Malam itu, buat pertama kalinya saya dapat tidur
bersebelahan dengan Aishah.
Jenazah kecil Aishah kami letakkan di satu sudut ruang tamu
rumah. Saya dan isteri tidur di sisinya, menemani anak kecil kami buat kali
terakhir sambil menunggu siang menjelma.
Pihak surau telah memaklumkan bahawa mereka bersedia untuk
membantu menguruskan jenazah Aishah. Seawal jam tujuh pagi, jiran-jiran mula
datang menziarahi kami.
Ibu dan ayah saya berada jauh di Kelantan. Saya memberitahu
mereka bahawa tidak perlulah bersusah payah datang ke Petaling Jaya. Perjalanan
jauh dan keadaan keluarga ketika itu juga tidak begitu mengizinkan.
Ibu saya sendiri masih dalam pantang menjaga adik bongsu
saya yang ketika itu masih bayi. Adik bongsu saya yang juga merupakan mak saudara kepada Aishah baru dilahirkan pada 20 Mei 2000. Usia mereka
hanya berbeza sekitar sebulan lebih.
Jiran-jiran dan komuniti taman tempat kami menumpang ketika
itu sangat baik hati. Ada yang sanggup masuk kerja lewat kerana mahu membantu
menguruskan jenazah Aishah. Ada juga yang mengambil cuti.
Sedangkan mereka baru sahaja mengenali saya.
Saya belum pun lama tinggal di situ. Namun mereka tidak
menganggap saya sebagai orang luar. Mereka menerima saya dan isteri sebagai
sebahagian daripada keluarga besar mereka.
Pengurusan jenazah Aishah selesai agak awal kerana jasadnya
sangat kecil. Saya sendiri turut membantu memandikan jenazah anak saya dan
menyiapkan segala keperluannya.
Tubuh yang selama ini saya tatap di dalam inkubator, yang
dipenuhi wayar dan tiub, kini berada di hadapan saya untuk dimandikan dan
dikafankan.
Kecil sekali tubuhnya.
Solat jenazah diimamkan oleh seorang jiran senior yang
ketika itu baru sahaja bersara. Beliaulah antara orang yang banyak membantu
menguruskan jenazah Aishah dari awal hingga akhir.
Kemudian tibalah saat untuk kami menghantarnya ke tempat
persemadian.
Saya memangku sendiri jenazah Aishah.
Saya membawanya ke tanah perkuburan dan menurunkannya
sendiri ke liang lahad. Liang yang digali tidaklah dalam seperti kubur orang
dewasa. Hanya sekitar paras lutut, sesuai dengan tubuh kecil seorang bayi.
Perlahan-lahan saya meletakkan Aishah di sana.
Ramai jiran dan beberapa orang saudara terdekat hadir
mengiringi pengebumiannya.
Selesailah perjalanan Aishah bersama kami di dunia ini.
Apabila saya mengenang kembali peristiwa itu, hati saya
masih tersentuh dengan kebaikan mereka. Pemergian Aishah, dalam kesedihan yang
begitu mendalam, rupanya menjadi sebab hubungan saya dengan penduduk taman itu
semakin erat.
Ketika itu saya belum pun sampai dua bulan tinggal di situ.
Namun ketika saya diuji dengan kehilangan seorang anak,
merekalah antara insan yang berdiri di sisi saya.
Sungguh indah sebuah persaudaraan.
Petang itu, Pengerusi Khairat Kematian datang menziarahi
saya di rumah. Beliau menghulurkan sejumlah wang kepada saya.
“Ustaz, ini lebihan duit pengurusan jenazah. Ada lebih
kurang RM300 lebih.”
Saya agak terkejut.
“Eh, saya belum buat apa-apa bayaran lagi.”
Beliau tersenyum lalu menjelaskan,
“Ustaz waris kepada abang isteri Ustaz. Jadi kira warga kami
juga. Kami gunakan tabung khairat surau untuk uruskan jenazah.”
Kemudian beliau menyambung,
“Anak Ustaz masih bayi. Tidak banyak perbelanjaan yang
digunakan. Jadi lebihan ini kami kira sebagai sumbangan pihak surau kepada
Ustaz dan isteri.”
Saya terdiam.
“Kami warga surau mengucapkan takziah atas kehilangan ini.
Semoga Ustaz dan isteri bersabar. Insya-Allah, Allah akan gantikan dengan yang
lebih baik.”
Kata-kata itu saya simpan dalam ingatan.
Kini, setelah 26 tahun berlalu, hubungan saya dengan warga
taman itu masih erat. Walaupun saya tidak lagi tinggal di sana, setiap bulan
saya masih kembali ke taman tersebut untuk bersama-sama penduduk mengadakan
halaqah ilmu di surau.
Persaudaraan yang bermula ketika saya sedang berduka itu
rupanya terus hidup hingga hari ini.
Semoga Allah memberkati mereka semua, membalas setiap
pertolongan, doa dan kebaikan yang pernah mereka berikan kepada kami.
بَارَكَ اللهُ فِيكُمْ
Bārakallāhu fīkum.
Semoga Allah memberkati kalian.
Aishah...
Kehadiranmu di dunia hanya sebentar. Namun enam minggu
bersamamu meninggalkan jejak yang panjang dalam kehidupan ayah dan ibu.
Allah meminjamkanmu kepada kami seketika, kemudian Dia
mengambilmu kembali.
Ayah sendiri yang memangku jasad kecilmu.
Ayah sendiri yang menurunkanmu ke liang lahad.
Selepas itu, ayah terpaksa pulang meninggalkanmu di sana.
Tetapi ayah tahu, perpisahan ini bukan untuk selama-lamanya.
Aishah sudah pergi ke alam baqa.
Tunggulah ayah dan ibu di sana, Aishah.
Kami juga akan menyusul.
اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ فَرَطًا لِأَبَوَيْهِ،
وَسَلَفًا، وَذُخْرًا، وَعِظَةً، وَاعْتِبَارًا، وَشَفِيعًا، وَثَقِّلْ بِهِ
مَوَازِينَهُمَا، وَأَفْرِغِ الصَّبْرَ عَلَى قُلُوبِهِمَا، وَلَا تَفْتِنْهُمَا
بَعْدَهُ، وَلَا تَحْرِمْهُمَا أَجْرَهُ.
“Ya Allah, jadikanlah anak ini sebagai pendahulu bagi
kedua ibu bapanya, sebagai simpanan dan bekalan bagi mereka, sebagai pengajaran
dan iktibar, serta sebagai pemberi syafaat. Beratkanlah dengan sebabnya
timbangan amalan kedua ibu bapanya. Limpahkanlah kesabaran ke dalam hati
mereka. Janganlah Engkau timpakan fitnah kepada mereka selepas pemergiannya dan
janganlah Engkau menghalang mereka daripada memperoleh pahalanya.”
No comments:
Post a Comment