Seorang doktor perempuan muda berbangsa India muncul dari sebalik pintu bilik bersalin. Di lehernya tergantung sebuah stetoskop. Wajahnya kelihatan tenang, namun nada suaranya serius.
Beliau memanggil saya menghampiri.
"Encik lambat bawa isteri ke hospital."
Ayat pertama itu bagaikan menikam dada saya.
"Jalan kelahiran bayi sudah terbuka hampir 9
sentimeter. Kami sudah tidak boleh menahan proses kelahiran lagi. Kalau encik
datang lebih awal, ketika bukaan baru sekitar 4 sentimeter, mungkin kami masih
boleh cuba menghentikan kontraksi dan memanjangkan tempoh kehamilan."
Saya hanya mampu mengangguk perlahan.
"Baik doktor..."
Hakikatnya, saya sendiri tidak tahu keadaan isteri saya
sudah begitu serius.
Rupa-rupanya sejak jam dua pagi lagi, beberapa jam selepas
kami pulang mengemas dewan besar sekolah, isteri saya sudah mula merasakan
sakit. Namun sakit itu datang sekali-sekala dan tidak begitu kuat.
Dia tidak mahu mengejutkan saya.
Tambahan pula kami ketika itu tinggal di asrama berbeza dan
tidak mempunyai telefon sendiri untuk mendapatkan bantuan dengan segera.
Dia menyangka
sakit itu hanyalah sakit biasa yang dialami oleh ibu mengandung.
Pengalaman
pertama mengandung.
Pengalaman
pertama menunggu kelahiran.
Jauh pula
daripada keluarga yang lebih berpengalaman.
Sehinggalah
sekitar jam empat pagi, kesakitan itu menjadi semakin kuat dan semakin kerap.
Barulah dia mengejutkan saya.
Ketika itu kami masih belum sedar bahawa itulah sebenarnya
tanda-tanda proses kelahiran sedang bermula.
Doktor itu masuk semula ke dalam bilik bersalin.
Saya hanya mampu menunggu di luar.
Saya pernah mendengar ada hospital yang membenarkan suami
menemani isteri ketika bersalin. Namun ketika itu saya hanya diminta menunggu
di luar sambil berdoa.
Setiap minit
terasa begitu panjang.
Hati saya
dipenuhi pelbagai persoalan.
Bagaimanakah
keadaan isteri saya?
Bagaimanakah
keadaan bayi kami?
Beberapa ketika kemudian, pintu bilik bersalin tiba-tiba
terbuka semula.
Saya melihat doktor muda tadi bersama seorang jururawat
sedang berlari sambil menatang sesuatu yang dibalut kemas menuju ke bangunan di
bahagian belakang.
Mereka kelihatan begitu cemas.
Saya hanya sempat memandang tanpa sempat bertanya apa-apa.
Hati saya mula berdebar.
"Ya Allah... selamatkanlah isteri dan anakku."
Beberapa minit kemudian doktor itu kembali.
Beliau tersenyum kecil sebelum menggamit saya.
"Tahniah encik. Isteri encik selamat bersalin."
Alhamdulillah...
Seolah-olah satu beban yang sangat besar terangkat daripada
dada saya.
"Cuma bayi encik terus kami bawa ke NICU, Unit
Rawatan Rapi Neonatal."
Saya menarik nafas panjang.
"Kenapa doktor?"
"Anak encik dilahirkan secara pramatang."
Doktor menerangkan bahawa kelahiran pramatang ialah
kelahiran sebelum kandungan mencapai usia 37 minggu. Bayi pramatang biasanya
memerlukan pemantauan rapi kerana paru-paru, sistem imun dan beberapa organ
lain masih belum matang sepenuhnya.
Beliau
menjelaskan terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan kelahiran
pramatang.
Ada yang
berpunca daripada masalah kesihatan ibu.
Ada yang
berlaku kerana jangkitan.
Ada juga yang
tidak diketahui sebabnya.
Kadangkala
tekanan fizikal atau emosi boleh menjadi faktor yang menyumbang, tetapi ia
bukanlah penyebab utama bagi setiap kes.
Ketika mendengar penjelasan doktor itu, fikiran saya kembali
kepada peristiwa malam sebelumnya.
Pada malam itu berlangsung Majlis Perpisahan Ustaz Khalil
Sheikh Ahmad yang akan berpindah ke Sandakan sebagai pengetua.
Sebagai pengurus majlis, saya mempunyai terlalu banyak
urusan yang perlu diselesaikan.
Isteri saya pula sejak awal pagi membantu saya menyediakan
pelbagai keperluan majlis.
Selepas tetamu pulang, kami sama-sama mengemas dewan
sehingga lewat malam supaya semuanya kembali seperti asal.
Saya masih ingat.
Berkali-kali saya menyuruhnya pulang lebih awal.
"Sayang baliklah dulu. Abang boleh habiskan
sendiri."
Dia hanya tersenyum.
"Tak apa. Kita buat sama-sama. Dah nak siap
dah."
Begitulah
sifatnya.
Dia tidak
sanggup membiarkan saya bekerja seorang diri.
Melihat kembali
peristiwa itu, saya tertanya-tanya sendirian.
Adakah
keletihan yang dialaminya menjadi salah satu faktor?
Wallahu a'lam.
Hanya Allah
yang Maha Mengetahui.
Hampir sejam kemudian saya dibenarkan masuk menemui isteri.
Alhamdulillah.
Dia kelihatan tenang walaupun wajahnya masih jelas
keletihan.
Saya menggenggam tangannya dan mencium dahinya.
"Sayang macam mana?"
"Alhamdulillah... semuanya okey. Bersalin normal.
Cuma ada sedikit koyakan, doktor kena jahit."
Kemudian dia bertanya perlahan,
"Abang dah tengok anak kita?"
Saya menggeleng.
"Belum. Abang nak tengok keadaan sayang dulu."
Dia tersenyum.
"Kita dapat anak perempuan."
"Alhamdulillah."
Saya membalas sambil menahan sebak.
"Apa yang paling penting, Allah selamatkan sayang
dan Allah selamatkan anak kita."
Kami berbual seketika sebelum seorang jururawat datang.
"Puan akan dipindahkan ke wad dahulu. Kalau semuanya
stabil, mungkin petang nanti sudah boleh pulang."
Kemudian jururawat itu memandang kepada saya.
"Encik, boleh terus ke NICU. Doktor sedang menunggu
encik untuk menerangkan keadaan bayi dan menyelesaikan beberapa dokumen."
Saya mengangguk perlahan.
Langkah saya kemudian menuju ke bangunan NICU.
Di situlah saya bakal melihat buat pertama kali insan kecil
yang telah mengubah seluruh kehidupan kami. Saya hanya pasrah kepada Allah
dengan apa yang telah berlaku. Saya yakin Allah telah merancang sesuatu untuk
saya saya dan isteri. Kepadanyalah saya berserah.
No comments:
Post a Comment