Wednesday, January 29, 2025

KUNCI PINTU, NAIKKAN CERMIN, JANGAN BERHETI JIKA DITAHAN

 Satu malam,  ketika pulang dari program sahabat Iman dengan  geng pemuda sandakan , ada sepasang suami isteri menahan kereta saya. Ketika itu malam sudah amat lewat . Jam  menunjukkan  hampir jam 12 malam. Waktu yang amat lewat bagi kami di Sandakan.  Saya baru saja masuk Taman Fajar kawasan taman rumah saya. 


 

Mereka adalah pasangan muda suami  isteri  umur lewat 20an. Si isteri dilihat sengan mengendong bayi kecil dalam umur beberapa bulan.

 

Encik! Boleh  tolong kami tak?.  Bayi kami demam panas. Kami perlu balik ke  rumah ibubapa kami di batu dua”.

 

“Semua klinik suudah tutup. Ayah saya  pandai buat rawatan tradisional.”

 

Si suami merayu pada pada saya. Isterinya memandang saya dengan wajah penuh pengharapan.


“Kamu  tinggal di  sinikah? Tak pernah nampak kamu di sini”. Saya bertanya mendapat  kepastian. Risau juga   kerana waktu sudah lewat malam.

 

“Saya hantar ke hospital lah. Batu satu sudah dekat dengan Hospital Hospital Duchess of Kent Sandakan (HDOK).”

 

“Kami tinggal sini sebab ada kerja renovasi rumah. Nun runah  sana.  Kami tak boleh ke hospital. Kami tak ada dokumen”.

 

Memang sudah menajdi lumrah kebiasaan di Sandakan ini. Ramai pendatang luar yang tiada dokumen diri. Mereka ni menawarkan kerja dengan harga yang murah. Jadi  permintaan kerja mereka amat tinggi di Sandakan.  Kalau mereka sakit  atau perlu rawatan  mereka akan ke klinik swasta atau  rawatan tradisional sahaja.

 

Jauh juga tu batu dua ni . Program tadi di batu 3. Saya  kena patah balik untuk menghantar mereka ke sana. Tapi waktu sudah lewat malam.  Teksi pun tidak ada pada waktu sebegini. Saya mengambil keputusan untuk menghantar mereka. Risau juga jika demam anaknya melarat. Saya juga ada anak kecil memahami kerisauan mereka.

 

Saya mempersilakan mereka masuk.

Setelah hampir sampai  ke batu dua. Si  suami bersuara.

“Nanti  tuan masuk ke jalan balai bomba. Tau kan?”

 

Saya mengiyakan. Saya membelok  ke  jalan Balai bomba tersebut. Saya tak  pernah masuk ke jalan itu.  Jalan itu sangat lengang tiada orang kerana  banyak tanah lapang.    Apa yang saya tahu kawasan ini  dinamakan ICEBOX..  kawasan ini kawasan PATI dari Philipin. Penduduk sini rata-rata tiada dokumen. Patutlah mereka tidak mahu ke hospital . Rupanya pendatang Philipin.

 

Si suami  menunjukkan jalan masuk ke beberapa selekoh dan kami berhenti di jambatan  rumah ke  dalam laut. Kawasan tu  amat gelap.  Mereka berdua turun.

 

“Berapa tambang  yang kami kena bayar?” Tanya si  suami.

“Eh.. Tak payah.. saya hantar ikhlas.” Saya jawab sambil melontar senyuman.

“Kami kena bayar tuan. Tuan telah tolong kami.  Kami dah tahan berapa banyak kereta tadi. Tidak ada siapa yang mahu hantar kami ke sini.”  Si suami mendesak sambil menghulurkan sejumlah duit kepada saya.

 

Tak payah. Saya ikhlas.” Ambil duit ni guna untuk rawatan anak”.  Saya menolak sambil menghulurkan duit itu kembali. Sekilas pandang saya lihat duit tadi RM40 . Si suami mengambil duit tadi dengan berat hati. Si isteri setia menunggi disisinya.

 

Kemudian si suami tunduk medekatkan kepalanya ke tingkap kereta saya.

 

“Encik. Nanti  tutup cermin  semua tingkap  kereta, kunci  pintu dan jangan  berhenti kalau ada sesiapa yang tahan  kereta .”

 

Saya hanya  menganggukkan kepada sambil  mengiyakan permintaannya. Dua kali dia mengulangkan nasihatnya.

 

“Kenapa?” Saya bertanya kembali setelah berasa pelik dengan desakannya.

 

Kawasan ini bahaya encik. Encik saja  yang sanggup hantar kami ke sini. Sudah banyak kereta kami  tahan. Bila kami minta hantar ke sini mereka tidak sanggup. Hanya encik yang sanggup. Saya dan isteri amat terharu encik sanggup hantar kami dan tidak diterima duit.”

 

“Hati-hati ya encik. Ikut pesan saya tadi”.

 

Saya mengangkat tangan dan terus  bergerak balik. Memang kawasan itu sunyi . Tiada pun kelibat manusia ketika itu.  Saya  memastikan kereta saya berkunci dan memandu sambil melihat ke  kiri kanan jalan kalau- kalau ada orang yang menahan kereta. Alhamdulillah  tiada apa  yang berlaku.  Saya sampai di rumah jam satu lebih juga.

 

Esoknya semasa menemani pekerja yang sedang membaiki pagar di rumah saya,   saya menceritakan apa yang  berlaku malam tadi. Pekerja tersebut dari  Indonesia yang sudah lama di Sandakan bekerja sebagai buruh  binaan.

 
“Allah .. Ustaz bahaya tu. Kawasan tu kawasan hitam. ICE BOX tu kawasan pendatang Philipin”.

“Mereka tu   ramai samseng,  kalau  lalu kawasan itu mereka kadang-kadang tahan minta duit. Kalau tak bagi mereka terus pukul.”

 

Kalau dalam bas atau kat jalan,  kadang-kadang mereka sengaja ja  buat langgar kita dan marah-marahkan kita lepas tu minta duit”.

 

“Mereka tu tak ada kasihan belas. Kalau kita bertengkar , marah macamana pun kita pukul sahaja. Tapi mereka kalau bertengkar  pakai senjata, boleh sampai bunuh. Kalau setakat pakai parang tu biasa ja bagi mereka.”

 

Kami  geng Indon mengelak bertembung dengan mereka. Tak berbaloi. Tak pasal-pasal boleh mati.”

“Saya pernah kena mereka buat berlanggar bahu dengan saya dan minta duit. Saya bagi ja RM10. Bagus rugi duit dari hilang nyawa.”

 

“Selalu  ja berlaku berlaku perbalahan sesama  mereka dan berantakan sampai mati. Tapi kerana mereka semua  sesama tidak ada dokumen , polis tak buat apa-apa tindakan.”

 

Saya menarik nafas terkejut mendengar  penerangan  pekerja saya itu. Patutlah si suami malam tadi  bersungguh-sungguh menasihati saya  agar mengunci pintu kereta dan jangan berhenti bila di tahan. Dia  risau keselamatan saya.

 

Sebenarnya saya dalam hal ini saya teringat pesan Imam Hassan al Banna yang  meminta kita semua banyak bersangka baik menolong orang yang dalam kesusahan  walau dalam situasi yang genting. Mungkin orang yang meminta bantuan itu amat memerlukan. Kita perlu berserah pada Allah.   

 

Pesan  ini di ceritakan oleh  guru saya Dr Bahjat al Habashinah ketika saya berusrah di rumahnya.

Imam Hassan al Banna pada satu  ketika terpaksa bergerak waktu malam dari Qahirah ke bandar lain yang jauh kerana perlu hadir  program. Sedangkan ketika  itu  perjalanan malam amat bahaya dan terdedah kepada perompak dan orang jahat yang  menahan orang yang lalu lalang di jalan raya.  Mereka selalu membuat helah kereta rosak  atau menahan orang ramai  dengan alasan meminta bantuan.  Sesiapa yang berhenti akan di rompak malah  ada yang di bunuh.

 

Memang malam tu kereta yang dinaiki oleh  Imam Hassan al Banna ditahan oleh sesorang . Di sebelahnya ada kereta berhenti di tepi jalan.  Imam Hassan al Banna ingin berhenti, namun ditegah oleh sahabat yang mengiringnya mengenangkan  situasi ketika itu. Namun Imam Hassa Banna bertegas ingin berhenti. Katanya mungkin orang tersebut betul-betul menghadapi kesulitan.

 

Ya. Betul orang itu  perlu bantuan. Keretanya  kehabisan minyak . Dalam kereta tersebut ada isteri dan anaknya. Mereka perlu ke bandar  yang sama  yang dituju oleh Imam Hassan al Banna pada waktu kerana ada kecemasan. Tanpa  bertanya apa-apa lagi Imam Hassan al Banna  sendiri yang menyedut minyak dari kereta yang dinaikinya dengan  hos yang kebetulan ada dalam kereta dan  mengisi kereta keluarga  tersebut. Setelah selesai Imam Hassan al Banna juga menolak wang  yang ingin dibayar oleh lelaki tersebut dan meneruskan perjalanan .

 

Beberapa tahun selepas itu, ketika Imam Hassan al Banna di tangkap dan dibicara di mahkhamah atas tuduhan memberontak.  Apabila  hakim masuk  ruang mahkhamah dia terkejut bahawa tertuduh adalah  orang yang pernah menolong  mengisi petrol keretanya dalam malam saat genting. Cuma mereka tidak sempat berkenalan  antara satu sama lain. Lantas dia menarik diri dari menjadi hakim.  Diceritakan bahawa dia meletak jawatan hakim dan  berjuang bersama Hassan al Banna dalam Jamaah Ikhwan al Muslimin.

 

Itulah hikmah hadis bersangka baik ‘Ana inda zanna abdi bi’ (Aku  bergantung kepada sangkaan hamba Ku).  Semoga Allah  memberi kekuatan kepada saya untuk mengamalkan prinsip Islam yang terkandung dalam al Quran dan juga hadis rasulullah.


No comments: