Kehadiran saya hampir setiap hari di hospital menyebabkan saya semakin mengenali jururawat dan petugas di NICU. Kadang-kadang apabila ada jururawat yang biasanya bertugas tetapi tidak kelihatan, saya akan bertanya khabar tentang mereka.
“Akak tu tak masuk hari ni?”
“Dia cuti.”
Ada kalanya mereka bertukar syif secara tiba-tiba.
Lama-kelamaan saya sudah tahu siapa yang bertugas dan siapa yang akan menjaga
Aishah pada hari tersebut. Begitulah rapatnya hubungan saya dengan jururawat di
NICU sepanjang tempoh anak kecil saya dirawat di situ.
Mereka juga mengenali ibu bapa kepada bayi-bayi yang berada
di bawah jagaan mereka. Sesekali, dalam perbualan kami, mereka bercerita secara
umum tentang cabaran yang dihadapi oleh keluarga bayi-bayi tersebut.
Daripada situlah saya belajar bahawa setiap manusia
mempunyai cerita dan ujiannya sendiri.
Lain orang, lain kisahnya. Lain keluarga, lain ujiannya.
Ketika kita sedang berhadapan dengan kesusahan,
kadang-kadang kita merasakan bahawa kitalah manusia yang paling berat diuji.
Namun apabila kita membuka mata dan melihat kehidupan orang lain, barulah kita
sedar bahawa di sekeliling kita ada insan yang sedang memikul beban yang jauh
lebih berat.
Saya memang penat.
Setiap hari perlu berulang-alik ke hospital. Dalam masa yang
sama saya perlu menguruskan isteri yang masih dalam pantang, menjalani
praktikum, menyediakan Rancangan Pengajaran Harian dan bahan bantu mengajar
serta melaksanakan tanggungjawab sebagai guru pelatih.
Namun rupanya dalam kesusahan itu, Allah masih memberikan
begitu banyak kemudahan kepada saya.
Saya mempunyai kenderaan. Saya masih mampu datang ke
hospital setiap hari. Saya diberikan kesempatan untuk berdiri di sisi inkubator
Aishah, menyentuh tubuh kecilnya, mengusapnya dan mendoakannya.
Ada ibu bapa lain yang hanya mampu datang seminggu sekali
kerana masalah pengangkutan dan kewangan. Ada yang tinggal jauh. Ada pula yang
berhadapan dengan masalah keluarga sehingga tidak berkesempatan datang sekerap
yang mereka inginkan.
Ketika itulah saya semakin menghayati firman Allah SWT:
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.
Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.”
(Surah al-Insyirah: 5–6)
Allah tidak mengatakan bahawa kemudahan hanya datang selepas
kesusahan. Allah menyebut مَعَ الْعُسْرِ — bersama kesusahan itu ada
kemudahan.
Dalam ujian yang sedang saya lalui, rupanya Allah telah
menyediakan pelbagai kemudahan yang pada awalnya tidak begitu saya sedari.
Pada suatu hari, saya menyedari ada seorang bayi baharu
ditempatkan di dalam inkubator berhampiran Aishah.
Beberapa hari berlalu, tetapi saya tidak pernah terserempak
dengan ibu atau ayah bayi tersebut.
Saya mula tertanya-tanya.
Mungkin ibunya masih sakit.
Tetapi ayahnya?
Saya cuba tidak memikirkannya lebih jauh. Saya sendiri tidak
tahu keadaan sebenar keluarga tersebut.
Sehinggalah pada suatu hari saya datang ke hospital lebih
awal daripada kebiasaan. Kebetulan pada hari itu ada aktiviti di sekolah dan
saya memohon kebenaran daripada pengetua untuk pulang lebih awal bagi melawat
Aishah.
Sebaik sahaja memasuki NICU, pandangan saya tertumpu kepada
inkubator di sebelah Aishah.
Ada seseorang sedang berdiri di situ.
Seorang pelajar perempuan.
Dia masih berpakaian seragam sekolah.
Saya memperlahankan langkah.
Pelajar itu berdiri di sisi inkubator sambil mengusap tubuh
bayi kecil tersebut dengan begitu lembut. Wajahnya kelihatan sayu.
Gerak-gerinya penuh kasih dan naluri keibuan.
Saya tertanya-tanya.
Siapakah pelajar ini?
Adakah dia kakak kepada bayi tersebut?
Kalau dia kakaknya, di manakah ibu bayi ini?
Saya tidak bertanya kepadanya. Saya hanya melihat dari jauh
sebelum menghampiri inkubator Aishah seperti biasa.
Selepas pelajar perempuan itu meninggalkan NICU, saya
mendekati seorang kakak jururawat yang sudah biasa berbual dengan saya.
“Akak, budak sekolah tadi tu siapa? Kakak kepada baby tu
ke?”
Jururawat itu memandang saya.
“Dia tu ibu baby tu lah.”
Saya terdiam.
“Ibu?”
“Ya. Dah dua kali dia datang. Lepas sekolah. Dalam pukul
tiga macam tu sampailah dia.”
Saya benar-benar tercengang.
Pelajar perempuan yang masih berpakaian seragam sekolah itu
rupanya seorang ibu muda.
Melihat saya masih terkebil-kebil cuba memahami keadaan,
kakak jururawat itu menyambung perlahan,
“Single parent...”
Dua perkataan itu membuatkan saya terdiam agak lama.
Daripada penerangan ringkas yang saya terima, saya memahami
bahawa bayi tersebut lahir daripada hubungan di luar pernikahan.
Astaghfirullahal ‘azim.
Saya beristighfar panjang.
Kemudian saya diberitahu bahawa ibu kepada pelajar tersebut,
yakni nenek kepada bayi kecil itu, juga pernah datang menziarahinya.
Saya kembali memandang bayi kecil di dalam inkubator itu.
Tiba-tiba terlintas sesuatu dalam fikiran saya.
Mungkin bayi ini nanti akan didaftarkan di bawah Seksyen
13...
Namun belum sempat fikiran itu pergi lebih jauh, muncul pula
satu bisikan lain yang menepisnya.
Ah... itu bukan urusan aku.
Jangan bersangka buruk yang bukan-bukan.
Saya tersentak dengan lintasan hati sendiri.
Saya tidak tahu keseluruhan kisah mereka. Saya tidak tahu
apa sebenarnya yang berlaku. Saya tidak tahu keadaan keluarganya. Saya juga
tidak tahu bagaimana masa depan ibu muda dan bayi itu.
Mengapa pula saya perlu membuat kesimpulan terhadap sesuatu
yang saya sendiri tidak mengetahuinya?
Allah SWT mengingatkan:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan
daripada sangkaan, kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah
dosa.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Saya kembali melihat bayi itu.
Dia kecil. Tidak tahu apa-apa. Tidak memahami sedikit pun
kerumitan dunia yang sedang menunggunya.
Dia tidak pernah meminta untuk dilahirkan dalam keadaan
sedemikian.
Dan dia tidak menanggung dosa sesiapa.
Allah SWT berfirman:
وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ
أُخْرَىٰ
“Dan seseorang yang memikul dosa tidak akan memikul dosa
orang lain.”
(Surah al-An‘am: 164)
Apa yang saya lihat di hadapan mata hanyalah seorang bayi
yang memerlukan rawatan, kasih sayang dan peluang untuk hidup seperti bayi-bayi
lain.
Saya juga teringat wajah pelajar perempuan tadi.
Masih berseragam sekolah.
Datang selepas tamat waktu persekolahan sekitar jam tiga
petang.
Kemudian berdiri di sisi inkubator mengusap anaknya dengan
penuh kasih.
Saya tidak tahu apa yang bermain dalam fikirannya ketika
itu.
Mungkin ada penyesalan.
Mungkin ada ketakutan.
Mungkin ada rasa malu.
Mungkin juga ada kebimbangan tentang sekolah, keluarga dan
masa depannya.
Hanya Allah yang mengetahui apa yang sedang bergelora dalam
hati seorang ibu muda itu.
Kakak jururawat memberitahu bahawa mereka sudah biasa
berhadapan dengan situasi seperti itu. Istilah “single parent” digunakan dalam
komunikasi harian untuk menggambarkan ibu yang membesarkan anak tanpa pasangan,
termasuk dalam keadaan-keadaan tertentu seperti yang sedang saya lihat.
Namun bagi mereka sebagai petugas kesihatan, bayi tetap
bayi.
Pesakit tetap pesakit.
Mereka menjalankan tugas secara profesional tanpa prejudis.
Mereka tidak membezakan siapa ibu bapanya, bagaimana bayi itu dilahirkan atau
apakah latar belakang keluarganya.
Saya sangat menghormati sikap mereka.
Sebelum perbualan kami berakhir, kakak jururawat itu
memberikan satu pesanan yang saya ingat sehingga hari ini.
“Mintalah jauh perkara macam ni daripada keluarga kita.
Jagalah anak-anak kita baik-baik.”
Kata-kata itu ringkas.
Namun bagi saya yang ketika itu baru sahaja menjadi seorang
ayah, ia terasa sangat berat.
Saya memandang Aishah yang sedang terbaring di dalam
inkubator.
Hari ini dia hanyalah seorang bayi kecil yang bergantung
sepenuhnya kepada kami. Tetapi suatu hari nanti dia akan membesar. Dia akan
mengenal dunia. Dia akan mempunyai kawan. Dia akan membuat pilihan sendiri.
Dan saya tidak mungkin mampu berada di sisinya setiap masa.
Ketika itulah saya semakin memahami bahawa tugas seorang ibu
dan ayah bukan sekadar menyediakan makanan, pakaian, tempat tinggal dan
pendidikan.
Kita perlu membina benteng dalam jiwa anak-anak.
Anak perempuan perlu diajar menjaga maruah dan kehormatan
diri. Mereka perlu dibimbing memahami batas pergaulan dan mengenali nilai diri
mereka sebagai seorang Muslimah.
Namun pendidikan itu tidak boleh dibebankan kepada anak
perempuan sahaja.
Anak lelaki juga mesti dididik.
Ajarlah anak lelaki supaya takut kepada Allah.
Ajarlah mereka menghormati perempuan.
Ajarlah mereka bahawa perempuan bukan objek untuk memenuhi
kehendak dan nafsu mereka.
Ajarlah mereka bahawa menjadi lelaki bukan sekadar memiliki
kekuatan, tetapi memikul amanah, maruah dan tanggungjawab.
Jangan sampai seorang lelaki melakukan kesalahan
bersama-sama, tetapi akhirnya seorang perempuan sahaja yang terpaksa menanggung
malu, kehamilan, kelahiran dan segala kesannya.
Islam menutup jalan menuju zina sejak dari awal.
Allah SWT tidak sekadar berfirman, “Jangan berzina.”
Sebaliknya Allah berfirman:
وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَىٰ ۖ
إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا
“Dan janganlah kamu mendekati zina. Sesungguhnya zina itu
suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk.”
(Surah al-Isra’: 32)
Jangan mendekatinya.
Kerana dosa besar biasanya tidak bermula dengan perkara yang
besar.
Ia mungkin bermula dengan pandangan.
Kemudian perkenalan.
Kemudian mesej dan perbualan.
Kemudian pertemuan.
Kemudian hilang batas.
Sedikit demi sedikit sehingga seseorang terjerumus ke tempat
yang tidak pernah dibayangkannya.
Sebab itulah benteng yang paling kukuh bukan sekadar
larangan ibu dan ayah.
Benteng yang sebenar ialah iman dan muraqabah kepada
Allah — perasaan bahawa Allah sentiasa melihat kita walaupun ibu dan ayah
tidak melihat.
Saya kembali memandang Aishah.
Dalam hati saya berdoa agar Allah menjaga anak kecil ini
apabila dia membesar nanti.
اللَّهُمَّ احْفَظْ أَوْلَادَنَا
مِنَ الْفَوَاحِشِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ
Ya Allah, peliharalah anak-anak kami daripada segala
perbuatan keji dan fitnah, sama ada yang zahir mahupun yang tersembunyi.
Namun kisah ibu muda itu juga mengajar saya satu lagi
perkara.
Kita mesti membenci zina, tetapi jangan sampai kita membenci
dan membuang manusia yang pernah terjerumus ke dalam dosa.
Manusia boleh tersilap.
Manusia boleh terjatuh.
Dan manusia juga boleh bangkit serta kembali kepada Allah.
Allah sendiri melarang kita berputus asa daripada
rahmat-Nya:
لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ
اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا
“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah.
Sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa.”
(Surah al-Zumar: 53)
No comments:
Post a Comment