Sunday, January 12, 2025

SYIRIA 11: IMAM NAWAWI, KAMI DATANG MENZIARAHI MU

 Selepas pulang dari Souq al Hameediyyah , petang itu Ustaz Solahuddin keluar lagi untuk menukarkan  wang kami berempat. Ustaz Solahuddin juga memaklumkan kami dia nak uruskan van untuk rehlah Nawa esok hari.

Selepas Isyak Ustaz Solahuddin pulang dan memaklumkan kami bahawa semua  urusan rehlah  untuk ke Nawa  dan  Busra telah selesai.

“Alhamdulillah ana dah atur  rihlah esok ke Busra dan Nawa. Ana dah sewa van dan esok van akan tunggu kita di Bab Touma. Kena kena keluar awal esok. Jauh juga perjalanan esok. Lewat petang baru sampai balik”. Terang Ustaz Solahdudin kepada kami selepas mengagihkan duit Lira yang sudah siap di tukar.

Pagi esok , awal pagi selepas sarapan  van akan menunggu kami di depan Bab Touma. Beberapa orang  rakan Ustaz Solahuddin juga akan ikut  bersama rombongan. Ustaz Ismail ada urusan lain di Kolej . Jadi dia tidak ikut bersama. 


Sebelum subuh lagi kami lihat Ustaz Solahuddin menyiapkan sarapan untuk kami. Selepas solat subuh di masjid berdekatan kami terus bersarapan dan berkemas untuk keluar ke Bab Touma. Seawal jam 7.30 pagi sudah terpacak depan Bab Touma. Van belum sampai.

Beberapa ketika van sampai dan kami lihat ada 3 orang  Pelajar Malaysia berada dalam van. Mereka adalah rakan Ustaz Solahuddin yang bersama  kami. Mereka pun ingin ambil peluang untuk menziarahi Imam Nawawi kerana masih belum kesana lagi.

Oleh kerana bilangan kami  8 orang   kuranglah  kos  kami untuk rehlah ini. Saya telah berbincang dengan Ustaz Solahuddin agar kami semua yang tanggung kos van untuk  rehlah ini. Jangan pula Ustaz Solahuddin pun  gunakan duitnya. Begitu juga dengan kos  makan di perjalanan nanti. Kami sudah beruntung kerana Ustaz Solahuddin telah atur dan uruskan perjalanan kami. Kami senang dan tidak lagi akan ditipu sebelum ditipu lagi.

Perjalanan  ke Busra untuk melawat gereja Rahib Buhaira amat jauh. Perjalanan kesana lebih dua jam dengan jarak hampir 150km. Rehlah kami akan menuju ke Busra dahulu dan kemudian nya baru ke Nawa untuk menziarahi pusara Imam Nawawi. 

Perjalanan kami merentas kampung-kampung Syiria yang amat unik. Berbeza dengan  perkampungnan di Jordan. Keadaan kampung di sini  masih bersifat tradisional  berbanding di Jordan.  Binaan rumah-rumah dibina dari batu yang disusun rapi. Amat menarik.  Kami merentas kampung dan ladang zaitun  dan juga ladang gandum.

Beberapa kali perjalan kami terhenti kerana memberi laluan kepada kumpulan biri-biri yang besar melintas jalan.  Satu  kumpulan kami anggar lebih seribu  ekor biri-biri. Amat ramai  dan  seronok di pandang. Satu pemandangan yang tak pernah kami lihat sebelum ini.

Sekitar jam 11 pagi kami sampai ke  pekan Busra dan kami dibawa ke satu  bangunan lama yang di katakan sebagai gereja  Buhaira . Buhaira adalah rahib yang telah mengesahkan tanda kenabian Muhammad sebagai nabi terakhir.

