Ketika kami menerima perkhabaran daripada pihak hospital bahawa keadaan kesihatan Aishah semakin tidak memberangsangkan, hati saya dan isteri kembali dilanda kebimbangan. Aishah memerlukan perhatian dan rawatan yang lebih rapi daripada doktor. Tubuhnya yang begitu kecil sedang berjuang untuk terus hidup.
Setiap kali datang ke hospital, saya hanya mampu
memandangnya sambil berdoa. Dalam keadaan seperti itu, perkara-perkara lain
terasa begitu kecil. Apa yang paling penting bagi saya hanyalah satu Aishah mesti terus bertahan.
Dalam kesibukan dan kegusaran itulah pensyarah penyelia
saya, Ustaz Jabbar, menyampaikan satu berita kepada saya.
“Surat lahir anak kamu dah siap.”
Beliau mendapat maklumat tersebut daripada kenalannya,
Pengarah Pendaftaran Daerah Kajang yang pernah kami temui sebelum ini. Sijil
kelahiran baharu Aishah telah siap dan saya boleh datang mengambilnya pada
bila-bila masa di JPN Kajang.
Alhamdulillah.
Saya lega mendengarnya. Namun, untuk pergi mengambil sijil
itu bukanlah semudah yang disangka.
Ketika itu saya sedang menjalani praktikum. Setiap hari
dipenuhi dengan persediaan mengajar, menyiapkan Rancangan Pengajaran Harian,
menyediakan bahan bantu mengajar dan melaksanakan tanggungjawab di sekolah.
Rutin saya pula ialah pergi ke Hospital Kajang pada lewat petang, selepas
selesai urusan di sekolah.
Pejabat JPN sudah tentu beroperasi pada waktu pejabat.
Jika saya mahu mengambil sijil kelahiran Aishah, saya perlu
mengubah jadual harian, memohon kebenaran keluar atau mencari ruang pada waktu
pagi untuk ke Kajang. Dalam keadaan Aishah yang sedang kritikal, saya juga
tidak mahu mengurangkan masa untuk menziarahinya.
Hari demi hari berlalu.
Hampir seminggu sijil itu siap, tetapi saya masih belum
berkesempatan mengambilnya.
Akhirnya saya berjaya mengatur semula jadual. Pada hari
tersebut, saya mengubah rutin biasa. Saya pergi ke Kajang pada waktu pagi
supaya dapat singgah di JPN dan kemudian terus ke hospital untuk melihat
Aishah.
Saya masih ingat perasaan ketika menerima sijil kelahiran
baharu itu.
Saya membelek helaian tersebut dan membaca satu demi satu
maklumat yang tercatat padanya.
Nama Aishah ada di situ.
Dan yang paling melegakan hati saya, pada sijil kelahiran
baharu itu tertera nama saya sebagai ayahnya.
Saya melihat sekali lagi, seakan-akan mahu memastikan apa
yang saya baca itu benar.
Tiada lagi catatan kecil yang sebelum ini begitu mengganggu
fikiran saya.
Tiada lagi catatan Seksyen 13.
Alhamdulillah.
Akhirnya selesai satu urusan yang begitu meresahkan hati
saya sejak kelahiran Aishah. Anak kecil yang sedang bertarung nyawa di hospital
itu kini mempunyai sijil kelahiran yang mencatatkan nama ayahnya sebagaimana
yang sepatutnya.
Saya memegang sijil itu dengan perasaan yang sukar
digambarkan.
Bagi orang lain, mungkin ia hanyalah sekeping dokumen rasmi
kerajaan. Tetapi bagi saya pada ketika itu, ia membawa makna yang jauh lebih
besar. Di sebalik helaian kertas itu tersimpan sebuah perjuangan, kegelisahan,
pertemuan dengan pihak pendaftaran dan akhirnya satu penyelesaian yang sangat
saya syukuri.
Namun kegembiraan itu tidak berlangsung lama.
Sebaik sahaja selesai urusan di JPN, fikiran saya kembali
kepada Aishah.
Sijil kelahirannya sudah berada di tangan saya. Namanya
sudah didaftarkan. Nama ayahnya juga sudah tercatat dengan sempurna.
Tetapi nun di hospital, pemilik nama pada sijil itu masih
sedang berjuang untuk hidup.
Saya segera menuju ke Hospital Kajang.
Dalam hati hanya ada satu doa:
“Ya Allah, urusan surat kelahirannya telah Engkau
permudahkan. Maka permudahkanlah pula urusan hidupnya. Panjangkanlah umurnya
dan berilah peluang kepada kami untuk membesarkannya.”
No comments:
Post a Comment