Monday, May 10, 2010

Solat AgendaUtama Dakwah

Puji dan syukur kepada Allah Taala tuhan yang maha kuasa lagi bijaksana telah mencipta dan mengurus seluruh amal maya. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad, utusan Allah yang terakhir untuk membimbing manusia mengenal kebesaran Allah dan tunduk kepadanya.

Persoalan solat perlu dititik beratkan oleh para pendakwah dalam masyarakat Islam di Malaysia. Solat adalah merupakan tiang agama. Al-Quran menyebut perkataan solat sebanyak 58 kali dalam situasi yang berbeza. Rasulullah juga telah menegaskan dalam sabda baginda menyebut bahawa solat itu tiang agama. Jika solat itu ditinggalkan akan runtuhlah agama seseorang. Bahkan baginda rasul juga menegaskan bahawa perbezaan antara Islam dan kafir ialah solat.
Apabila melihat kepada senario semasa dalam masyarakat Islam di Malaysia, Isu solat ini tidak dijadikan perkara utama dalam aspek pembentukan peribadi islam dan beriman. Kita melihat aspek lain yang lebih diberi penekanan dalam aspek dakwah. Sebagai contoh yang mudah ialah isu menutup aurat dan memakai tudung. Masyarakat Islam dilihat lebih sensitif dalam hal menegakkan pemakaian tudung di kalangan perempuan. Kesalahan tidak memakai tudung dilihat lebih besar dosanya dari meninggalkan solat. Hasil dari dakwah ini kita dapat melihat perubahan besar dalam masyarakat kita dari aspek pemakaian tudung sehinggakan majoriti umat Islam di Malaysia dilihat menutup kepala mereka sebagai identiti muslimah. Namun pemahaman sebenar konsep aurat itu masih lagi kabur di kalangan sebahagian besar umat Islam.

Di sebalik perubahan positif dari aspek pemakaian tadi, kita melihat kepincangan yang semakin membarah dari aspek sosial dan akhlak. Bahkan dengan pelbagai peristiwa dan isu yang melanda masyarakat akhir-akhir ini menunjukkan bahwa umat Islam sudah semakin jauh dari landasan yang sebenar. Hubungan masyarakat Islam semakin jauh dengan Allah taala. Malah tidak ramai yang dapat merasakan kekuasaan Allah yang maha mendengar dan maha melihat. Dosa dan pelanggaran kepada perintah Allah dilakukan tanpa rasa malu dan takut.

Dr Yusuf al-Qardhawi menyebut dalam satu tulisannya bahawa di antara kesilapan para pendakwah Islam ialah dalam meletakkan keutamaan dalam gerak kerja dakwah. Antara contoh yang beliau sebut ialah tentang meninggalkan persoalan solat dengan mengutamakan aspek lain. Ramai pendakwah amat bersemangat berjuang untuk menegakkan negara Islam, mengutamakan soal politik dan khlifah sehingga persoalan solat tertinggal di belakang. Mana mungkinne gara Islam dapat ditegakkan jika masyarakat umum masih tidak sempurna dalam perlaksanaan solat.

Cuba lihat disekeliling kita! Adakah setiap orang melaksanakan solat lima waktu tepat pada masanya? Dulu kita pernah dikejutkan dengan hasil kajian menunjukkan hampir 80 peratus pelajar sekolah tidak solat! Inikah generasi Islam masa depan. Kenapa tidak dibuat juga statistik solat guru itu sendiri. Berapa ramai guru yang solat 5 waktu pada masanya? Berdasarkan pengalaman saya, guru-guru sendiri pun bermasalah dalam hal solat. Lihatlah masyarakat awam yang bekerja dalam sektor awam dan swasta. Adakah mereka bersolat dalam kesibukan bekerja sepanjang hari yang ada ketikanya menuntut mereka keluar seawal belum subuh dan sampai kerumah melewati waktu isyak!

Bagiamana dengan pekerja binaan, pekerja ladang, buruh kasar yang menggunakan kudrat tenaga empat kerat dan bergelumang dengan debu dan kotoran. Adakah mereka ini menunaikan kewajipan solat? Persoalan inilah yang perlukan difikirkan oleh golongan pendakwah melebihi dari persoalan aurat dan perkara lain.

Masyarakat awam memerlukan bimbingan bagaimana untuk taat dan patuh kepada Allah dalam keadaan situasi hidup mereka yang pelbagai. Tidak semua orang mempunyai masa dan peluang untuk solat di surau dan masjid. Di samping kita memberi penekanan tentang menutup aurat dan mencegah maksiat antara dua jantina, keutamaan perlu di beri perhatian pada persoalan solat.

Para pendakwah dan bijak padai agama perlu mencari jalan keluar dan membimbing masyarakat agar dapat melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai orang Islam sesuai dengan situasi kehidupan mereka. Alangkah baikya jika para pendakwah meninggalkan sekejap masjid, surau dan tempat-tempat pengajian agama mereka untuk menziarahi kawasan pembinaan bertemu dengan pekerja-pekerja, mendampingi buruh-buruh kasar yang bekerja di gudang-gudang dan kilang-kilang, bertemu mata dengan mekanik-mekanik di bengkel-bengkel. Seterusnya memberitunjuk ajar dan membimbing bagaimana melaksanakan solat dalam situasi mereka yang bergelumang dengan debu dan kotoran. Bimbinglah mereka untuk melaksanakan solat dengan keadaan yang sesuai dengan situasi kerja mereka.

Solat itu mudah! Kerana Islam itu mudah tetapi kenapa di gambarkan solat itu sebagai sesuatu yang amat susah untuk di laksanakan. Amat banyak pegangan yang salah yang membantutkan pelaksanaan solat, diantaranya ialah mesti pakai kain pelikat, mesti pakai kopiah, mesti ada sejadah, tidak boleh memakai seluar kerja, solat mesti di surau. Bagi perempuan pula di momokkan mesti memakai telekung putih dengan setnya yang lengkap dan pelbagai lagi perkara pelik yang bercaggah dengan semangat solat itu sendiri. Masyarakat di momokkan agar melakukan solat dengan cara yang terbaik dan paling baik tanpa menyedari bahawa momokan itu hanya menyebabkan solat itu ditinggalkan.

“Solat itu suci dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya’.
“saya malu mengadap tuhan dengan pakaian yang kotor dengan peluh, minyak, debu dan pelbagai lagi”
“Tak ada sejadah”
“Tak ada surau”
“Tak ada kain pelikat”
“Seluar dah tiga hari tak basuh, nanti ada najis”

Itulah antara alasan-alasan yang diberikan apabila kita bertanya kenapa tidak solat ditempat kerja. Mereka lebih rela tidak solat kerana beberapa persepsi dan kurang kefahaman tentang solat itu sendiri.

Kenapa pandangan begini masih menebal di kalangan masyarakat Islam kita? Marilah kita sama-sama melakukan perubahan..

1 comment:

hafizanyusof said...

MINTA IZIN UTK SHARE...