebih kurang 2 meter. Kira agak jauh juga. Hentaman dengan jarak itu agak kuat   walaupun sekadar  terundur biasa.

Pemandu  persona menggerakkan keretanya kehadapan dan memberhentikan ditepi jalan dan keluar dari kereta.  Seorang anak muda dalam  akhir 20an atau awal 30an.  Saya juga keluar untuk melihat kesan hentaman tersebut.   Bumber Avanza saya kemek dan hampir tercabut. Terdapat sedikit koyakan pada  bumber sebelah kiri. Nasib baik  ia tidak menjejaskan radiator dan juga  bahagian lain yang penting. Kereta saya masih hidup dan boleh berjalan seperti biasa.

Kereta Persona  dia juga kemek bahagian bumper tapi tidak seteruk kereta saya. Juga masih boleh bergerak. Cuma  kos yang akan melayang  untuk baik pulih tu membebankan juga jika termasuk dengan kos baik pulih kereta saya.

Abang.. saya minta maaf sangat-sangat saya tersilap tadi. Kereta saya manual. Tak sempat tarik brek tangan.”  Pemuda tadi mohon maaf sambil  mengulurkan tangan pada saya.

Saya sebenarnya hangat hati juga dengan apa yang berlaku. Perjalanan masih jauh. Kemudian  seorang gadis muda pula keluar dari keretanya. Mungkin isterinya .

“Bang.. kami minta maaf sangat-sangat.” Perempuan itu merayu.

“Saya mengaku salah bang..  Cuma saya tak mampu bayar sekarang. Saya baru je lepas  overhaul kereta saya ni. Banyak pakai duit.”

Pemuda itu merayu awal-awal lagi sebelum saya meminta  bayaran pun.

“Teruk juga rosak ni. Bumber dah koyak mesti kena  tukar.”  Saya     menyebut dengan  suara agak tegas tapi bukan dengan nada  marah.

Ya . Saya tahu. Tapi saya betul-betul tak ada duit sekarang.”  Rayunya sambil mengeluarkan dompet dan membukanya menunjukkan isinya kepada saya. Hanya saya lihat ada beberapa keping duit note RM10  saja dalam dompetnya.

“Kami baru kahwin.  Memang   banyak pakai duit.  Saya bekerja di Pejabat Pos  Besar di sebelah bangunan Daya  Bumi  Kuala Lumpur. Nanti  bila dapat gaji kami bayar.”  Perempuan tadi mencelah  setelah  memerhatikan perbinancang saya dan suaminya.

Timbul simpati saya dalam hati dengan pasangan ini. Setelah melihat kembali kerosakan yang berlaku, saya menganggarkan tak sampai pun satu ribu kos baik pulih kereta  Avanza.  Saya mengambil  keputusan memaafkan sementara pemuda tersebut. Alhamdulillah saya dapat mengawal kemarahan saya.

Kami bertukar nombor telefon dan saya berjanji akan  menguhubungi mereka setelah siap membaik pulih kereta saya. Isterinya juga memberi nombor telefonnya dan mempelawa saya ke pejabatnya di Pejabat pos besar jika perlu.  Setelah saya membetulkan kedudukan bumber dengan mengikatnya dengan  tali  rapia  yang kebetulan ada dalam kereta, saya meneruskan perjalanan.

Dalam hati saya terdetik rasa simpati kepada pasangan tersebut. Saya   bercadang jika kos baik pulih bawah RM500 saya  hanya guna belanja saya sendiri dan tidak mahu menuntut dari pasangan tersebut. Saya  anggap ianya sedekah  saja kepada mereka berdua.

Pada hari Sabtu minggu berikutnya saya hadir kerumah kawan saya yang  membuat rumah terbuka sempena hari raya. Kereta Avanza saya masih belum dihantar kebengkel. Saya   masih mencari bengkel yang boleh siapkan baik pulih dalam segera dalam dua hari kerana saya juga memerlukan kereta  untuk  ketempat kerja.

Saya memakirkan  Avanza saya  disimpang  dalam taman tersebut. Seingat saya ianya tidak menghalang  lalu lintas . Kereta diparkir dengan elok.  Ketika sedang menikmati juadah raya yang sangat enak saya terdengar suara.

“Siapa  pemilik kereta Avanza  biru yang parkir kat simpang sana?”  Saya melihat sorang lelaki berbadan tegap berseluar jeans   berdiri  diluar  pagar rumah kawan saya.

Saya bangun dan mengaku bahawa itu kereta saya.

“Maaf . Saya terlanggar kereta tuan yang sedang pakir tu.” Dia memberi tahu saya.

Saya  keluar dan pergi kearah kereta saya bersamanya.  Dia memberitahu saya bahawa  ketika dia mengundurkan  Nissan Frontier  terkena kereta saya sedang parkir  bahagian depan hingga bumber   Avanza saya  kemek dan hampir tertanggal. Saya memberitahu dia bahawa bumber itu memang sudah asal kemek dan hampir tertanggal kerana telah dilanggar  oleh kereta persona  minggu lepas semasa pulang dari beraya.

Kerosakan bumber tu disebabkan oleh orang sebelum ini. Saya telah berjanji akan minta pampasan dari  pemandu persona tersebut.  Walaupun sudah diterangkan  oleh saya, Pemandu Nissan Frontier  masih bertegas mahu membayar kos ganti rugi kerana dia kata  juga bersalah.  Biar dia membayar  baik pulih kereta saya. Saya tak perlu tuntut dari pemandu kereta  Persona yang sebelum ini.

“Saya yang bayar kerosakan ini. Kalau  kereta ni elok pun dari asal akan rosak juga  bila saya langgar. Biar saya yang bayar.” Katanya dengan tegas.

