Sunday, January 26, 2025

SYIRIA 19: BIDDAK MADAM?

 Kami sampai ke Damsyik dari Halab awal pagi dan terus balik ke rumah Ustaz Salahuddin. Esoknya Ustaz Solahuddin ada urusan penting di Universiti dan akan keluar awal pagi selepas subuh. Begitu juga dengan Ustaz Ismail juga akan keluar awal pagi ke Kolej.

Saya dan Yusof tidak mahu menyusahkan Ustaz Solahuddin dan Ustaz Ismail pada pagi tersebut untuk sarapan pagi dan juga menunggu kali keluar. Kami mengambil keputusan untuk menginap di Hotel di Bandar Damsyik yang berdekatan dengan Mujamma’ Serfis (Stesen teksi) untuk balik ke Jordan. Saya memberi alasan kepada Ustaz Solahuddin dan Ustaz Ismail untuk melihat suasana malam di bandar Damsyik. Kemudiannya esok pagi dalam jam 9 pagi  baru kami ke Mujamma untuk mengambil teksi balik ke Irbid, Jordan. 


Petang itu Ustaz Solahuddin menghantar kami ke hotel. Hotel tersebut hanya bertaraf dua bintang saja rasanya dan kalau tidak salah ingatan saya nama hotel tersebut ialah Fonduq al Syarq (Hotel timur). Hotel ini berdekatan dengan bulatan besar Damsyik dan  juga berdekatan dengan patung besar pahlawan tersohor Salahuddin al Ayyubi sedang menuggang kuda.

Kami dapat bilik ditingkat dua hotel. Pada waktu malam saya dan Yusof  bersiar-siar di sekitar hotel sambil makan malam di restoran. Tidak banyak yang menarik dengan suasana malam di Damsyik. Mungkin kawasan sekitar hotel bukan tempat tumpuan untuk waktu malam.

Sekita jam 10 kami telah balik ke hotel untuk berehat. Tidak sampai sejam kami dalam bilik dan sudah bersedia untuk untuk melelapkan mata tiba-tiba pintu bilik diketuk. Saya memandang Yusof dan dia memberi isyarat kepada saya untuk membuka pintu. Kami cuak juga mengingatkan situasi Syiria yang luar jangka ini.

Terlihat kelibat seorang lelaki di muka pintu sebaik saja pintu dibuka. Tanpa memberi salam terus dia bersuara:

“Ya Syabab.. biddak madam? Madam hilwah”. 

(Hai orang muda.. kamu mahu Madam? Madam cantik)

“Syu ya’ni Madam?” Aku bertanya ingin tahu.. setahu aku Madam dalam bahasa Perancis bermaksud perempuan atau wanita.

Lelaki itu membuat isyarat bentuk badan wanita yang ramping dan memuncungkan mulutnya dengan gaya mengucup. Oh.. saya seakan faham apa maksudnya.

“Syarmuutah?” saya meneka.

Lelaki itu senyum sambil mengangkat ibu jari.

Syu haza… Haram alaik.. Ma biddi. Khalas.. ruh” (Apa dia ni.. Tak betul kamu ni. Aku tidak mahu. Pergi dari sini). Saya menolak dan menghalaunya pergi.

Kami sambung tidur. Sedang nyenak tidur kami dikejutkan ketukan pintu sederhana keras. Kami ingatkan polis atau mata-mata datang cari kami. Risau kami ada lakukan kesalahan tanpa kami sedar. Kali ini Yusof yang bangun membuka pintu.

Dia membuka perjalan dan sedikit saja. Tersembul muka lelaki dan terus dia bersuara tanpa berbosa basi:

“Biddak madam?” (Mahu pelacur?).

Lalu di jerkah oleh Yusof

“Haraam.. Izhab Ilal Jahim. Mu Bidna madam”. Lalu dihempasnya pintu dengan kuat.

“Mereka tengok muka kita ni nak cari pelacur ka. Bengong sungguh menatang Arab ni”.

Yusof menarik selimut sambung tidur kembali. Aku lihat jam tangan sudah jam 12 lebih.

Tiba-tiba..

Tok.. tok.. tok.. tok..

Pintu bilik diketuk lagi.. Saya membuka mata dan melihat jam tangan menunjukkan jam 1.40 pagi. Kacau sungguh. Nak tidur pun tidak senang. Sudah tiga kali tidur kami diganggu. Saya lihat Yusof masih nyenyak tidur.

Pintu bilik diketuk lagi. Saya dengar suara Yusof dari bawah selimut.

“Madam lagi lagi lah tu…Malas aku bangun. Mu gi marah pulak.”

Aku bangun dan membuka pintu sedikit. Dari celah pintu nampak kelibat lelaki muda.

“Biddak Madam?”

Saya hilang sabar. Terus keluar dari bilik dan mengadap lelaki tersebut.

Enta muslim wa la kaafir..?”  (Kamu ni Muslim atau kafir?) Aku bertanya kepadanya.

“Syu. Ana muslim alhamdulillah” Jawabnya dengan muka tak bersalah.

“Enta muslim wa ta’mal amalal al kaafir.” (Kamu Muslim tapi buat kerja orang kafir”) Aku menolak badan pemuda tersebut agar beredar. Aku sudah hilang sabar dan turun ke tingkat bawah terus menuju ke kaunter hotel. Ada lelaki berkumis nipis di sana duduk di kerusi belakang kaunter.

“Enta Ya zalama.. ba’din lau tukbir ahadan an ghurfati misyan Madam syuf haza”.

(Hei.. Bro.. lepas ini kalau kamu bagi tahu bilik saya untuk ajen pelajar. Nampak ni”) Saya memarahi dengan sedikit menengking kepada lelaki tersebut sambil menunjukkan genggaman penumbuk ke mukanya.

Dia terdiam dan melihat ke muka saya dengan wajah terkejut.

“Aku tahu.. kamu bagitahu mereka nombor bilik saya kan? Kamu bersubahat. Lepas ni jangan bagi tahu lagi. Saya tidak mahu madam. Saya tidak mahu tidur saya diganggu. Saya bayar bilik untuk berehat. Bukan untuk di ganggu dengan Madam”. Panjang pula aku memarahi penjaga kaunter.

Sebenarnya aku risau juga. Bimbang dia buat fitnah lapor kepada polis, kami orang jahat. Saya naik ke bilik dan sambung tidur. Alhamdulillah selepas itu tiada lagi gangguan ‘Madam’. Saya dan Yusof dapat tidur dengan nyenyak dan tersedar bila terdengan azan Subuh berkumandang sekitar bandar Damsyik.

Begitulah keadaan suasana bandar Damsyik, Syiria yang saya tahu negara islam yang dipenuhi dengan ulamak. Tapi di sebalik itu, ada sisi gelapnya yang tersendiri. Saya dan Yusof tidak sabar untuk keluar dari Syiria. Kami sudah merindui bumi Mafraq yang aman damai.

 Alhamdulillah. Kami selamat dari godaan syaitan dan peluang maksiat.

No comments: