Semalam Ahad 13 November saya meluangkan masa menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan di sekolah anak saya. Anak pertama dan kedua, Muaz dan Ziad telah telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Muaz mendapat tempat kesembilan keseluruhan tahun tiga. Persaingan amat sengit dengan hanya perbezaan sebanyak 13 markah dari tempat pertama meletakkannya ditempat yang ke 9 keseluruhan. Manakala Ziad mendapat tempat ketiga keseluruhan tahun satu dengan beza 10 markah dari tempat pertama. Tetapi Ziad mendapat banyak anugerah dan hadiah kerana mendapat markah tertinggi bagi 4 matapelajaran di kelasnya. Tahniah kepada mereka berdua.. kami bangga dengan kejayaan anda!
Di dalam majlis tersebut terdapat beberapa perkara yang menarik perhatian saya sebagai ibu bapa. Diantaranya ialah:
1. Kemerosotan prestasi pencapaian 5A bagi UPSR bagi tahun ini amat rendah dengan hanya 17 orang berjaya mendapat 5A berbanding tahun lepas seramai 41 orang.
2. Lebih mengejutkan apa yang didedahkan oleh pengurusi PIBG bahawa keputusan peperiksaan akhir tahun ini bagi darjah lima hanya seorang sahaja yang mendapat 5A. Kalau ini betul bermakna guru perlu kerja keras untuk meningkatkan pencapaian UPSR tahun hadapan.
3. Program Linus bagi sekolah ini tidak mencapai tahap yang sebenar yang telah di tetapkan. Mungkin kerana kurang kerjasa ibubapa dan persekitaran yang kurang memberangsangkan.
4. Persembahan pelajar yang menjadi selingan majlis menggambarkan sejauh mana visi dan misi sekolah diselaraskan dengan falsafah Pendidikan Negara. Walaupun terdapat persembahan nasyid dan koir patriotik tetapi tarian pop yeh yeh oleh anak-anak kecil pra sekolah dan persembahan bintang kecil yang membawa lagu tema cinta amat menyempitkan dada.
Pada pandangan saya dua persembahan ini tidak sesuai dengan FPN yang menggariskan pendidikan untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari aspek JERI berdasarkan keimanan kepada tuhan. Memang tarian pop yeh yeh kanak-kanak bertujuan menghiburkan ibu bapa. Tetapi gaya pakaian dan fesyen ditambah pulak gerakan tarian berpasangan yang memancing nafsu seolah mendidik anak-anak kita mengenepikan nilai maruah dan agama. Begitu juga dengan nyanyian bintang kecil dengan pakaian lagak artis yang mencolok mata dan gaya persembahannya tidak ubah ibarat penyanyi konsert.
Adakah budaya dan nilai ini mahu diterapkan kepada anak-anak kita yang masih kecil. Kenapa tidak dibuat persembahan yang boleh mendidik anak-anak kita mencintai agama dan negara dengan membawa lagu-lagu patriotik yang boleh merangsang minda dan semangat juang. Tidak bolehkan anak-anak kita memakai pakaian yang sopan yang melambangkan maruah dan agama agar ia boleh menjadi ikutan. Cukuplah dengan budaya hedonisme yang sudah membarah dalam masyarakat. Jangan lagi diletakkan garam di tempat luka!
Ingatlah pesan Rasulullah : Setiap anak-anak itu dilahirkan dalam keadaan suci bersih ibarat kain putih. Ibu bapanya lah yang akan menjadikan anak tersebut sebagai Yahudi, Nasrani dan Majusi.
Yahudi perangainya ialah mengetahui kebenaran tetapi engkar. Nasrani pula keadaannya mahukan kebaikan dan kebenaran tetapi caranya salah dan tidak diterima. Manakala Majusi ini langsung tidak mengenal tuhan dan akhirat. Hidupnya mementingkan keduniaan, keseronokan dan selera nafsu semata-mata.
Kategori mana yang mahu kita corakkan generasi akan datang?
No comments:
Post a Comment