Saya terharu  mendengar pendirian  pemandu  ini.  Hatinya amat baik dan mengambil  tanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan dia. Alangkan baiknya insan ini . Sikapnya patut dicontohi oleh  semua orang.

Saya bersetuju dengan pandangannya . Dia memberi nombor telefonnya pada saya  untuk saya  hubunginya tentang kos baik pulih nanti.  Dia  berlalu pergi selepas sekali lagi meminta maaf pada saya atas apa yang berlaku.

Petang itu juga saya hantar Avanza saya kebengkel. Kos baik pulih hanya Rm450 termasuk cat. Kerosakan tidak banyak kata pomen. Jadi saya  menghantar mesej kepada pemandu Nissan Frotier  memaklumkan kos baik pulih berserta nombor akaun bank saya. Tak sampai 5 minit saya sudah menerima mesej dari bank bahawa  RM450 sudah masuk ke akaun saya.

Alhamdulillah . Allah maha kaya mengatur segalanya.  Allah menghantar orang yang baik untuk membantu. Mungkin ini doa pemandu Persona yang  betul-betul tersepit   dengan masalah kewangan. Kesalahannya  dan beban baik pulih dibantu oleh pemandu Nissan Frontier. Duit saya juga terselamat dengan niat saya asalnya akan menggunakan duit sendiri juka kos baik pulih bawah Rm500. Allah  maha kaya. Niat yang baik dipermudahkan urusan oleh Allah.  Begitulah Allah mengatur rezeki  hambanya tanpa kita terfikir cara dan jalannya.

Apa yang penting kita jangan mudah marah dan  sentiasa bersangka baik dengan  sesiapa sahaja.


Thursday, April 10, 2025

YOU BAIKI KERETA YOU SAJA LAH

 Itulah jawapan dan penyelesesaian yang dicadangkan oleh pemilik kereta yang saya telah langgar. Dalam tahun 2009 ketika saya tinggal di Kota Damansara saya selalu berulang alik ke Universiti  Malaya hampir setiap hari untuk menyiapkan pengajian Master saya. Saya selalu menggunakan Lebuh raya Damasara kerana itu yang paling dekat walaupun jalan itu sibuk. 


Satu hari  semasa  balik dari  Universiti Malaya  dalam kesibukan jalan saya mungkin agar ralit sedikit  ketika memandu. Tiba-tiba saya terlanggar kereta di hadapan saya. Agak kuat juga hentaman. Saya tak  sedar adakah dia telah brek kecemasan atau saya yang cuai. Peristiwa itu berlaku tiba-tiba dan sekelip  mata.

Kereta  tersebut memeberhentikan keretanya kiri jalan  dan saya  pun ikut berhenti dibelakangnya. Jalan sangat sibuk ketika itu . Walau sudah berhenti di tepi jalan ia tetap mengganggu laluan sebelah kiri. Pemandunya keluar. Dia berbangsa  cina dalam umur sekita 40an. Kereta yang saya langgar  berwarna putih namun saya sudah lupa jenisnya. Mungkin  jenis Toyota  atau Suzuki. Apa yang saya ingat bukannya kereta mewah.

“Ayya.. You sudah langgar saya  ma.”  Dia   bersuara menegur saya. Tapi tidak bernada marah.

“Maaf boss. Saya  terlanggar kereta boss.  Mungkin saya ralit sikit tadi. Saya minta maaf”. Saya  menjawab.

Dia memerikasa keretanya. Bumber keretanya kemek masuk sedikit kedalam. Kereta saya juga begitu. Bumber depan kemek dan patah nombor plet. Banyak juga ni kena bayar . Saya bayar sajalah. Itu yang saya fikir. Memang sudah salah saya.

“Saya bayar semua boss. Saya  sudah salah. Bos baiki nanti saya bayar . Nak bayar dulu pun boleh.” Saya menawarkan penyelesaian.

Dia diam dan saya lihat dia  masih memeriksa keretanya sambil memicit bumber yang sudah kemek dan tercalar.

“Beginilah.. hari ni kita tak ada ong.. you pun tak ada ong.. benda sudah jadi.”

“Hari ni  kita tak ada luck lah. You pun bukan sengaja langgar saya.”

“You baiki kereta you saja lah. Saya baiki kereta saya. Kita sama-sama baikilah.”

Dia mencadangkan penyelesaian baru.  Saya terkejut mencengar cadangannya. Sedangkan saya yang bersalah.

“Jom lah kita jalan. Jalan sudah banyak jemlah… nanti susah orang lain .”

Katanya sambil mengulurkan tangan bersalaman dengan saya  dan masuk ke keretanya.

Terima kasih Boss. Saya minta maaf sekali lagi.”

Tutur saya sebelum dia masuk kekeretanya. Ketika dalam kereta dia membuka cermin dan mengangkat tangan melambai-lambai pada saya dan terus jalan.

Penyelesaian petang itu amat cepat. Tak sampai  5 minit.  Saya terkejut dengan   apa yang berlaku.    Saya beruntung bertemu dengan orang baik. Tidak panas baran dan mudah bertolak ansur.

Dia bukan Islam. Tapi emosi amat stabil . Tidak melenting dan bercakap lembut dan tidak meminta  pampasan  walaupun sudah terang saya yang bersalah.  Jauh sekali mengambil kesempatan atas kesalahan orang lain.

Alangkah baiknya jika kita semua orang Islam bersikap sebegini.   Saya amat menghargainya walapun tidak sempat berkenalan dan berbual panjang. Saya doakan agar pemandu cina tersebut dipermudahkan segala urusannya dalam kehidupan . Semoga Allah bagi hidayah kepadanya untuk kembali kepada fitrah agar segala kebaikannya itu boleh dibalas dengan syurga di Akhirat nanti.