Kami sampai di bandar Halab (Aleppo) selepas maghrib. Keadaan sudah gelap. Kami singgah di sebuah restoran untuk makan malam. Kemudian kami mencari hotel bajet untuk berehat. Duit lira saya hanya cukup untuk makan malam dan bayaran bilik hotel. Bekalan duit hanya dalam Dinar dan tidak diterima oleh penjual.
Oleh kerana Syiria hanya membenarkan bank atau agensi
kerajaan yang menguruskan pertukaran wang, Kami terpaksa menuggu hari siang
esok untuk berurusan dengan bank. Kami tidak mahu mengambil risiko bertanya
tempat untuk menukar duit. Kami bimbang terjebak dengan pemberi maklumat yang mencari
habuan melaporkan kesalahan kepada pihak kerajaan hanya untuk wang beberapa
lira.
Selepas sarapan saya mencari bank terdekat dengan hotel
untuk menukar wang. Sebagaimana biasa
bank memulakan operasi hanya pada jam 9 pagi. Saya terpaksa menunggu agak lama
di luar bank. Apabila masuk bahagian penggurup wang masih belum dibuka. Pegawai
yang bertugas di kaunter penggurup wang belum masuk. Saya terpaksa menunggu.
Suasana dalam bank adalah amat unik. Saya terpaku dan
tersenyum sendiri dengan situasi dalam bank. Saya seolah kembali ke zaman tahun
50an dalam filem Holywood. Sebelum ini saya hanya meihat suasana ini hanya
dalam filem. Hari ini saya boleh melihat sendiri suasana itu. Semua kelengkapan
dan susun atur bank adalah amat klasik.
Suasana bingit dengan bunyi mesin taip dan bunyi pegawai
mendail telefon. Semua telefon yang diguna adalah jenis perlu dipusing nombornya
untuk mendail sesuatu nombor, bukannya jenis butang tekan. Bayangkan setiap meja
menggunakan telefon tersebut dan pegawai semua mendail nombor berterusan. Semua
dokumen di taip menggunakan mesin taip. Saya mengintai-intai juga melihat kalau
kalau ada komputer yang digunakan. Tak ada.
Lama juga saya melayan bunyi kebisingan yang unik itu Bunyi
mesin taip dan bunyi dail telefon yang unik. Seorang pegawai menggamit saya.
“Kami turid tasrif? Dollar au Dinar?” Pegawai itu
bertanya kepada saya.
Saya menukarkan wang Dinar 100. 50 untuk saya dan 50 lagi
untuk Yusuf. Saya melihat pegawai itu menggunakan satu alat yang pelik untuk
menghasilkan resit pertukaran. Mesin itu mempunyai pemegang yang perlu ditarik
kedepan dan kebelakang dan akan timbul tulisan di atas kertas kecil. Saya amat
teruja sekali melihat alat itu.
Alhamdulillah semua selesai. Saya tersenyum sendiri
mengenangkan pengalaman berada dalam bank ini. Saya bertanya kepada Ustaz Solahuddin
adalah bank itu memang mengekalkan perkhidmatan yang klasik sebegai satu
keistimewaan. Rupanya rata-rata bank di Syiria masih begitu. Mereka masih lagi
tidak menggunakan teknolgi komputer yang
masih baru pada masa itu.
Sekarang saya sudah boleh berbelanja. Kami menuju ke pasar
lama Halab dan selepas itu kamu ke Kubu Solahuddin al Ayyubi.
No comments:
Post a Comment