Saturday, May 30, 2009

SELUAR PANJANG!

Satu hari tahun 1986

“ Abdullah! Penolong kanan mahu jumpa kamu kat biliknya” Beritahu cikgu Bahasa Melayu sejurus sebelum keluar dari kelas.

“ Kenapa cikgu?”
“ Tak tahulah saya kenapa, kamu pergilah sekarang”

Fikiran aku mencongak ini mesti kes pakai seluar panjang ni. Semenjak aku berpindah balik ke sekolah ini dari SK Mentuan, Kota Bharu aku masih kekal memakai seluar panjang sebagaimana di sekolah lama. Tetapi undang-undang Sekolah ini mewajibkan semua murid lelaki berseluar pendek, tidak dibenarkan sama sekali memakai seluar panjang atas alasan mahu mendisiplinkan murid. Dari mana datangnya undang-undang ini dan siapa pula yang buat tak diketahui. Apa yang saya tahu banyak sekolah yang membenarkan muridnya memakai seluar panjang. Malah kat kedai pun berlambak dijual seluar panjang untuk sekolah rendah. Lagi pun semua orang tahun menutup aurat ni wajib dalam Islam, sepatutnya ia dilatih menutup aurat dari sekolah rendah lagi.

Tok! Tok!

“ Masuk!”
“ Assalamuaikum cikgu”

“Hah Abdullah! Mari sini, Cikgu dah berbincang dengan guru besar bahawa kat sekolah ini tak boleh pakai seluar panjang sebab ia melanggar undang-undang”

“ Tapi cikgu kenapa sekolah lain boleh pakai” Pandai pulak aku menjawab, entah dari mana keberanian aku datang. Semua orang takut dengan penolong kanan ni terutama pada misainya.

“ Itu undang-undang sekolah ini, kamu belajar di sekolah ini, jadi kena ikutlah undang-undang sekolah ini”

“ kenapa kita tak ubah undang-undang sekolah ini biar sama dengan sekolah lain?” aku dah sedikit gugup.

“ Kalau kamu nak pakai jugak seluar panjang kamu pindah ke sekolah lain lah, saya boleh buat surat pindah”

“ Tapi... apa salah pakai seluar panjang lagi pun kita orang Islam wajib tutup aurat, itu undang-undang tuhan” aku teringat cakap ummi begitu.

BANG!!

Terlompat aku, terkejut, bila meja besar menjadi mangsa hentakan tangan penolong kananku ini. Mukanya kelihatan marah.

“ Pandai kamu bercakap ya, mesti ibu bapa kamu yang ajar kamu begini”
“ Kamu kena pindah sekolah”
“ Bagitahu ayah kamu datang ambil surat pindah, cari sekolah yang boleh pakai seluar panjang”
“ Kamu boleh keluar sekarang”

Aku terkejut amat sangat, perasaan berbaur-baur, rasa nak menangis pun ada, sedih pun ada. Besar sangatkah kesalahan aku. Aku bukan mencuri, bukan merosakkan harta sekolah, aku tak calar kereta cikgu, aku tak tidur dalam kelas.

Kesalahan aku hanya...
pakai seluar panjang.
kerana tutup aurat
mahu ikut ajaran Islam
mahu ikut sunnah Nabi

Tetapi aku di halau... nak buang sekolah macam penjenayah.

Ya. mungkin aku penjenayah kerana tak tunduk kepada undang-undang manusia..
Tapi aku menjunjung perintah Allah dan rasul.

Paling sedih ialah Ustaz aku sendiri yang amat aku segani pun tidak menyokong seluar panjang ini

“ Abdullah! Tak payah lah pakai seluar panjang, pakai je seluar pendek yang biasa tu”
“ Nanti kalau dibenarkan pakai seluar panjang, nanti ada pula yang akan minta pakai kain pelikat ke sekolah”

Semenjak hari itu entah kenapa aku hilang hormat pada Ustaz ini, kenapa dia pulak cakap begitu. Sepanjang isu ini berlaku di sekolah, aku amat mengharap sokongan dari dia.

“ Ah! Harapkan pagar, pagar makan padi” itulah rumusan aku pada masa itu walaupun umur masa itu 10 tahun.

Aku terpaksa mengalah kerana sekolah yang membenarkan muridnya pakai seluar panjang itu terletak di bandar Pasir Putih. Keluarga aku orang miskin tak ada belanja besar untuk berulang alik ke sekolah. Yang jauh. Tetapi kami sekeluarga telah berpuashati kerana telah berusaha. Bagi kami orang yang menghalang itulah yang akan menanggung dosa saya dan semua murid yang secara terpaksa mendedah aurat.

Tapi kami tidak mengalah, setahun selepas itu ketika aku berada dalam darjah 5, datang idea memorandum. Aku mula mengumpul tanda tangan seramai mungkin murid-murid yang bersetuju untuk menutuip aurat. Banyak juga tanda tangan yang berjaya dikumpul mencecah ratusan tandatangan. Macam-macam bentuk tandatangan yang ada. Bentuk bola, kapal terbang, durian, pisau, pistol, bunga dan macam-macam lagi. Maklumlah budak-budak kecil pun saya minta reka tandatangan sendiri. Ramai juga yang baru mengenal apa itu tandatangan. Sekurang-kurangnya ini juga satu proses belajar bagi mereka.

Halangannya si Ustaz lagi!
“ Buat apa kumpul tandatangan. Pakaian yang dah sedia ada dah bagus. Budak-budak kecik tak berdosa sebab belum baligh” Binawe punya ustaz.

Almarhumlah saya punya memorandum ditongsampahkan.

Tahun seterusnya 1988..

Saya kumpul lagi tandatangan murid-murid yang takut kepada siksa neraka Allah dan berazam mahu tutup aurat. Tandatangan semakin mudah dikumpulkan tanpa banyak karenah. Tapi kali ini bukan untuk diserahkan pada pihak sekolah. Bimbang nanti penuh tong sampah dengan tandatangan murid-murid berhati mulia itu. Kali ini kami bawakan kepada PIBG dalam mesyuarat tahunannya.

Alhamdulillah! Diluluskan tapi untuk tahun seterusnyalah 1989! tapi sebagai pilihan sahaja, tidak wajib. Itu sudah kira OK. Aku dah habis darjah 6, tak merasalah memakai seluar panjang biru.

Ibu memujuk: “Tak apa, kita dah buat benda baik, Allah dah ampunkan kita, kita akan dapat ganjaran pahala sesiapa yang memakai seluar menutup aurat. Itu hasil perjuangan kita.”

Pesan Rasulullah:

((من سن سنة حسنة في الإسلام؛ فله أجرها وأجر من عمل بها إلى يوم القيامة ...))
Sesiapa yang melakukan perkara baik dalam Islam, Baginya pahala dan pahala mereka mereka yang mengamalkannya sehingga hari kiamat.

Allah maha besar! Tahun 1989 adalah tahun yang amat menggembirakan hati aku dan keluarga. Hampir separuh pelajar lelaki memilih untuk menutup aurat! Malah sedikit demi sedikit perubahan berlaku dan sesiapa yang tak menutup aurat merasa tak selesa. Beberapa tahun selepas itu pakaian menutup aurat sudah menjadi pakaian rasmi sekolah!

Thursday, May 28, 2009

CUTI DALAM CUTI

Cuti semester kedua universiti selama dua bulan hanya berbaki sebulan lagi. Begitu cepat rasanya ia berlalu. Memang bertuah mendapat rezeki Allah dengan biasiswa latihan Kementerian Pendidikan. Tetapi biasiswa ini adalah merupakan amanah yang telah diberikan oleh rakyat Malaysia kepada pemegangnya agar meningkatkan profesioanal diri demi untuk berkhidmat kepada negara.


Pemegang biasiswa sarjana Kementerian Pendidikan mendapat keistimewaan berikut:

a. Cuti selama 24 bulan

b. Gaji penuh berjalan seperti biasa dengan kenaikan tahunan.

c. Yuran pengajian dibayar sepenuhnya.

d. Elaun belajar RM900 sebulan

e. Elaun keluarga RM360 sebulan

f. Elaun buku RM900 sepanjang kursus.

g. Elaun peralatan RM750

h. Elaun disertasi (tesis) tak ingat berapa.


Belajar di peringkat master ini tidaklah sesibuk pengajian peringkat PHD. Pemegang biasiswa diwajibkan untuk mengambil mode coursework dan disertasi (kelas dan kajian) ini bermakna kami semua wajib hadir ke kuliah mengikut matapelajaran yang disenaraikan. Bagi di Universiti Malaya pelajar Master perlu mendaftar sebanyak 18 jam kredit matapelajaran dengan 9 jam kredit setiap semester dan 18 jam untuk disertasi. Jadi setiap semester kami hanya terdapat 3 matapelajaran sahaja dengan menghadiri 9 jam kuliah. Biasanya hari kuliah ialah 2 atau 3 hari sahaja. Baki hari yang lain itu bolehlah berehat.


Sekarang adalah cuti semester dua selama dua bulan mei dan jun. Kuliah akan bermula 5 julai nanti. Dua bulan ini adalah cuti penuh yang sepatutnya diisi dengan perkara yang berfaedah. Kadang-kadang terasa cuti belajar ini adalah cuti berehat yang panjang untuk bersama keluarga.


Cuti yang panjang ini sepatutnya digunakan sebanyak mungkin untuk meningkatkan keupayaan diri dalam pelbagai bidang terumatama dalam bidang pengajian Bahasa Arab. Sepatutnya juga masa ini digunakan sepenuhnya untuk menigkatkan keupayaan bahasa Inggeris yang sememangnya sangat lemah. Buku-buku tersusun di rak menuggu untuk dibelek-belek dan difahami. Tapi sebulan berlalu tanpa dimanafaatkan sepenuhnya. Tiada apa yang boleh dibanggakan... hanya sibuk dengan urusan keluarga dan anak-anak yang tak pernah kesudahan.


Sedangkan Rasulullah sudah berpesan kepada kita bahawa penggunaan masa secara optima adalah amat penting. Firman Allah dalam surah al Asr:


والعصر إن الإنسان لفي خسر. إلا الذين ءامنوا وعملوا الصالحات. وتواصوا بالحق وتواصوا بالصبر

Demi Masa sesungguh manusia berada dalam kerugian. Melaikan mereka yang beriman dan melakukan amal baik (bermanfaat dunia akhirat). Sentiasa menyampaikan kebenaran dan sentiasa menyampaikannya dengan sabar.


Rasulullah juga telah menyebut:

نعمتان مغبون فيهما كثير من الناس الصحة والفراغ

Dua nikmat yang manusia biasanya tidak diguna dengan baik kesihatan dan masa lapang.


Rasulullah bersabda lagi :

اغتنم خمسا قبل خمس: فراغك قبل شغلك، شبابك قبل هرمك، غناك قبل فقرك، صحتك قبل مرضك، حياتك قبل موتك.

Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara: Masa lapang kamu sebelum datangnya waktu sibuk, waktu muda kamu sebelum kamu tua, waktu kaya sebelum jatuh miskin, waktu sihat sebelum jatuh sakit, waktu hidup sebelum mati.


Inilah peringatan yang Allah dan rasulnya telah berikan kepada kita semua orang Islam. Tetapi malangnya kita semua tidak ada kekuatan untuk melaksanakannya dalam diri kita apatah lagi dalam masyarakat Islam.


Saya berazam kepada diri saya bahawa disepanjang cuti yang anugerahkan ini akan digunakan sepenuhnya untuk menguasai ilmu pengetahuan dan meningkatkan tahap prefesioanal diri demi untuk meneruskan perjuangan yang masih amat jauh ini.


Antara yang menjadi fokus saya ialah:

a. Memperkuatkan lagi penguasaan bahasa Arab melalui pembacaan, penulisan dan percakapan.

b. Menguasai Bahasa Ingeris pembacaan, penulisan dan pertuturan.

c. Kemahiran menulis yang pelbagai, akademik, bebas dan kreatif.

d. Kemahiran pengucapan awam dan kemahiran komunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

e. Mentelaah buku ilmiah sekurang-kurangnya dua buah buku seminggu.


Semoga Allah memberi kekuatan kepada saya untuk merancang dan melaksanakannya seterusnya mencapai sasaran yang telah digariskan. Amin..

