Sunday, August 16, 2026

PANGGILAN KECEMASAN DARI HOSPITAL

Pada hari Rabu, 23 Ogos 2000, saya hadir ke hospital lebih awal daripada biasa bersama isteri. Saya telah memohon kebenaran daripada pengetua untuk keluar awal dari sekolah. Selepas Asar, kami sudah berada di Hospital Kajang. 

Keadaan Aishah semakin tenat.

Kami pilu melihat keadaannya. Doktor memaklumkan bahawa tubuh Aishah sudah mula tidak memberikan respons yang baik terhadap ubat-ubatan yang diberikan. Itu bukan petanda yang baik.

Inkubator Aishah ketika itu ditempatkan berhampiran meja utama jururawat supaya keadaannya dapat dipantau dengan lebih dekat.

Bunyi mesin pengesan nadi dan paras oksigen bersahut-sahutan dengan iramanya yang tersendiri. Sesekali saya menatap skrin monitor yang memaparkan angka dan garisan tentang keadaan Aishah. Saya melihatnya, tetapi tidak benar-benar memahami apa yang ditunjukkan.

Seorang jururawat datang menghampiri kami.

“Hari ini temanlah Aishah lama sikit.”

Dia berhenti seketika sebelum menyambung,

“Dia perlukan ibu bapanya di sisi sekarang.”

Kata-kata itu terasa lain daripada biasa.

Sudah lebih tiga jam saya dan isteri berada di sisi Aishah petang itu. Kami bergilir-gilir berdiri di hadapan inkubator, menatap tubuh kecilnya yang sedang bertarung untuk terus hidup.

Kami tidak mampu berbuat apa-apa.

Sesekali bibir kami terkumat-kamit membaca doa dan selawat syifa’. Saya melihat Aishah sedang bertarung nyawa. Sebagai seorang ayah, saya hanya mampu berdiri di situ dan berdoa.

Hari semakin lewat. Kami juga sudah terlalu letih selepas seharian menjalani praktikum di sekolah. Perut mula berkeroncong. Biasanya kami akan makan di rumah untuk menjimatkan perbelanjaan.

Akhirnya kami membuat keputusan untuk pulang sebentar.

Saya memaklumkan kepada jururawat bahawa kami mahu pulang dahulu.

“Kalau ada apa-apa kecemasan, telefonlah kami di rumah.”

Sebelum meninggalkan hospital, saya singgah di surau untuk menunaikan solat Maghrib.

Selesai solat, saya tidak terus bangun.

Saya melakukan solat hajat khusus untuk Aishah.

Malam itu doa saya panjang. Saya tidak menggunakan doa-doa Arab yang panjang. Saya hanya bercakap kepada Allah dalam bahasa Melayu, dengan bahasa seorang ayah yang sudah tidak tahu apa lagi yang mampu dilakukan.

“Ya Allah, Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuk Aishah.

Jika Engkau takdirkan umurnya panjang dan dia boleh membesar serta hidup seperti manusia lain, maka sembuhkanlah dia. Berikanlah kekuatan kepadanya. Aku tidak sanggup melihat dia terus menderita begini.

Tetapi jika umurnya tidak panjang, dan memang telah Engkau tetapkan begitu untuknya, aku reda dengan ketentuan-Mu.

Aishah adalah milik-Mu.

Engkau hanya meminjamkannya kepada kami untuk sementara waktu.

Aku reda, ya Allah, dengan apa sahaja ketentuan-Mu.

Engkau lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya.”

Entah berapa lama saya berdoa.

Saya keluar dari surau dengan hati yang sukar digambarkan. Ada harapan, ada ketakutan, tetapi pada masa yang sama saya cuba menyerahkan semuanya kepada Allah.

Selepas Maghrib, kami terus pulang ke rumah dan sampai sekitar jam lapan malam.

Ketika saya dan isteri sedang makan malam, tiba-tiba telefon rumah berdering.

Isteri abang ipar saya mengangkatnya.

Tidak lama kemudian dia memanggil saya.

“Abdullah, telefon dari Hospital Kajang. Mereka nak bercakap.”

Saya segera mendapatkan telefon dan memperkenalkan diri.

Suara seorang jururawat kedengaran di hujung talian.

“Encik boleh datang ke hospital tak?”

Saya terdiam.

“Anak encik tenat sangat.”

Kemudian dia menyambung,

“Encik datang ya. Kami tunggu.”

Belum sempat saya bertanya lebih lanjut, talian telah diputuskan.

Saya menjeling jam di dinding.

8.20 malam.

Saya memandang isteri.

“Hospital telefon. Aishah tenat sangat. Mereka minta kita datang.”

Kami bersiap untuk kembali ke hospital selepas menunaikan solat Isyak.

Sepanjang perjalanan menuju ke Hospital Kajang, kami berdua banyak berdiam diri.

Tiada apa yang mahu diperkatakan.

Nasyid Fatamorgana daripada kumpulan Hijjaz mengalun perlahan di dalam kereta. Antara baitnya yang begitu menusuk hati ketika itu mengingatkan manusia supaya kembali kepada Tuhan dan bahawa kebahagiaan akhirat hanyalah bersama Allah.

Saya memandu dalam diam.

Isteri juga diam.

Entah mengapa, setiap bait nasyid itu terasa begitu dekat dengan kehidupan kami pada malam tersebut.

Apabila sampai di hospital, saya terus menuju ke wad NICU.

Sebaik sahaja melangkah masuk, saya terasa suasananya berbeza.

Beberapa orang jururawat memandang ke arah saya.

Tiada senyuman seperti biasa.

Saya segera mencari inkubator Aishah.

Tiada.

Tempatnya berhampiran meja jururawat sudah kosong.

Saya memandang ke kiri dan ke kanan, mencari-cari.

Seorang jururawat yang melihat saya tercari-cari hanya menunjukkan tangannya ke arah hujung bilik.

Saya memandang ke arah yang ditunjukkannya.

Nun di hujung sana, saya terlihat sebuah inkubator.

Di dalamnya kelihatan satu bungkusan kecil.

Mesin-mesin yang selama ini berbunyi dengan pelbagai irama sudah tidak kedengaran.

Semuanya senyap.

Skrin monitor juga sudah gelap.

Saya berjalan perlahan-lahan menuju ke inkubator itu.

Setiap langkah terasa berat.

Jantung saya berdegup kencang.

Mata saya tidak beralih daripada bungkusan kecil di dalam inkubator tersebut.

Dalam hati, saya hanya memanggil satu nama.

Aishah...

No comments: