“Mari berselawat ke atas Nabi
Berselawat ke atas Rasul
Mari berselawat ke atas Nabi
Berselawat ke atas Rasul…”
صَلَّى اللهُ عَلَى مُحَمَّدٍ
صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
Alunan nasyid itulah antara yang sering menemani perjalanan saya dan isteri berulang-alik ke Hospital Kajang hampir setiap hari. Dalam kepenatan selepas seharian berada di sekolah, suara dan melodi nasyid menjadi teman yang menenangkan sepanjang perjalanan.
Ketika itu saya baru membeli album Rindu daripada
kumpulan Hijjaz. Album tersebut masih baharu dan lagu-lagunya segera menjadi
kegemaran kami. Rasul Junjungan, Rindu dan Fatamorgana
antara nasyid yang diputarkan berkali-kali tanpa jemu.
Ada sesuatu pada nasyid-nasyid itu yang sukar saya
gambarkan. Ketika jiwa sedang diuji, bait-bait yang mengingatkan kepada Allah,
Rasulullah SAW dan hakikat kehidupan terasa begitu dekat di hati. Kadang-kadang
kita tidak memerlukan nasihat yang panjang. Cukuplah beberapa bait yang baik
untuk mengingatkan bahawa di sebalik segala kesusahan, masih ada Allah tempat
kita bersandar.
Terima kasih Hijjaz.
Mungkin mereka yang menghasilkan album itu tidak pernah tahu
bahawa pada suatu ketika dahulu, lagu-lagu mereka menjadi peneman kepada
sepasang suami isteri muda yang sedang berjuang menghadapi ujian kehidupan.
Selepas penat mengajar di sekolah, kami menaiki kereta menuju ke Hospital
Kajang untuk menziarahi seorang bayi kecil yang sedang berjuang untuk hidup di
dalam inkubator.
Selepas berehat kira-kira dua minggu di rumah, isteri saya
akhirnya memulakan praktikum. Keadaannya belum benar-benar pulih, tetapi
pengajian perlu diteruskan. Selepas selesai kelas sesi petang, kami akan
bergerak bersama-sama menuju ke Hospital Kajang.
Begitulah rutin kehidupan kami ketika itu.
Sekolah. Hospital. Rumah.
Esoknya berulang lagi perkara yang sama.
Perjalanan itu agak jauh dan sangat memenatkan. Saya pernah
terfikir untuk memindahkan bayi kami dari Hospital Kajang ke hospital yang
lebih hampir dengan tempat kami tinggal, iaitu Hospital Universiti Malaya di
Petaling Jaya. Jika berjaya dipindahkan, sekurang-kurangnya perjalanan harian
kami menjadi lebih mudah.
Namun, rupanya bukan semudah yang saya fikirkan.
Ada pelbagai urusan yang perlu diselesaikan. Prosedur antara
hospital perlu dipatuhi. Lebih penting lagi, keselamatan bayi pramatang sekecil
itu sepanjang proses pemindahan perlu dipertimbangkan dengan sangat teliti.
Akhirnya saya membatalkan hasrat tersebut.
Saya belajar menerima keadaan seadanya.
Saya mula sedar bahawa doktor dan jururawat di Hospital
Kajang juga mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk menjaga bayi kami dengan
baik. Mereka telah menjaganya sejak hari pertama. Merekalah yang memantau
setiap perkembangan bayi kecil kami.
Yang perlu berubah sebenarnya bukan hospital.
Sayalah yang perlu menyesuaikan diri.
Saya perlu membiasakan diri dengan perjalanan yang jauh dan
rutin harian yang memenatkan itu.
Pada masa yang sama, satu lagi perkara yang sentiasa bermain
dalam fikiran ialah kewangan. Ketika itu saya hanya menerima elaun sekitar RM400
sebulan. Dengan jumlah itulah saya perlu menguruskan kehidupan sepanjang
tempoh praktikum.
Harga petrol pada waktu itu memang jauh lebih murah
berbanding hari ini. Kalau tidak silap ingatan saya, sekitar RM1 lebih sedikit
seliter. Namun bagi seorang pelajar yang hanya menerima elaun RM420 sebulan,
setiap ringgit tetap mempunyai nilainya.
Setiap hari pula saya perlu melalui dua plaza tol.
Bayarannya sekitar 50 sen setiap satu. Pergi dan balik sahaja sudah memerlukan
kira-kira RM2 sehari untuk tol, belum dicampur petrol dan perbelanjaan
kehidupan yang lain.
Kereta pula menjadi satu-satunya pengangkutan yang
menghubungkan tiga tempat penting dalam kehidupan kami ketika itu:
sekolah, hospital dan rumah.
Setiap kali menghidupkan enjin, ada satu doa kecil yang
sentiasa bermain dalam hati.
“Ya Allah, janganlah kereta ini buat hal.”
Saya tidak mampu membayangkan sekiranya kereta rosak ketika
itu. Saya tidak mempunyai banyak wang simpanan. Kalau berlaku kerosakan besar,
entah dari mana saya mahu mencari wang untuk membaikinya. Sedangkan setiap hari
saya perlu ke sekolah dan selepas itu perlu pula ke hospital untuk melihat
anak.
Saya hanya mampu berusaha dan berdoa.
Dalam kereta itulah kami belajar tentang sabar.
Dalam perjalanan itulah kami belajar tentang reda.
Dan sepanjang perjalanan itu juga, alunan nasyid daripada
album Rindu terus menemani kami. Lagu-lagunya seolah-olah menjadi latar
kepada satu episod kehidupan yang tidak pernah kami rancang.
Hari ini apabila saya mendengar kembali nasyid-nasyid
tersebut, fikiran saya mudah kembali kepada jalan antara Petaling Jaya dan
Kajang. Terbayang perjalanan selepas tamat sesi persekolahan, wajah isteri yang
keletihan di sebelah, dan seorang bayi kecil seberat 950 gram yang sedang
menunggu kami di dalam inkubator.
Benarlah firman Allah SWT:
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
“Kerana sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.
Sesungguhnya bersama kesukaran itu ada kemudahan.”
(Surah al-Syarh, 94:5–6)
Ketika berada di tengah-tengah ujian, kita kadang-kadang
hanya nampak kesusahannya. Kita belum mampu melihat bagaimana Allah sedang
menyusun satu demi satu jalan keluar.
Kami hanya tahu bahawa esok kami perlu bangun lagi.
Pergi ke sekolah.
Selesai mengajar, memandu pula ke Hospital Kajang.
Menatap bayi kecil kami di dalam inkubator.
Kemudian pulang ke rumah dalam keletihan, sebelum mengulangi
rutin yang sama pada keesokan harinya.
Namun di sebalik segala kepayahan itu, Allah sebenarnya
sedang mengajar kami bahawa rezeki bukan semata-mata banyaknya wang di tangan.
Kereta yang tidak meragam juga rezeki. Tubuh yang masih mampu memandu juga
rezeki. Doktor dan jururawat yang menjaga anak dengan baik juga rezeki. Bahkan
sebuah kaset nasyid yang menenangkan
hati dalam perjalanan yang panjang juga boleh menjadi sebahagian daripada
nikmat Allah.
Alhamdulillah, aturan Allah amat baik.
Pada saat kami merasakan kehidupan begitu sempit,
rupa-rupanya Allah sedang membuka satu demi satu ruang kemudahan daripada arah
yang tidak pernah kami sangka.
No comments:
Post a Comment