Wednesday, May 27, 2009

Malu dapat pahala

Malam tadi saya datang solat isyak agak awal di Surau Seksyen 7. Surau ini bertaraf masjid, ruangnya amat luas dan diadakan solat jumaat. Kuliah maghrib malam ini disampaikan oleh ustaz yang tersohor di Kota Damansara.

Bila pintu surau yang sentiasa tertutup untuk menjaga suhu penghawa dingin itu dibuka, ramai pulak ahli jemaah duduk bersila dengan khusyuk dekat pintu. Nak melintas di depan mereka rasa sopan pulak tapi terpaksa juga melanggar adat kesopanan sebab mereka tak mengamalkan adab sopan! Duduk dipintu surau menghalang pintu masuk! Ini bertentangan dengan amalan Islam.

Tidak kah kita ingat Hadis Rasulullah ?

إياكم والجلوس في الطرقات
Jauhkan diri kamu dari duduk di jalan-jalan


Lagi Ajaib! Surau yang luas itu lengang di bahagian hadapannnya. Yang ada di sana ialah Ustaz pengkuliah di mejanya. Pendengarnya nun di sana sayup mata memandang di belakang dan di dindiing-dinding dan tiang-tiang. Menyandar belakang santai mendengar kuliah. Mereka seolah membiarkan jin-jin mendapat pahala majlis ilmu di saf-saf pertama dan cukuplah kita semua manusia mendapat hujung-hujung.

Mungkin kita lupa Pesan Allah untuk kita :

فاستبقوا الخيرات
Berlumbalah kamu untuk mendapat kebaikan

Di dalam solat pun umat Islam diajar untuk berusaha untuk mendapat saf pertama malah Rasulullah telah bersabda kalaulah manusia betapa besarnya ganjaran pahala solat di saf pertama pastinya mereka akan mendapatnyanya walaupun terpaksa mengundi.


لو يعلم الناس ما في النداء والصف الأول ثم لم يجدوا إلا أن يستهموا عليه لاستهموا

Kalaulah manusia tahu pahala ganjaran azan dan saf pertama kemudian mereka tidak akan mendapatkannya melainkan dengan cara mengundi pastinya mereka akan mengadakan undian.

Tapi hakikatnya kita umat Islam yang sudah agak baik ibadatnya, sudah istiqamah dengan solat jemaah dan kuliah-kuliah agama masih lagi belum dapat mengamalkan hadis Rasulullah yang semudah ini. Kita nampaknya amat takut untuk sembahyang di saf pertama dan kadang-kadang berlaku tolak menolak kerana tak mahu naik ke saf pertama. Di dialam kuliah-kuliah adalah lebih parah semakin luas masjid dan surau semakin jauhlah jarak para jemaah dengan pengkuliah.

Marilah kita sama-sama buat perubahan sikap. Marilah kita junjung aspirasi Rasulullah yang telah mengajar kita disiplin ilmu dan ketamadunan dengan berusaha untuk menuntut ilmu dan mengamalkannya.

Sunday, May 24, 2009

Kanak-kanak membatalkan pahala saf solat?

Jumaat minggu ini saya dan Muaz datang awal sedikit ke Masjid untuk solat jumaat bagi mendapat tempat dibahagian tepi masjid. Sudah berapa kali kami ditegur kerana solat di bahagian tengah dengan umur muaz yang dikira belum sampai tahap baligh yang dikatakan boleh merosakkan saf solat jemaah seterusnya menguragkan pahala para jemaah. Entah darimana hukum ini diambil tak pernah pula diketahui. Setiap hari jumaat sebelum ini saya berkeras tak mahu berganjak sehinggakan AJK tertinggi sendiri datang berjumpa dan memebri teguran. Katanya kalau tak mahu berpisah dengan anak carilah tempat dihujung saf!. Malam dibuat pengumuman lagi dengan pembesar suara bahawa kanak-kanak belum baling tak boleh berada dalam saf kerana boleh memutuskan saf! Masya Allah alangkah besarnya bidaah ini!

Setelah berbincang dengan beberapa orang ahli jemaah saya mengambil keputusan untuk tidak menimbulkan ketegangan.
“ AJK masjid sini susah nak bincang, keras kepala” sungut sorang jemaah
“ Ramai dah orang cuba tapi tak jalan” sahut yang lain
“ Ha ‘ah. Ustaz dari JAWI pun mereka tak benarkan kuliah”

Sepanjang saya menghadiri kuliah di masjid ini memang saya perhatikan ustaz-ustaz cukup berhati-hati menerangkan sesuatu pandangan yang agak baru dengan amat lembut sekali. Walaupun begitu pernah satu ketika ditanya juga soalan yang menggambarkan tahap para jemaah malah AJK masjid ini.

“ sahkan solat seseorang itu jika dia tidak duduk istirahah sebelum qiam dari sujud rakaat pertama?
“ Solat sah sebab ia bukan rukun, itu hanya sunat sahaja” jawab Ustaz muda itu.
“ Tapi ada orang cakap tak sah! Macamana tu ustaz?
“ Itu orang kata, tapi kalau ikut hukum solat itu sah sebab itu bukan rukun solat yang mana kalau ditinggalkan menyebabkan solat batal” sambung ustaz lagi
“ Ya lah, tapi kenapa ada orang kata solat tak sah pulak” sambut penyoal menunjukkan rasa tak puas hati.

Berpeluh ustaz muda nak menjawab akhirnya…
“ kita kena ikut hukum bukannya kata-kata orang”

Itulah apa yang berlaku, tetapi orang macam ini walaupun mendatangkan masalah kepada masjid tetapi mereka cukup komitmen dalam hal lain. Solat jamaah tak pernah tinggal, kebersihan masjid dijaga dengan rapi. Selalu dia lah yang menyapu sampah dan membersihkan tandas, tutup lampu, kipas dan tingkap. Apa-apa pun dia adalah ahli jemaah, masalahnya mesti ditangani dengan hikmah. Saya mengambil keputusan untuk menanggauhkan pembetulan tentang saf kanak-kanak tadi sehingga tiba masanya yang sesuai.

Ya, sekarang ramai yang ingin kembali kepada agama dan ingin memberi sumbangan untuk agama islam tetapi kerana kefahaman islam yang masih kurang menyebabkan timbullah perkara sebegini.

Masih banyak perkara lain yang perlu menjadi keutamaan dalam masalah solat ini. Masjid ini berhampiran dengan sekolah rendah dan menengah. Nah berapa ramai pelajar-pelajar Islam yang tak berkesempatan untuk solat Jumaat kerana mengutamakan persekolahan. Bayangkan sekolah sesi petang bermula jam 2 sedangkan solat jumaat selesai sekitar 2.15 petang bahkan kalau ada khatib yang bersemangat jam 2.30 baru selesai.

Murid-murid sekolah ini kalau kemasjid untuk solat dihalau dengan alasan masih kecil dan merosakkan pahala solat jemaah. Dimana mereka mahu solat? Di atas lantai depan masjid, ditepi jalan? Masjid memang sesak. Jadi jalan selamat ialah tak payah datang solat sebab jam 2 pun dah masuk kelas!

Pening kepala bila kita bawa berbincang.

“tak apa menuntut ilmu wajib, mesti diutamakan”
“ Budak-budak tu masih kecil, belum baligh, Allah maafkan”
“ nanti besar nanti bolehlah mereka solat jumaat”

Ya Allah! Kenapa teruk sangat kefahaman islam kita semua. Ini pandangan mereka yang istiqamah dengan solat jemaah di masjid. Apatah lagi kalau yang tak pernah kenal dengan tangga masjid dan mereka hanya solat di ketika ada kelapangan sahaja.

Kita tidak sedar dalam diam kita telah mengenepikan perintah Rasulullah atau tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa kita telah memperkecilkan Rasulullah yang telah bersabda:

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع


Suruhlah (ajarkanlah) anak-anak kamu solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan solat ketika umur mencapai sepuluh tahun. Dan pisahkan tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.

Sebenarnya dalam banyak hal dalam kehidupan seharian kita, kita berpandangan dan bertindak seolah-olah kita lebih bijak dari Rasulullah malah kita rasa lebih bijak dari Allah taala yang mencipta langit dan bumi ini.