Wednesday, March 09, 2011

Masa Lebih Mahal Dari Emas


Perjalan setiap hari ke tempat kerja amat memenatkan. Turun dari rumah seawal 6.30 pagi merentas jarak sejauh 46km dan 18 lampu isyarat di samping kesesakan yang tidak dijangkakan amat menguji kesabaran dan ketahanan mental. Perjalanan balik pula adalah lebih teruk dan boleh mengambil masa sehingga 2 jam atau lebih. Purata perjalan sehari adalah 3 jam dan jika ditolak hari cuti sabtu dan ahad jumlah akan menjadi 15 jam seminggu hanya di atas kereta . Jumlah ini jika di darab dengan 20 hari kerja dalam sebulan ianya adalah 60 jam!. Satu jumlah yang besar masa terbuang begitu sahaja. Itu belum dikira dengan kos minyak, tol, masa dan keletihan fizikal dan mental

Masa adalah nikmat Allah yang amat berharga yang tidak dapat dinilai harganya. Ianya lebih mahal dari emas. Semahal-mahal emas pun ianya masih boleh dibeli jika mempunyai harta dan wang. Tetapi masa! Ianya tidak dibeli atau ditukar dengan wang dan harta. Kalau ianya sudah berlalu tidak dapat diperolehi kembali.

Demikianlah Allah telah berpesan tentang masa dalam al-Quran di dalam surah al-Asr bahawa semua manusia dalam kerugian dalam aspek pengurusan masa melainkan mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah. Mereka yang tidak rugi ialah mereka yang sentiasa menyampaikan kebenaran iman dan berterusan berusaha menyebarkannya dengan penuh kesabaran.

Tempoh perjalanan yang panjang setiap hari ini perlu diuruskan agar ia dapat manfaat semaksima mungkin. Setakat ini, di samping tangan memandu kenderaaan, mata memerhatikan jalan, mulut dan hati dididik untuk menghalusi zikir ma’thurat pagi dan petang. Usai zikir memuji Allah, telinga dan minda mendengar dan menghadami kuliah-kuliah agama yang disampaikan ulama-ulamak seperti tuan guru Haji Nik Abdul Aziz Nikmat dan tidak ketinggalan juga ulama-ulama arab kontemporari seperti Dr Yusof al-Qardhawi, Dr Salman Odah, Dr Aidh al-Qarni dan lain-lain. Masya Allah sungguh banyak kuliah-kuliah ilmu yang dapat dimuat turun dari internet. Jika 10 kuliah sehari diteladani selama bertahun-tahun ianya tidak mungkin akan dapat langsaikan.

Ya Allah berikanlah bimbingan dan petunjuk Mu kepada hambamu yang lemah ini dan anugerahkan disiplin dan istiqamah agar dapat memanfaatkan sisa hidup ini memperhambahkan diriku kepadaNya.


1 comment:

shaqzone said...

Masa...dirasakan panjang bagi yang alpa.lalu terbuang sia-sia.