Ketika Rasulullah di bawah jagaan  Abu Talib , pada satu ketika beliau telah membawa Nabi Muhammad dalam rombongan perniagaan ke Syam. Ketika singgah di  Busra  untuk berehat mereka kafilah mereka berhenti  rehat  berdekatan dengan sebuah gereja. Rahib gereja tersebut bernama Buhaira telah melihat  Nabi Muhammad dan  memeriksa tanda yang ada di belakang nabi Muhammad dan mengesahkan bahawa Muhammad adalah nabi yang terakhir berdasarkan ilmunya . Beliau telah memberi tahu Abu Talib agar segera balik dan tidak meneruskan perjalanan kerana bimbang keselamatan Nabi Muhammad. Beliau bimbang keselamatan Nabi Muhammad kerana beliau tahu bahawa ramai orang kristian dan yahudi tidak berpuas hati kerana nabi Muhammad dilahirkan dalam kalangan bangsa Arab dan bukannya dari bangsa mereka.

Selepas kami melawat gereja lama tersebut kami juga melawat beberapa tempat lain sekitar banda Busra.  Teradapa banyak  bangunan dan tempat-tempat bersejarah  yang berasal dari zaman Romawi lagi.   Mengikut Ustaz Solahuddin sebenarnya  tidak ada kepastian bahawa gereja tersebut adalah gereja Buhaira.  Ahli sejarah ramai yang  masih berselisih pandangan  tentang itu. Adakah betul bangnan gereja itu utuh sampai sekarang   selepas satu setengah abad.

Kami meneruskan perjalanan ke daerah Nawa, iaitu bumi kelahiran Imam Nawawi. Kami tiba di  Nawa selepas Zohor. Kami singgah untuk solat di Jami’ Imam Nawawi dahulu sebelum ke maqam  beliau.  Masjid ini dikatakan masjid  asal Imam Nawawi. Beliau   menghabisi hidup beliau dengan memberi ilmu kepada masyarakat dan menyusun kitab.

Imam Nawawi atau dikenali juga sebagai Imam al-Nawawi. Nama penuh Abu Zakaria Mohiuddin Yahya Ibn Sharaf al-Nawawi, Beliau dilahirkan pada bulan Muharram 631H dan meniggal pada tahun 676H ketika berumur 45 tahun. Imam Nawawi tidak pernah berkawin kerana  ingin memberi tumpuan kepada pengajian dan  menyampaikan ilmu agama.

Walaupun umurnya yang singkat, Imam Nawawi telah meninggalkan khazanah ilmunya dengan hampir 50 buah buku susunannya.  Peninggalam mutiara ilmu yang amat terkenal ialah susunan hadis 40 yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hari ini. Imam Nawawi ibarat masih hidup kerana namanya masih  diseru dan disebut setiap hari oleh umat Islam seluruh dunia.

Selepas kami solat jamak zohor dan asar di Masjid “Jami’ al Imam Nawawi kami   menziarahi pusara Imam Nawawi yang berada tidak jauh dari masjid. Pusara Imam nawawi amat luar biasa kerana  ada pokok besar yang tumbuh atasnya. Pokok itu telah mati namun ia masih kekal di atas pusara tersebut. Masyarakat di situ hanya memagarkan pokok tersebut.

Kami melihat pusara Imam Nawawi kurang terurus . Ianya hanya di jaga oleh masyarakat setempat. Pihak kerajaan tidak memberi apa-apa dana untuk memelihara  pusara ulamak besar tersebut. Ia seolah tidak dihargai oleh kerajaan Syiria pada masa itu.  Saya  berbual dengan pejaga  pusara tersebut dan memberi tahu mereka jika pusara ini terletak di Malaysia, kami akan jaga pusara ini sebaiknya.

Ammu..! Demi Allah kalaulah pusara Imam Nawawi ini berada di tempat kami Malaysia,  kami akan jaga pusara ini sebaiknya. Kami akan jadikan ia sebagai inspirasi  kepada masyarakat Islam untuk membangun dan menyumbangkan ilmu kepada Islam”.

Kami semua sayu melihat keadaan pusara Imam Nawawi dan  berdoa agar   satu hari nanti  Pusara ini akan dihargai dan diuruskan dengan baik oleh masyarakat islam di Syiria.

Kami singgah makan di restoran sekita pekan Nawa, kemudiannya  pulang semula ke Damsyik.


No comments: