Kami duduk bersebelahan dalam keadaan masih terpinga-pinga
dengan apa yang baru berlaku. Hati masih sebak. Saya melihat isteri. Air
matanya masih mengalir. Sesekali dia menyekanya, tetapi kemudian mengalir lagi.
Tiba-tiba kami terdengar suara seseorang dari belakang.
“Kenapa menangis ni...?”
Saya dan isteri berpaling.
Seorang wanita dalam lingkungan usia 50-an, berbaju kurung,
berdiri di belakang kami. Wajahnya tenang dan dia mengukir senyuman kepada
kami.
“Kenapa awak berdua nampak sedih?” tanyanya lagi.
Saya menarik nafas.
“Anak kecil kami baru sahaja dipanggil kembali kepada
Penciptanya.”
Tangan saya menunjuk ke inkubator yang terkandung bungkusan
jenazah.
Wajah wanita itu berubah. Dia segera menghampiri isteri saya
lalu memeluk dan menenangkannya.
Saya kemudian menceritakan serba sedikit tentang Aishah. Dia
lahir terlalu awal, dengan tubuh yang sangat kecil. Sejak dilahirkan, hampir
seluruh hidupnya dihabiskan di dalam inkubator. Selepas kira-kira enam minggu
berjuang untuk hidup, Allah mengambilnya kembali.
Kami belum sempat benar-benar merasai nikmat membesarkan
anak pertama. Belum sempat mendengar dia memanggil kami. Belum sempat
melihatnya tersenyum, merangkak atau bermain di hadapan mata.
Wanita itu mendengar dengan penuh perhatian.
Kemudian dia berkata perlahan-lahan kepada kami,
“Jangan sedih, nak. Ini ujian Allah. Allah tahu apa yang
terbaik.”
Dia memandang isteri saya yang masih berada dalam
pelukannya.
“Kalau dia panjang umur sekalipun, mungkin keadaannya
memerlukan rawatan dan perhatian yang sangat banyak. Bayi yang lahir terlalu
awal begini kadang-kadang berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan. Mungkin
Allah hendak menjaga dia daripada kesakitan yang lebih panjang, dan menjaga
anak berdua daripada ujian yang lebih berat.”
Saya hanya tunduk mendengar kata-katanya.
Entah mengapa, kata-kata wanita yang langsung tidak kami
kenali itu terasa begitu dekat di hati. Cara dia berbicara seolah-olah seorang
ibu sedang memujuk anak-anaknya yang sedang bersedih.
Kemudian dia menyambung,
“Dia pergi ketika masih kecil. Anak berdua pun belum sempat
melihat dia membesar, berlari dan bermain di depan mata. Belum sempat terlalu
banyak kenangan bersama dia.”
Dia berhenti seketika.
“Kalau anak itu sudah membesar dalam pelukan kita, sudah
pandai tersenyum, memanggil mak dan ayah, sudah bermain di depan mata...
kemudian Allah ambil, mungkin lebih berat lagi untuk hati menerima.”
Saya terdiam.
Kata-kata itu tidak menghilangkan kesedihan kami. Kehilangan
tetap kehilangan. Aishah tetap anak kami.
Namun kata-kata itu seakan-akan memberikan satu ruang kepada
hati kami untuk melihat takdir Allah daripada sudut yang lain.
Wanita itu kemudian memandang kami berdua.
“Insya-Allah, selepas ini Allah akan ganti. Allah ambil
seorang, mungkin nanti Allah beri anak berdua lebih ramai lagi. Anak-anak yang
sihat, yang comel, yang bijak.”
Dia tersenyum.
“Anak berdua sabarlah. Percayalah kepada Allah.”
Saya dan isteri benar-benar terharu.
Siapakah wanita ini?
Kami tidak pernah mengenalinya. Saya tidak tahu dari mana
dia datang. Dia hanya muncul ketika kami sedang duduk dalam kesedihan, lalu
memeluk isteri saya dan menuturkan kata-kata yang sangat kami perlukan pada
saat itu.
Dalam hati saya terdetik,
Mungkin beginilah cara Allah memujuk hamba-Nya.
Allah tidak semestinya menghilangkan ujian untuk menenangkan
kita. Kadang-kadang Allah menghantar seseorang yang tidak kita kenali untuk
menyampaikan beberapa patah kata agar hati yang hampir rebah kembali mempunyai
kekuatan.
Firman Allah SWT:
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Maksudnya: “Kerana sesungguhnya bersama kesulitan itu ada
kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan itu ada kemudahan.”
(Surah al-Syarh: 5–6)
Subhanallah.
Maha Suci Allah yang mengatur setiap sesuatu.
Di tengah-tengah kesedihan kehilangan Aishah, Allah masih
menghadirkan manusia yang memberikan kekuatan. Sedikit demi sedikit hati saya
semakin yakin bahawa apa yang berlaku bukan di luar pengetahuan-Nya. Semuanya
berada dalam aturan dan ketentuan Allah.
Saya tidak tahu apa yang Allah sediakan untuk kehidupan kami
selepas hari itu.
Namun saya yakin satu perkara.
Allah tahu apa yang kami tidak tahu.
Saya mengucapkan terima kasih kepada wanita itu. Sehingga
hari ini saya tidak tahu siapa namanya. Pertemuan itu hanya seketika, tetapi
kata-katanya kekal dalam ingatan saya.
Semoga Allah merahmati makcik itu dan membalas kebaikannya.
Saya memandang isteri.
Kami masih sedih. Air mata masih ada. Tetapi dalam kesedihan
itu, perlahan-lahan tumbuh satu perasaan yang lain.
Reda.
Saya reda dengan apa yang telah Allah tentukan.
Saya kemudian menelefon keluarga di rumah dan memberitahu
apa yang telah berlaku.
Malam itu, kira-kira jam 10.00 malam, kami meninggalkan
hospital.
Kami datang ke hospital sebagai seorang ayah dan ibu yang
masih berharap anak kecil kami akan terus hidup.
Tetapi malam itu kami pulang membawa jasad kecil Aishah.
Jenazah kecil itu kami bawa ke rumah abang kami di Petaling
Jaya.
Perjalanan malam itu terasa sangat berbeza.
Aishah akhirnya keluar dari hospital.
Bukan seperti yang pernah kami impikan.
Bukan untuk kami bawa pulang, dukung dan besarkan bersama.
Tetapi untuk kami hantar ke tempat persemadiannya.
Daripada Allah dia datang, dan kepada Allah dia kembali.
No comments:
Post a Comment