Selepas selesai menggurup wang di bank dengan pengalaman yang tersendiri, Ustaz Solahuddin mencadangkan kami mengambil teksi untuk melawat kubu Besar Halab. Kami berjalan kaki kesuatu kawasan stesen teksi.
Bandar Halab ini adalah bandar klasik. Bagi saya bandar ini
lebih klasik dari bandar Damsyik. Mungkin saya tidak meneroka bandar ini dengan
lebih luas. Namun apa yang saya lihat kelainan yang amat berbeza pada pandangan
saya. Saya lihat masih ramai masyarakat Halab yang masih memakai pakaian
tradisional Arab lama yang kita boleh lihat dalam filem era tahun 50an. Seluar
besar di bahagian paha dan juga memakai tarbus atau lilitan di kepala yang
besar.
Begitu dengan teksi. Disamping teksi yang menggunakan model
yang baru masih ada teksi yang menggunakan kereta model lama sebaris dengan
model apa yang saya ingat sebagai model ‘moris minor’ ketika saya masih kecil.
Saya amat teruja melihat teksi-teksi jenis lama ini.
Ustaz Solahuddin mencadangkan kami menaiki teksi yang baru.
Lebih selesa katanya. Namun saya mempunyai pemikiran yang berbeza. Saya memili
untuk menaiki teksi jenis klasik ini. Jadi kami semua berdiri ditepi jalan untuk
menahan teksi yang lalu lalang. Kami hanya menahan teksi model klasik.
Ada beberapa teksi yang kami tahan tak pergi ke kawasan Kubu lama Halab. Pelik juga. Ingatkan semua teksi boleh pergi kemana saja tidak mempunyai laluan khas. Sehiggalah saya menahan satu teksi yang kelihatan uzur. Teksi itu boleh menghantar kami ke Kubu lama Halab.
Saya naik di bahagian hadapan sebelah pemandu. Bila teksi mula
bergerak alangkah terkejutnya saya kerana teksi tersebut tiada cermin di
bahagian depan. Angin menerpa kemuka kami dengan kuat ibarat kami menaiki
motosikal. Sudahlah teksi ini teksi model klasik macam zaman kolonial Jerman
sebagaimana saya tonton dalam televisyen. Tiada cermi pula.
Bila saya tanya kenapa tiada cermin. Pemandu teksi menjawab
sambil ketawa.
“Hai… mukayyib tabieiy… Mumtaz. Al hawa naqie”
(inilah pendingin hawa original.. amat bagus. Udara bersih).
Kami bertiga ketawa mendengar jawapan pemandu teksi
tersebut. Nasib baik perjalanan teksi hanya dalam bandar sahaja dan banyak
lampu isnyarat dan simpang. Jadi teksi tidak begitu laju dan angin yang menerpa
muka kami tidak kuat. Kami masih boleh berbual-bual.
Saya bertanya pemandu teksi bila dia akan pasang cermin
tersebut. Dia kata dia tidak bercadang untuk memasang cermin dalam masa
terdekat. Alat ganti susah untuk di dapati dan juga cuaca di sana tiada masalah
kerana tiada hujan. Penumpang pun tidak ramai yang merungut. Hanya kami sahaja yang
tidak suka teksi tersebut. Itu katanya.
Itulah antara kenangan kami yang paling menarik di Bandar Halab.
No comments:
Post a Comment