Setiap hari saya akan ke Hospital Kajang untuk melawat anak perempuan saya yang ditempatkan di Wad Rawatan Rapi Neonatal (NICU). Tubuh kecilnya yang hanya seberat 950 gram itu terlantar di dalam sebuah inkubator yang sentiasa diterangi cahaya lampu pemanas. Di situlah dia menghabiskan hari-hari awal kehidupannya.
Sebelum saya pulang pada hari pertama, jururawat yang
bertugas telah memberikan beberapa tunjuk ajar.
"Encik mesti datang melawat bayi setiap hari."
Seminggu pertama itu hanya saya yang mampu datang. Isteri
saya masih lemah selepas bersalin pramatang dan masih memerlukan banyak rehat.
Walaupun bayi kami lahir terlalu awal, keadaan isteri saya tetap sama seperti
ibu-ibu lain yang baru selesai melahirkan anak.
Jururawat kemudian meminta saya membawa minyak bayi
Johnson's Baby Oil atau minyak zaitun.
Saya agak hairan.
"Untuk apa minyak ini?"
Beliau tersenyum lalu menerangkan.
"Encik perlu mengurut seluruh badan bayi."
Saya benar-benar tidak menyangka.
Beliau menyambung penerangannya dengan penuh sabar.
"Encik mesti rangsang seluruh kulitnya. Sepatutnya bayi
ini masih berada di dalam rahim ibunya. Di sana, seluruh badannya sentiasa
menerima tekanan dan sentuhan daripada dinding rahim. Sentuhan itulah yang
membantu perkembangan sistem saraf, otot dan pembesarannya."
"Sekarang dia sudah berada di luar rahim lebih awal
daripada waktunya. Jadi rangsangan itu perlu digantikan secara manual. Jika
tidak, perkembangan fizikalnya boleh terbantut."
Kemudian beliau berkata lagi dengan nada yang cukup
menyentuh hati.
"Encik mesti datang setiap hari ya... Anak ini perlukan
encik."
Ayat itu benar-benar menusuk ke dalam hati saya.
Jururawat mengajar saya satu persatu teknik mengurut bayi
pramatang. Urutan dilakukan dengan perlahan-lahan, bermula dari hujung jari
kaki sehingga ke ubun-ubun kepala. Setiap bahagian tubuh disentuh dengan penuh
lembut — celah-celah jari, belakang lutut, bawah ketiak, celah leher, belakang
telinga dan setiap lipatan kulit yang kecil.
Namun saya sedar...
Walau selembut mana pun sentuhan tangan seorang ayah, ia
tetap tidak akan mampu menggantikan sentuhan semula jadi yang Allah ciptakan di
dalam rahim seorang ibu.
Anak saya sering menangis.
Tetapi tangisannya hampir tidak kedengaran.
Hanya mulutnya yang terbuka luas, wajahnya berkerut dan
tubuh kecilnya menggigil halus. Suara itu terlalu perlahan untuk didengari.
Hanya mata yang mampu memahami bahawa dia sedang menangis.
Setiap kali melihat keadaan itu, hati saya terasa bagai
disiat-siat.
Pihak hospital juga meminta saya membawa susu ibu yang telah
diperah.
Pada hari-hari pertama, bayi saya masih diberikan susu khas
kerana susu ibu belum dapat disediakan. Sebaik sahaja isteri saya mula mampu
mengepam susu, saya akan membawa botol-botol kecil yang telah dilabelkan.
Pada label itu hanya tertulis,
Baby of Azian
Ketika itu anak kami masih belum mempunyai nama.
Begitulah rutin hidup saya setiap hari.
Selepas solat Zuhur saya akan memandu dari rumah abang saya
di Taman Desaria, Petaling Jaya menuju ke Hospital Kajang. Jaraknya sekitar 40
kilometer, melalui dua plaza tol yang ketika itu masing-masing berharga RM0.50.
Perjalanan pergi dan balik hampir setiap hari.
Memang memenatkan.
Tetapi setiap kali melihat wajah kecil itu, segala penat
seolah-olah hilang begitu sahaja.
Saya sedar...
Inilah tanggungjawab seorang ayah.
Ketika itu saya sedang mengikuti Kursus Perguruan Lepasan
Ijazah (KPLI). Elaun bulanan saya hanyalah RM500. Selepas ditolak yuran
asrama dan pelbagai potongan lain, wang yang benar-benar masuk ke akaun saya
cuma sekitar RM420.
Isteri saya juga menerima jumlah yang sama.
Pendapatan kami berdua hanyalah sekitar RM840 sebulan.
Beberapa bulan sebelumnya kami baru membeli sebuah Proton
Saga Megavalve untuk kemudahan pergerakan kami ke sekolah dalam tempoh praktikum. Ansuran
bulanannya sekitar RM270.
Ini bermakna baki wang kami tinggal lebih kurang RM570
sahaja untuk menampung petrol, tol, makan minum, keperluan harian dan
segala perbelanjaan lain.
Sebenarnya sebelum itu kami sudah membuat kiraan.
Kami yakin masih mampu hidup berjimat-cermat kerana kami
menumpang di rumah abang. Jarak dari rumah ke sekolah pula kurang daripada lima
kilometer.
Tetapi Allah merancang sesuatu yang langsung tidak pernah
kami jangkakan.
Kini saya perlu berulang-alik ke hospital setiap hari.
Rupanya Allah gerakkan hati kami membeli kereta untuk ini.
Petrol bertambah.
Tol bertambah.
Perbelanjaan makan bertambah.
Dalam masa yang sama saya perlu membeli lampin bersaiz Newborn
(NB) yang paling kecil ketika itu, menyediakan keperluan bayi, membeli
bahan bantu mengajar untuk praktikum yang bakal bermula, membayar ansuran
kereta serta menanggung pelbagai kos lain.
Saya benar-benar buntu.
Jika dihitung menggunakan logik manusia, kami sebenarnya
tidak mampu.
Namun pada saat itulah saya belajar satu perkara yang sangat
besar.
Rezeki tidak pernah bergantung kepada angka di dalam
akaun bank, tetapi bergantung kepada keberkatan daripada Allah.
Allah SWT berfirman:
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ
لَهُ مَخْرَجًا وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
"Sesiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia
akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan Dia akan mengurniakan rezeki
kepadanya dari arah yang tidak disangka-sangkanya."
(Surah al-Talaq: 2–3)
Ayat inilah yang sentiasa saya ulang-ulang di dalam hati.
Saya juga sentiasa mengingatkan diri dengan firman Allah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا
اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah
pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah bersama
orang-orang yang sabar."
(Surah al-Baqarah: 153)
Setiap kali selesai solat fardu, saya akan mengangkat tangan
setinggi-tingginya.
Tiada apa yang mampu saya lakukan selain mengadu kepada
Allah.
Saya mengulang-ulang doa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلَّا مَا
جَعَلْتَهُ سَهْلًا، وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِئْتَ سَهْلًا
"Ya Allah, tiada yang mudah melainkan apa yang
Engkau jadikan mudah. Dan Engkau mampu menjadikan sesuatu yang sukar itu mudah
apabila Engkau kehendaki."
Saya juga tidak putus-putus membaca:
اللَّهُمَّ يَسِّرْ وَلَا
تُعَسِّرْ، وَتَمِّمْ بِالْخَيْرِ
"Ya Allah, permudahkanlah urusanku, jangan Engkau
jadikan ia sukar, dan sempurnakanlah segala urusanku dengan kebaikan."
Pada ketika itu saya benar-benar tidak tahu bagaimana Allah
akan membantu kami.
Tetapi saya yakin...
Jika Allah yang mengizinkan ujian ini berlaku, maka Allah
jugalah yang telah menyediakan jalan keluarnya.
Saya hanya perlu terus bersabar, berusaha dan tidak berhenti
berharap kepada-Nya.
No comments:
Post a Comment